Like Blog Ini...

Monday, August 3, 2009

Kelab AKHI bimbing penerima Baitul Mal

Oleh ZUARIDA MOHYIN

KINI menyambung pengajian ke menara gading tidaklah segah seperti dua tiga dekad yang lalu. Apa tidaknya, setiap tahun ribuan siswazah 'dilahirkan' daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi negara dengan pencapaian akademik dalam pelbagai bidang kepakaran.

Pun dalam fenomena ekonomi dunia kini yang tidak berapa memberangsangkan, tempiasnya turut dirasai di negara kita. Akibatnya, ada di antara lepasan siswazah ini terpaksa menggantung sijil mereka serta dilabel penganggur terhormat.

Menyedari situasi serius ini, pelbagai pihak termasuk kerajaan telah berusaha mengatasi masalah ini daripada terus menular. Antara caranya ialah dengan melengkapkan bakal-bakal graduan agar mencapai ke tahap personaliti unggul merangkumi bidang akademik dan sahsiah.

Lantaran itu, penubuhan Kelab Anak-Anak Berakhlak Islam (AKHI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilihat bermatlamat serampang dua mata atau situasi 'menang-menang'.

Kelab AKHI bermatlamat membantu dan membimbing anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan, khasnya anak-anak penerima bantuan Baitul Mal dalam tekad merealisasikan usaha melahirkan generasi Islam yang cemerlang.

Namun pada sudut lain, ia juga dilihat sebagai platform kepada mahasiswa untuk membina sebahagian kemahiran insaniah serta kemahiran soft skills yang tidak diperoleh di dalam dewan kuliah tetapi diperoleh melalui persatuan. Ditambah pula, cemerlang akademik tidak lagi menjadi jaminan diambil bekerja oleh majikan.

Menurut Presiden Kelab AKHI, Mohd. Ikhwan Mohd. Jamil, sungguhpun Malaysia negara yang aman, makmur dan hidup harmoni, namun terdapat juga segelintir golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan sokongan dan bantuan.

Apatah lagi bermastautin di kota besar seperti di Kuala Lumpur ini hakikat yang mesti dilalui ialah melayari kehidupan yang serba mencabar. Sudah pastinya tekanan itu adalah salah satu asam garam dalam kehidupan, terutamanya dalam aspek yang membabitkan kewangan dan pendidikan.

Katanya, fokus utama penubuhan kelab adalah untuk membimbing dan membentuk sahsiah peribadi yang tinggi di kalangan anak-anak penerima bantuan Baitul Mal.

"Selain itu, kelab juga mengambil kira anak-anak yang lemah dalam pelajaran terutamanya Matematik dan Bahasa Inggeris dalam usaha membimbing mereka menjadi generasi yang lebih baik. Ia selari dengan moto penubuhan kelab ini iaitu, ke arah kecemerlangan generasi Islam.

"Apa lagi pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah diri amat penting dalam usaha melahirkan generasi yang cemerlang. Justeru, kami amat menitik berat soal perkembangan akademik anak-anak kelab ini yang terdiri daripada kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun," kata Mohd. Ikhwan.

Beliau ditemani Timbalan Presiden kelab itu, Nadirah Abdul Raes, 23, di kampus induk UIAM, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Kelab AKHI ditubuhkan pada 2000 tetapi mula aktif setahun kemudian. Ia terletak di Bahagian Pembangunan Pelajar UIAM di bawah Unit Khidmat Pelajar yang kini mempunyai 14 kelab yang bernaung di bawahnya. Malah boleh dikatakan, Kelab AKHI adalah yang terawal penubuhannya.

Pada awal kewujudannya, kelab ini memfokuskan soal pembentukan akhlak Muslim, pemantapan rohani dan pendidikan al-Quran. Pun begitu, sejak empat tahun kebelakangan ini, ia mula memberi penekanan dari sudut akademik.

Ia apabila menyedari kelemahan kanak-kanak ini dalam akademik semakin ketara serta permintaan pihak sekolah dan ibu bapa.

Sehingga kini, Kelab AKHI yang mempunyai 80 ahli telah menjadikan dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Setapak Indah dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul sebagai sekolah angkat. Daripada kedua-dua sekolah ini seramai 120 pelajar dipilih sebagai mentee.

Kata Mohd. Ikhwan, aktiviti kelab tertumpu kepada program yang berkonsep mentor-mentee. Ia dijalankan secara berkala sepanjang tahun dan aktiviti ini dijalankan pada hujung minggu.

Setiap kali sesi mentoring, adik-adik ini akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik bertemakan pencapaian akademik dan pembangunan sahsiah.

"Malah, adik-adik ini juga akan didedahkan dengan kaedah bacaan al-Quran yang betul melalui sesi tilawah. Aktiviti ini membantu meningkatkan pencapaian akademik, sekali gus menjana pembangunan sahsiah diri," katanya.

Mohd. Ikhwan juga memberitahu, pemantauan yang berterusan dan latihan berkala dilakukan bagi memastikan anak-anak ini betul-betul mencapai matlamat kelab.

Beliau yang juga pelajar tahun akhir jurusan Ilmu Wahyu dan Ekonomi Islam UIAM berkata, mahasiswa yang terlibat dengan aktiviti kelab, rata-ratanya meminati aktiviti berbentuk khidmat sosial dan suka kepada kanak-kanak.

Malah pihak kelab tidak menghadapi masalah dari segi komitmen setiap ahli dalam pelbagai penganjuran aktiviti, sama ada untuk pemantapan diri mahupun kepada adik-adik angkat mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab seorang mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat setempat dalam usaha memupuk perpaduan dan kesepakatan. Selain itu, mereka dapat mengumpul pelbagai pengalaman yang unik dan menarik sepanjang penglibatan mereka dalam kelab ini.

"Setiap mentor akan bertanggungjawab kepada seorang atau dua orang kanak-kanak. Mereka akan menunjuk ajar, membimbing dan memantau adik-adik ini selama setahun. Bahkan, mentor juga membuat susulan secara peribadi di luar program.

"Secara tidak langsung, program ini diharap dapat merapatkan hubungan di antara warga kampus dengan masyarakat setempat," katanya.

Setakat ini pencapaian tertinggi yang pernah diperoleh oleh adik-adik AKHI ialah 4A iaitu pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2007.

Berbekalkan keyakinan dengan pepatah Melayu, 'melentur buluh biarlah daripada rebung' menjadi pemangkin semangat di kalangan ahli Kelab AKHI untuk terus menyumbang demi memperkasakan anak bangsa sendiri.

Mohd. Ikhwan berkata, kelab itu berasa puas apabila melihat anak-anak berkenaan berubah sama ada boleh membaca al-Quran dengan lancar atau sekurang-kurangnya mengenali huruf-huruf Jawi sepanjang tempoh tiga tahun bersama mereka. Begitu juga dengan subjek bahasa Inggeris dan Matematik.

"Cabaran paling utama adalah berhadapan dengan kerenah kanak-kanak ini yang mempunyai berbagai-bagai latar belakang.

"Lantaran itu, ahli kelab perlu ada kemahiran berkomunikasi serta bijak mendekati adik-adik ini, agar wujud satu jalinan mesra di antara mentor dan mantee.

"Kami juga berharap agar sokongan serta kerjasama daripada ibu bapa atau penjaga kerana tanpa usaha dua hala, semua yang dicita-citakan itu sukar direalisasikan," ujarnya.

Oleh sebab itulah celah Nadirah, ada di kalangan adik-adik yang pernah menjadi mentee Kelab AKHI masih berhubung serta melibatkan diri dengan program-program anjuran kelab, biarpun setelah tamat UPSR.

Malah katanya, kelab AKHI turut dianggotai pelajar-pelajar antarabangsa seperti Bangladesh, Indonesia, Brunei dan Chechnya.

No comments: