Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
MERIAH sungguh kediaman peguam syarie, Noorafizah Abdul Aziz dan kontraktor, Mohd. Rafie Tibek di Selayang Indah, Gombak Selangor pada pagi Sabtu itu.
Mana tidaknya, anak-anak pasangan itu yang seramai 11 orang kesemuanya ada di rumah termasuk dua anak perempuan mereka, Nur Afiqah dan Nur Afifah Faizah yang belajar di Kelantan turut pulang bercuti.
Namun hari itu pula pembantu rumah mengambil cuti pulang ke kampung kerana ada urusan keluarga. Tetapi keluarga besar ini tetap berfungsi seperti biasa, si ibu memasak di dapur sambil dibantu tiga anak gadis remaja, manakala si ayah sibuk menguruskan anak-anak yang kecil.
Kata Noorafizah, 38, dia dan suami tidak pernah pula terfikir hendak berhenti mendapatkan anak lebih-lebih lagi setakat ini kekerapan kehamilan (purata dia tahun sekali) belum lagi disyaki menjejaskan tahap kesihatan dirinya.
"Kami ada mendapatkan nasihat doktor tetapi katanya, selagi saya sihat dan mampu menanggung kandungan tidak ada salahnya beranak ramai," katanya yang sedang hamil anak ke-12.
Bagi suaminya, Mohd. Rafie yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik beradik, setiap anak yang dikurniakan Allah itu membawa rahmat tersendiri.
"Alhamdulillah, keluarga turut dilimpahi rezeki murah apabila lahirnya anak-anak. Kami sebagai ibu bapa juga mampu memberikan apa yang diperlukan demi masa depan mereka.
"Yang kecil dapat dihantar ke tadika, yang masih bersekolah perlu tuisyen, kelas tambahan, kurikulum sementara yang di sekolah menengah dan asrama dengan perbelanjaan tersendiri," katanya.
Ditambah dengan jumlah yuran persekolahan lebih RM2,000 sebulan, keluarga ini perlu membelanjakan kira-kira RM20,000 setiap bulan termasuk pinjaman rumah, ansuran kereta, bil elektrik dan air, yuran tuisyen, lampin pakai buang, susu, duit saku serta kos makan minum seisi keluarga.
"Beras kalau setakat lima kilogram (kg) paling lama tahan seminggu kerana kami sekeluarga selalu makan di rumah. Jika makan luar lagilah tinggi belanja.
"Satu lagi, bagusnya budak-budak ini suka makan buah-buahan. Kalau rambutan atau pulasan mesti saya beli empat kilo, sekali 'hadap' saja habis!" kata Mohd. Rafie sambil ketawa.
Kelu lidah dibuatnya mendengar belanja bulanan yang sebegitu besar bagi menampung persekolahan dan makan minum seisi keluarga ini.
Tetapi itu semua dibayar dengan pengorbanan tidak ternilai pasangan suami isteri ini yang juga bijak membuat keputusan apabila tiba soal kewangan di samping mengimbangi kerjaya dan keluarga.
Semuanya bermula dengan Noorafizah yang tidak mengenal erti penat dan putus asa meneruskan pengajian sehingga peringkat Ijazah. Beliau berumah tangga pada usia semuda 19 tahun ketika sedang menuntut di Universiti Malaya (UM) dan Mohd. Rafie ketika itu berusia 27 tahun.
"Tapi segalanya tidak mungkin tercapai tanpa bantuan dan sokongan suami yang sanggup bangun di tengah malam untuk membuat susu atau menukar lampin anak-anak.
"Bayangkan ketika itu dia terpaksa membasuh lampin yang berlonggok. Terharu melihat pengorbanan suami sehingga begitu sekali," ujarnya.
Sehingga kini, Noorafizah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian) UM; Diploma Pentadbiran Undang-Undang dan Kehakiman Islam dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM); Ijazah Sains Bimbingan dan Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Certificate of Mediation dari Australia.
"Ketika di UPM, saya juga banyak mengendalikan kes-kes di waktu pagi kemudian pergi menghadiri kelas antara 3 hingga 6 petang.
"Waktu 6 petang hingga 12 malam saya peruntukkan buat anak-anak, selepas pukul 12 tengah malam adalah waktu mengulang kaji atau menyiapkan kertas tugasan," ujar Noorafizah yang berpengalaman 11 tahun sebagai peguam syarie.
Kecekalan mengharungi cabaran demi menuntut ilmu sambil mengimbangi kerjaya dan tanggung jawab terhadap keluarga (termasuk mengambil ujian sambil berkain batik ketika dalam pantang) turut membakar semangat anak-anak untuk mengejar impian masing-masing.
Setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri seperti anak sulung, Nur Afiqah, 18, yang ingin menjejaki kejayaan ibunya sebagai peguam syarie disegani.
"Sebagai anak sulung, saya memang rapat dengan ibu dan lama ingin mendalami ilmu undang-undang Islam.
"Selepas tamat pengajian tingkatan enam, saya ingin sekali meneruskan pengajian sama ada di Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Universiti Islam Selangor atau UM," katanya yang memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kecemerlangan dalam akademik juga melibatkan adik beradik lain seperti anak kedua, Nur Afifah Faizah, 16, yang meminati Matematik dan Fizik serta ingin melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir di samping Nur Alya Adibah, 15, yang bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini.
Manakala tiga anak lelaki, Muhd. Haziq Afifi, 12; Naqib Islah Afifi (10) dan Anwar Adli Afifi pula sama seperti kanak-kanak lelaki lain yang gemar bermain bola sepak serta mengusik adik-adik mereka yang masih kecil.
Tapi jangan mudah tertipu, tiga adik beradik ini sebenarnya juga 'ulat buku' dan kaki belajar sama seperti kakak-kakak lain. Seperti Haziq yang pandai berbahasa Mandarin kerana belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru dan mahu mengikut jejak bapanya sebagai seorang usahawan.
Sementara Naqib pula mungkin bakal menjadi tahfiz suatu masa nanti kerana bijak menghafal surah-surah Al-Quran serta aktif bernasyid.
Lima lagi anak kecil termasuk pasangan kembar, Nur Dini Sumayyah dan Nur Dina Safiyyah, 6, Nur Nadya Qistina, 4, Mumtaz Huwaina, 3, dan Zafira Qaisara, 2, pula menjadi penyeri keluarga tersebut dengan pelbagai gelagat mencuit hati.
Pun begitu, mereka pandai menjaga diri seperti membasuh tangan sendiri sebelum dan sesudah makan.
Kata Noorafizah, disebabkan jumlah anak yang ramai, mereka jarang sekali menghadiri majlis atau jemputan kenduri sekali gus sebaliknya membawa dua atau tiga anak mengikut giliran.
"Tetapi budak-budak ini pandai menjaga kelakuan di rumah orang, duduk elok-elok dan makan dengan sopan.
"Yang besar akan membantu yang kecil, semuanya akrab dan saling bantu-membantu," katanya sambil tersenyum melihat anak-anak yang sedang menikmati makan tengah hari beramai-ramai di atas 'saprah' seperti sebuah kenduri kecil.
No comments:
Post a Comment