Like Blog Ini...

Thursday, August 6, 2009

UPM agih wang zakat kepada pelajar

BAHAGIAN Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengagihkan Geran Bantuan Zakat sebanyak RM51,000 kepada 17 kolej di UPM, awal bulan lalu.

Ia disampaikan pada Majlis Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) sempena Minggu Perkasa Putra (Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu) Semester Pertama Sesi 2009/ 2010.

Setiap kolej masing-masing menerima RM3,000 daripada agihan wang zakat untuk digunakan bagi pembangunan program pelajar muslim. Pemberian kewangan zakat untuk program pembangunan pelajar muslim dibenarkan menggunakan peruntukan zakat melalui asnaf fisabilillah.

Majlis itu juga menyaksikan penyerahan bantuan wang zakat kepada Nurbaitul Izzah Nordin, pelajar baru yang cacat kedua-dua belah kakinya.

Beliau berjaya melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke UPM dalam bidang Sains (Biologi) menerima wang bantuan zakat sebanyak RM5,000.

Selain agihan untuk pembangunan pelajar, UPM turut mengagihkan wang zakat kepada pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah, termasuklah penjaga berpendapatan RM500 ke bawah, penuntut istimewa (orang kurang upaya) dan juga saudara baru.

Dalam tempoh Januari hingga Jun 2009, sebanyak RM394,619 wang zakat telah diagihkan kepada 615 orang pelajar di UPM. Wang zakat yang disalurkan ini merupakan hasil pemotongan gaji bulanan kakitangan UPM melalui Tabung Amanah Zakat UPM dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Azali Mohamed yang menyempurnakan majlis penyerahan itu berkata, UPM sentiasa berusaha membantu pelajar dan memberikan sokongan secara berterusan.

Ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan penuh amanah bagi membantu pelajar sama ada dalam bentuk bantuan pelajaran, sara hidup, perubatan, kecemasan termasuklah menyediakan Tabung Kebajikan UPM bagi membantu pelajar bukan muslim.

"Ini bagi memastikan pelajar-pelajar UPM dapat mengekalkan pencapaian akademik sehingga menamatkan pengajian dengan cemerlang," katanya.

No comments: