Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
GETAH pemadam amat dekat dengan diri setiap orang. Ketika bersekolah, pemadam digunakan untuk memadam setiap kesilapan hinggalah ke dunia pekerjaan pemadam tetap menjadi teman setia individu yang memerlukannya.
Mungkin Melannie Khairunnisa Maisarah Mujip, 27, melihat pemadam bukan sahaja teman ketika memakai uniform sekolah atau sebagainya. Malah dengan bakat kreatif semula jadi yang ada dalam dirinya, gadis yang selesa dengan nama Maisarah ini menjadikan pemadam sebagai hobi dan kegemarannya kini.
"Saya mula berjinak-jinak dengan hobi mengukir cap getah (rubber stamp) pada bulan Februari 2008. Semuanya bermula apabila saya menemui sebuah tutorial yang diterbitkan di Internet oleh Gennine Tzilatkis, seorang ilustrator bebas di Mexico dalam blognya, Gennine's Art Blog.
Sebelum itu, saya memang tidak pernah mendengar langsung tentang hobi mengukir cap getah. Walaupun di dalam tutorialnya beliau menggunakan linoleum block namun saya begitu teruja apabila mendapati bahawa pemadam biasa juga boleh digunakan," jelasnya.
Gadis yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah ini, memperoleh inspirasi daripada pelbagai sumber termasuklah Internet, buku-buku dan juga pemerhatian terhadap alam sekeliling.
Selain itu, Maisarah juga membuat rujukan tentang konsep perniagaanblog dan cita rasa seseorang pelanggan agar menepati apa yang pelanggan inginkan.
"Kebetulan saya juga seorang yang suka membuat pemerhatian. Saya percaya jika kita bijak menggunakan kreativiti apa sahaja benda yang ada disekeliling kita mampu memberi ilham.
"Adakalanya apabila seseorang pelanggan membuat tempahan, saya akan membiarkannya berlegar-legar dalam fikiran sehingga berhari-hari. Idea mungkin akan tiba-tiba muncul ketika memandu, menonton wayang dan sebagainya. Kerana itulah saya sering membawa pen dan kertas untuk melakar idea berkenaan," ujar anak keempat dari 11 beradik ini.
Maisarah beruntung kerana suaminya menjadi individu utama yang memberikan idea yang bernas. Malah suaminya turut akan memberikan pandangan dan menghasilkan idea yang asli dan unik untuk setiap pelanggan.
"Reka bentuk memang idea saya sendiri melainkan jika seseorang pelanggan itu mahu saya mengukir logo atau reka corak yang dia sediakan. Saya juga amat teliti dan berusaha untuk memastikan kekemasan cap getah yang dihasilkan sehingga adakalanya saya menghabiskan masa lebih dari masa yang ditetapkan untuk mengukir sesuatu cop getah tetapi hanya mengenakan caj yang telah dipersetujui oleh pelanggan.
"Tiada yang lebih memberi kepuasan selain mendengar komen pelanggan yang suka dan berpuas hati dengan cop getah yang mereka tempah," jelas graduan Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang Bioteknologi, Universiti Malaysia Sabah ini.
Kini produk cop getah Maisarah dibuat daripada pemadam. Pemegangnya pula dibuat daripada kayu yang dipotong sendiri dengan gergaji tangan. Gadis ini mengakui cabarannya ialah untuk mencari pemadam yang bersaiz besar, justeru dia terpaksa mengecilkan saiz logo atau rekaan agar boleh diukir pada pemadam.
"Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada kalangan blogger yang mempunyai online shop dan menjalankan perniagaan sambilan atau sepenuh masa dari rumah seperti pembuat kek, kad, penjahit dan lain-lain lagi. Oleh kerana saya hanya mengiklankan cop getah saya di blog jadi buat masa ini pelanggan saya hanyalah di kalangan mereka yang mempunyai pautan ke blog saya atau diperkenalkan oleh rakan-rakan blogger yang lain.
"Ada juga pelanggan dari luar negara seperti Amerika, Britain dan Brunei Darussalam yang membeli cop getah saya menerusi laman web Etsy," jelas gadis manis ini.
Cabaran mengukir getah pemadam
Maisarah berkata, untuk membuat cop getah, elemen paling penting ialah kesabaran dan ketelitian terutama sekali jika rekaannya rumit.
"Sewaktu saya mula-mula mengukir cop getah, saya terpaksa bernafas perlahan-lahan dan ada ketikanya terpaksa menahan nafas untuk mengelakkan sebarang kesilapan. Bagi saya, mengukir ayat yang pendek dan kecil adalah yang paling sukar kerana jika ukiran tidak kemas, mudah sekali untuk dikesan.
"Berbeza sekali dengan cop getah yang berbentuk gambar. Ada juga cop getah yang memakan masa tiga hari untuk disiapkan kerana jika terlalu banyak ciri yang halus, mata dan tangan akan cepat berasa letih. Jika ini berlaku, saya akan berehat dan menyambungnya semula hanya bila keadaan benar-benar selesa untuk saya meneruskan," ujar Maisarah berkongsi pengalaman.
Menceritakan tentang pengalaman awal ketika mengukir cop getah, Maisarah akui dia amat teruja hinggakan sanggup membawa pisau dan beberapa biji pemadam di dalam beg ke mana sahaja dia pergi.
Dia akan mengukir bila ada saja peluang, tidak kiralah di mana dia berada ketika itu; di restoran, di bangku taman, di dalam kereta, termasuklah di kaki lima lot letak kereta.
"Terus terang saya tidak pernah terfikir mengenainya. Pada mulanya niat saya meletakkan gambar-gambar lukisan dan hasil kraftangan cuma untuk berkongsi dengan rakan-rakan blogger yang mempunyai minat yang sama. Tetapi akhirnya, bermula dari blog jugalah hasil kerja saya yang tidak seberapa itu mula menjanakan wang.
"Bermula dengan percubaan melukis logo, membuat pelekat dan kad perniagaan, akhirnya kini saya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mengukir cop getah" katanya yang juga berbakat melukis dan menghasilkan kraftangan seperti rantai kunci, magnet peti sejuk, lukisan atas batu dan sebagainya.
Walaupun hasil seninya memang menarik setiap mata yang memandang, Maisarah merendah diri dan mengakui banyak yang dipelajari.
"Saya berhasrat untuk mempelajari penggunaan software yang berkaitan supaya di masa akan datang saya juga mampu menawarkan perkhidmatan mereka logo untuk pelanggan, bukan terhad kepada rekaan cop getah semata-mata. Saya ingin menghasilkan e-book dan mengadakan kelas mengukir cop getah,'' katanya.
No comments:
Post a Comment