Like Blog Ini...

Thursday, August 6, 2009

Belajar perubatan di Mesir

Oleh MARZITA ABDULLAH

PARA pelajar yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan kini berpeluang menyertai Unity College International (UCI) setelah termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) antara UCI dengan Akademi Al-Quran (AQM), Medic Malaysia.

MOA itu membuka peluang kepada para pelajar pra perubatan UCI tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melanjutkan pelajaran ke Universiti Zagazig, Mesir dalam bidang perubatan, farmasi dan lain-lain kursus di universiti tersebut.

AQM adalah wakil rasmi Universiti Zagazig di Malaysia yang bertanggung jawab dalam menguruskan penghantaran pelajar Malaysia yang terpilih ke universiti yang terletak kira-kira 80 kilometer dari arah timur laut Kaherah.

Ketua Pegawai Eksekutif UCI, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Shariff berkata, pihaknya menyedari tentang keterbatasan tempat untuk para pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda dalam bidang kedoktoran.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menawarkan kursus perubatan masih gagal memenuhi permintaan yang sangat tinggi setiap tahun daripada pelajar-pelajar yang berkelayakan.

"Pengalaman saya sebagai pensyarah sewaktu berkhidmat di IPTA mendapati tidak lebih daripada 200 tempat ditawarkan untuk pelajar yang berminat melanjutkan pengajian di dalam bidang perubatan ini," katanya.

Justeru katanya, pihak universiti hanya memilih pelajar-pelajar terbaik dan masalah itu semakin meruncing setiap tahun serta memerlukan mekanisme untuk menanganinya supaya ia tidak berlanjutan.

Sementara itu, Mudir AQM, Prof. Dr. Razali Nawawi berkata, selain kekurangan tempat ia turut dipengaruhi oleh faktor kekurangan tenaga pengajar dan peralatan.

"Pihak universiti tidak dapat menawarkan lebih banyak tempat untuk pelajar kerana harus memastikan nisbah seorang pensyarah dengan pelajar serta peralatan yang ada menepati perancangan yang ditetapkan," katanya.

Mengenai penghantaran pelajar perubatan ke Mesir katanya, ia disifatkan langkah kerajaan yang terbaik selain menghantar pelajar ke India dan Rusia.

"Hubungan diplomatik yang baik antara negara ini dengan kerajaan Mesir turut memudahkan hubungan kerjasama pendidikan," katanya.

Menurut beliau, Mesir mempunyai 38 kolej perubatan yang lengkap dengan tenaga pengajar yang berpengalaman, kemudahan prasarana dan infrastruktur selain suasana pembelajaran yang kondusif.

"Di Mesir terdapat lebih daripada 2,000 tenaga akademik dan sebagai sebuah negara sosialis, rakyatnya tidak dibenarkan bekerja di luar kecuali dengan mendapat keizinan Presiden Mesir sendiri," katanya.

Hal ini menyebabkan Mesir mempunyai ramai tenaga akademik yang bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing, malah terkenal di seluruh dunia.

"Selain membantu UCI dalam menguruskan penghantaran pelajar-pelajar ke Universiti Zagazig, AQM juga turut bersedia untuk memasarkan graduan kejururawatan UCI ke mana-mana negara di Timur Tengah," katanya yang merupakan alumni Universiti Al-Azhar.

Razali berkata, jururawat-jururawat dari Malaysia mempunyai reputasi yang sangat tinggi, disenangi dan menjadi rebutan pihak hospital di sana.

Majlis menandatangani MOA itu berlangsung di Kampus Utama UCI di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

UCI diwakili oleh Dr. Kamaruddin manakala AQM oleh Dr. Razali dengan disaksikan oleh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 1 UCI, Professor Dr. A. Selvanathan dan Pendaftar AQM, Sirajuddin Sirat.

No comments: