Like Blog Ini...

Wednesday, September 30, 2009

Pelaksanaan hibah dalam konteks operasi Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

HIBAH secara asasnya bermaksud pemberian, sedekah atau hadiah melibatkan akad yang mengandungi pemberian hak milik oleh pemilik harta kepada seseorang secara suka rela semasa hayatnya atas dasar kasih sayang tanpa mengharapkan balasan ('iwad).

Hibah adalah diharuskan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 177 surah al-Baqarah.

Selain itu, terdapat hadis berkaitan urusan hibah ini. Sabda Rasulullah SAW: Berilah hadiah, kamu akan berkasih sayang. (riwayat al-Bukhari)

Pun begitu, apabila seseorang telah menghibahkan hartanya kepada individu yang lain, dia tidak boleh menarik semula atau membatalkan hibah tersebut kecuali dalam situasi seorang bapa menghibahkan harta kepada anaknya atau datuk kepada cucunya.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mengambil balik hibahnya seperti orang yang menjilat kembali muntahnya". (riwayat Al-Nasa'i)

Sabda Baginda SAW lagi: "Seseorang tidak boleh meminta balik hibahnya melainkan hibah bapa terhadap anaknya". (riwayat Al-Nasa'i)

Setiap kontrak dalam Islam mempunyai rukun-rukun dan syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga dengan hibah.

Akad hibah tidak akan wujud melainkan setelah rukun-rukun dan syarat-syaratnya dipenuhi.

Rukun-rukun bagi hibah ialah pemberi hibah (al-wahib), penerima hibah (al-mauhub lahu), benda yang dihibahkan (al-mauhub) dan sighah (penawaran dan penerimaan atau ijab dan qabul).

Syarat-syarat sah pemberi ialah pemberi merupakan pemilik yang sah ke atas harta yang ingin dihibahkan, tidak dihalang oleh sesuatu perkara.

Pemberi juga merupakan seorang yang telah baligh dan hibah atau pemberian yang dibuat perlulah dibuat secara suka rela dan tanpa paksaan. Jika pemberi dipaksa untuk menghibah atau menghadiahkan hartanya kepada orang lain, secara automatik hibah tersebut adalah terbatal.

Selain itu, syarat-syarat penerima pula ialah penerima perlu wujud semasa proses hibah atau kontrak dijalankan. Syarat-syarat bagi barang yang ingin dihibahkan ialah ia mesti wujud semasa berlakunya akad hibah, halal, mempunyai nilai dan dimiliki oleh pemberi hibah.

Penerima hibah tidak boleh menghibahkan barang yang menjadi milik orang lain. Contohnya; Ali menghibahkan pen Ahmad kepada Abu. Hibah tersebut adalah tidak sah kerana pen tersebut adalah dimiliki oleh Ahmad dan bukan kepunyaan Ali.

Apabila sesuatu akad hibah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syaratnya serta berlaku penyerahan dan pemberian barang itu (al-qabd), maka harta itu menjadi milik si penerima hibah. Jika al-qabd tidak berlaku, maka akad hibah tidak sah dan pemberi hibah berhak menarik balik hibah itu selama mana harta masih berada dalam miliknya.

Hibah diadaptasi sebagai konsep tambahan kepada produk-produk Takaful dan diamalkan oleh kebanyakan pengendali takaful seperti produk Pelan Pendidikan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Pembayar sumbangan

Produk ini hanya ditawarkan kepada ibu bapa yang mempunyai anak di mana ibu atau bapa akan bertindak sebagai pembayar sumbangan (pemberi hibah) dan anaknya merupakan peserta takaful (penerima hibah). Hibah seperti ini diharuskan kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Selain itu, pengendali Takaful melalui pengurusan Tabung Tabarruk akan menghibahkan sesuatu kepada peserta sebagai ganjaran di atas kejayaan tertentu yang dicapai oleh peserta. Hibah jenis ini juga jelas dan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip syarak kerana semua rukun dan syarat dapat dipenuhi.

Berkaitan hibah manfaat Takaful kepada penama yang dinamakan di dalam borang penerima manfaat, para ilmuwan berselisih pendapat berkaitan beberapa isu yang ditimbulkan daripada amalan ini.

Antaranya adalah hibah seharusnya dilakukan semasa hidup, akan tetapi hibah manfaat Takaful akan hanya berkuatkuasa setelah peserta Takaful meninggal dunia.

Status manfaat Takaful juga masih dipertikaikan sama ada ia adalah harta si mati atau tidak. Jika ia adalah harta, adakah ia perlu dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid atau hibah yang dibuat itu sudah memadai untuk dilaksanakan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dalam mesyuaratnya yang ke 34 bertarikh 21 April 2003 / 19 Safar 1424, telah membuat keputusan mengenai aplikasi konsep hibah bagi pembahagian manfaat Takaful:

1. Manfaat Takaful boleh dihibahkan kerana ia merupakan hak para peserta. Justeru, para peserta mesti dibenarkan untuk melaksanakan hak-hak mereka berdasarkan pilihan mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariah;

2. Status hibah yang digunakan dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat, kerana jenis hibah yang digunakan ialah hibah bersyarat di mana hibah yang dibuat ialah tawaran kepada penerima untuk tempoh masa yang tertentu.

Dalam konteks Takaful, manfaat Takaful dikaitkan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup semasa tempoh matang sijil, manfaat Takaful akan dimiliki oleh peserta. Akan tetapi, jika peserta meninggal dunia sebelum tempoh matang, maka hibah akan berkuatkuasa;

3. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat sebelum tempoh matang sijil, kerana hibah bersyarat hanya sempurna selepas berlakunya penyerahan (qabdh);

4. Peserta mempunyai hak membatalkan hibah yang dibuat kepada seseorang individu dan menyerahkan barang yang ingin dihibahkan itu kepada orang lain atau membatalkan penyertaan dalam Takaful, jika penerimanya mati sebelum tempoh matang; dan

5. Borang penamaan Takaful perlu diselaras dan dinyatakan dengan jelas status penama sama ada sebagai benefisiari atau pemegang amanah (wasi). Sebarang masalah berkaitan pembahagian manfaat Takaful mestilah dirujuk kepada kontrak yang telah dimeterai.

Bagi produk-produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas, pihak syarikat menyediakan borang cadangan hibah untuk peserta sekiranya mereka bercadang menghibahkan manfaat Takafulnya setelah berlaku kematian peserta.

Namun begitu, nama yang dicadang perlulah terdiri sama ada ibu bapa, pasangan yang sah, anak dan adik-beradik.

Walaupun hibah secara asasnya boleh diberi kepada sesiapa sahaja, namun, bagi menjaga dan memelihara kebajikan waris terdekat, pihak syarikat mengkhususkan kategori individu yang ingin dicadangkan sebagai penerima hibah.

Kesan daripada penggunaan akad hibah ialah harta yang telah dihibah terkeluar daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka atau faraid. Selain itu, harta tersebut tidak boleh dituntut oleh ahli waris yang lain.

Melihat kepada keperluan semasa, seharusnya lebih banyak produk yang berasaskan konsep hibah dihasilkan. Ia bagi menjadikan produk-produk tersebut lebih kompetitif dan mampu menandingi produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional.

Justeru, para pengendali Takaful seharusnya mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk-produk yang bukan hanya kompetitif.

Apa yang paling penting, ia mestilah selaras serta selari dengan prinsip-prinsip yang digariskan oleh syariah.

Pengurusan haji tanah air

Oleh ZAKARIAH YET

TABUNG Haji (TH) adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan keberangkatan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan fardu haji. Perancangan dan strategi yang baik sentiasa diatur bagi membolehkan hasrat bakal haji melaksanakan rukun Islam kelima ini dengan sempurna serta kos yang efektif.

Bagi setiap musim haji, perancangan yang rapi bermula daripada sesi percambahan fikiran dan sesi penilaian operasi haji tahun sebelumnya. Perancangan operasi haji adalah meliputi aspek bimbingan jemaah haji, penyediaan petugas haji, penyediaan prasarana dan logistik tanah air dan Tanah Suci dan mesyuarat penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Pendaftaran Haji

Setiap warganegara Malaysia yang beragama Islam boleh membuat pendaftaran haji di mana-mana Pejabat TH cawangan di seluruh negara atau melalui laman web di alamat www.tabunghaji.gov.my. Syarat pendaftaran adalah mereka hendaklah menjadi pendeposit TH terlebih dahulu dan mempunyai akaun simpanan tidak kurang daripada RM1,300.

TH mengamalkan konsep Sistem Pendaftaran Haji Terbuka (SPHT). Melalui sistem ini, ia membolehkan pendeposit membuat pendaftaran haji pada bila-bila masa. Namun, jika pendaftaran untuk tahun yang dipilih telah penuh (telah mencapai jumlah kuota jemaah haji semasa), bakal haji akan ditentukan pilihan berikutnya yang masih kosong. SPHT juga membolehkan bakal haji merancang tahun pemergiannya ke Tanah Suci.

Bimbingan

Sebelum berangkat ke Tanah Suci, bakal haji perlu menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal serta pengisian rohani yang mantap agar pelaksanaan ibadah haji dapat dihayati. Setiap rukun dan wajib haji yang dikerjakan haruslah difahami tujuannya yang mana ia mengandungi makna yang tersirat.

Atas kesedaran itu, TH mengambil inisiatif memberi panduan dan tunjuk ajar yang berkesan kepada setiap bakal haji yang telah terpilih untuk menunaikan fardu haji bagi tahun semasa.

Bimbingan haji ini telah diatur dengan terperinci sejak dari awal tahun lagi yang merangkumi program kursus haji, penerbitan haji, bimbingan melalui media massa dan pembangunan pembimbing ibadat haji dan guru agama.

Bagi program kursus haji, ia terbahagi pula kepada empat jenis iaitu; Kursus Haji Bersiri, Kursus Haji Intensif, Kursus Haji Khas dan Kursus Haji Perdana.

l Kursus Haji Bersiri

Kursus ini adalah merupakan pengenalan dan pendedahan awal kepada ibadat haji dan umrah. Ia juga dikenali sebagai Kursus Haji Mingguan kerana diadakan pada setiap Ahad selama empat bulan satu minggu iaitu 17 siri berturut-turut bermula dari bulan Rabiulawal hingga Jamadilakhir.

Kursus haji ini terbuka kepada semua umat Islam yang berminat. Ia juga tidak dihadkan kepada umur dan jantina. Kursus haji ini biasanya diadakan di masjid terpilih di peringkat daerah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam dan juga Majlis Agama Islam.

l Kursus Haji Intensif

Kursus ini adalah kursus lanjutan daripada Kursus Haji Bersiri. Ia dilaksanakan selama dua hari untuk setiap kumpulan jemaah haji yang tidak melebihi 100 - 150 orang.

Penekanan dalam kursus haji ini tertumpu kepada pelaksanaan ibadah haji secara teori dan praktikal. Kursus diadakan pada bulan Rejab dan Syaaban yang terdiri daripada mereka yang terpilih dan standby untuk menunaikan fardu haji pada tahun semasa.

l Kursus Haji Khas

Ia adalah kursus lanjutan dari- pada Kursus Haji Intensif. Peserta kursus terdiri daripada mereka yang tidak tahu membaca dan menulis serta gagal dalam ujian Kursus Haji Intensif.

l Kursus Haji Perdana

Ia adalah kursus terakhir sebagai pendedahan kepada suasana dan persekitaran jemaah yang ramai semasa melaksanakan praktikal ibadat haji. Kursus ini melibatkan bakal-bakal haji yang terpilih pada tahun semasa sahaja dan dilaksanakan selama satu setengah hari (2 hari 1 malam) di masjid atau tempat yang bersesuaian di setiap negeri dalam bulan Syawal. Kursus menjurus kepada praktikal ibadah tawaf, saie, melontar, bermabit di Muzdalifah dan Mina secara beramai-ramai.

Pemilihan kelayakan

Sistem komputer akan memilih 27,000 orang terawal mendaftar untuk menunaikan fardu haji sebagai jemaah haji terpilih. Bakinya akan ditawarkan sebagai bakal haji standby.

Pemilihan dari kalangan bakal haji standby menjadi terpilih bergantung kepada kekosongan kuota berikutan pembatalan/penarikan diri bakal haji terpilih atau sekiranya Malaysia mendapat tambahan kuota yang mencukupi.

l Pasport haji

Kerajaan Arab Saudi menetapkan penggunaan pasport antarabangsa kepada semua jemaah haji seluruh dunia mulai musim haji 1430H.

Jemaah haji hendaklah berurusan sendiri di Pejabat Imigresen untuk membuat Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan membawa Surat Tawaran Menunaikan Fardu Haji 1430H.

Sebelum bakal haji membuat permohonan PMA, mereka hendaklah membuat semakan senarai syak (halangan meninggalkan Malaysia). Semakan boleh dibuat melalui salah satu daripada kaedah berikut:-

l Semakan di mana-mana Pejabat Imigresen

l Semakan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Caranya:- Taip 'REQSSP nombor kad pengenalan' dan hantar SMS ke nombor 019-2772497. Nombor kad pengenalan tidak perlu tanda sengkang (-). Jawapan akan diterima melalui SMS

l Semakan melalui Sistem Aplikasi Elektronik Jabatan Imigresen Malaysia

Caranya:- Layari: http://www.imi.gov.my

Klik di: Sistem Semakan Status Perjalanan. Kemudian, masukkan nombor kad pengenalan di Sistem Aplikasi Elektronik (JIM) dan tekan butang 'semak'. Keputusan semakan akan diterima secara automatik.

Setelah PMA diperoleh, bakal haji hendaklah terus menghantar PMA ke pejabat cawangan TH (tempat pendaftaran masing-masing).

Bagi mereka yang sudah terlebih dahulu mempunyai PMA, sebelum menghantar PMA ke pejabat cawangan TH mereka hendaklah memastikan perkara berikut:-

l Tempoh sah laku PMA hendaklah

sehingga 16 Julai 2010

l Terdapat empat muka surat kosong

secara berturutan sebelah-menyebelah

l Tiada larangan meninggalkan

Malaysia

l Pemeriksaan kesihatan

Pemeriksaan kesihatan bagi musim haji 1430H sedang berjalan mulai bulan Mei hingga Ogos 2009 (sebelum Ramadan). Bakal haji warga emas dan yang bermasalah kesihatan dikehendaki membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal dan berulang kali bagi tujuan pengesanan awal dan seterusnya diberikan rawatan yang sempurna sebelum jemaah haji tersebut disahkan layak ke Tanah Suci.

Pemeriksaan kesihatan dijalankan di hospital, pusat kesihatan kerajaan di peringkat negeri/ daerah dan juga di Klinik Panel TH. Bagi bakal haji yang membuat pemeriksaan kesihatan di klinik swasta (bukan di Klinik Panel TH), mereka dikehendaki membuat pemeriksaan semula di hospital/ klinik kerajaan atau di Klinik Panel TH.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-84 yang bersidang pada 15 Disember 2008 merumuskan:-

l Pesakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji.

l Pesakit kronik adalah wajib melaksa- nakan badal haji sekiranya berkemam- puan daripada sudut kewangan.

l Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.

Penerbangan dan lokasi

Bakal haji boleh memilih lapangan terbang/ tempat check-in di tujuh lokasi mengikut kesesuaian untuk berlepas ke Tanah Suci iaitu di KLIA (Sepang), Senai (Johor), Bayan Lepas (Pulau Pinang), Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Alor Setar (Kedah). Jadual penerbangan kepada semua bakal haji dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.

Penerbangan pertama jemaah haji ke Tanah Suci adalah dijangka pada 20 Oktober 2009 (1 Zulkaedah) dan akan berakhir pada 17 November 2009 (29 Zulkaedah). Bagi penerbangan balik jemaah haji adalah bermula pada 3 Disember 2009 (16 Zulhijjah) yang dijangka selesai pada 1 Januari 2010 (15 Muharam).

Pemerosesan visa

Visa haji dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. Pasport akan mula divisakan pada 3 Syawal 1430H.

Rumusan

Semua bakal haji dinasihatkan menjaga kesihatan diri masing-masing baik dari segi mental mahupun fizikal.

Banyakkan bersenam yang boleh meningkatkan stamina supaya dapat melakukan ibadat haji seperti tawaf, saie dan melontar dengan bertenaga.

Mereka juga dinasihatkan agar sentiasa memakai gelang pengenalan haji bagi mengenalpasti identiti sekiranya berlaku sebarang insiden atau kejadian yang tidak diingini.

Jemaah haji hendaklah sentiasa bersabar dalam apa jua keadaan semasa berada di Tanah Suci kerana keadaan yang bersesak-sesak di sana menuntut tahap kesabaran yang sangat tinggi.

Banyakkan berdoa supaya segala urusan dapat dipermudahkan oleh Allah SWT. Anggaplah apa yang berlaku adalah sebagai musibah, ujian dan cabaran kepada kita untuk menguji keimanan dan ketakwaan terhadap-Nya.

Tuesday, September 29, 2009

Pilih urus niaga saham syariah

MEGA: Apakah hukum asas bermain saham?

ZAHARUDDIN: Kebanyakan ulama kontemporari berpendapat tatkala kita membeli saham sesuatu syarikat, kita sebenarnya akan memiliki sebahagian kepentingan ekuiti syarikat tersebut, ini bermakna sebagai pemegang saham. Dari sudut pandangan Islam, kita dikira sebagai rakan kongsi syarikat terbabit.

Sebagai rakan kongsi, kita akan terdedah kepada risiko kerugian ataupun kelebihan perolehan keuntungan. Dengan ini, hukum asal pembelian saham adalah halal kerana ia didasari akad 'Shirkah'.

Dalil kepada keharusan bersyarikat ini boleh dilihat di dalam al-Quran yang bermaksud: dan mereka berkongsi dalam 1/3...(an-Nisa: 12)

Dan juga hadis bermaksud: "Aku orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya." (riwayat Abu Daud)

Pembelian saham juga harus dibuat melalui broker atau remisier. Tugas mereka biasanya adalah menentukan nilai pasaran dan coraknya, mengiklankan sebarang aset untuk jualan, menayangkan beberapa aset kepada pembeli yang berpotensi, menasihati pelanggan dalam tawaran yang diterima, sebagai wakil untuk membeli dengan upah tertentu.

Urus niaga di bursa saham telah dibincangkan banyak kali dalam pelbagai persidangan ulama dan pakar kewangan sedunia. Keputusan Kesatuan Fiqh Antarabangsa (pada 9-14 Mei 1992) dan Majlis Kajian dan Fatwa Eropah dalam keputusannya (7/1) 63 antara lainnya menyebut:

Hukum membeli saham pada asalnya adalah sama dengan hukum bersyarikat atau musyarakah atau rakan kongsi. Ia adalah harus menurut syariah daripada al-Quran dan hadis.

Walaupun hukum asalnya harus, ia tetap mempunyai beberapa syarat umum bagi memastikan yang harus tidak berubah kepada haram.

Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktiviti urus niaga saham ini adalah:

a. Penubuhan dan penyertaan sebuah syarikat yang patuh syariah di dalam bursa adalah harus.

b. Tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau membeli saham syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti institusi kewangan yang memberi pinjaman riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Majoriti ulama dunia mengharuskan penjualan dan pembelian di bursa

l Syarat ijab kabul telah terlaksana dalam pembelian dan pemilikan saham.

l Majlis Pengarah syarikat telah mewakili seluruh pemegang saham dalam pengurusan syarikat mereka.

Sehubungan itu, para ulama besar mengharuskannya seperti Sheikh Mahmud Syaltut, Sheikh Ali Khafif, Sheikh Muhammad Abu Zahrah, Dr. Muhammad Yusof Musa dan ramai lagi. (At-Takaful Al-Ijtima'ie, Abu Zahrah, 2/184 ; As-Syarikat : Ali Khafif, hlm 96 ; Al-Mualamat Al-Maliah, Uthman Syabir, hlm 206)

Namun terdapat sedikit pertikaian hukum berkongsi syarikat dengan bukan Islam. Perbincangan dan pertikaian timbul dalam isu membeli saham yang dianggap patuh syariah tetapi majoriti pemilikannya adalah individu bukan Islam.

Terdapat sebahagian ulama yang tidak membenarkannya dan ada juga yang menganggapnya sebagai makruh. Ia berdasarkan riwayat Ibnu Abbas r.a yang bermaksud: Berkata Ibnu Abbas, "Jangan kamu bersyarikat dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi", maka aku (Ibnu Hamzah) bertanya "mengapa tidak?" Jawab Ibnu Abbas: "Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal". (Al-Mughni, Ibnu Qudamah, 5/3 ; Al-Muhazzab, 1/345)

Hadis di atas menjadikan Imam As-Syafie menganggap bermusyarakah dengan bukan Islam adalah makruh. Imam Ahmad, Awzaie dan Hasan al-Basri menganggapnya harus.

Imam Ibnu Quddamah juga mengatakan kata-kata Ibnu Abbas tadi hanyalah pandangan seorang sahabat dan tidak pula tersebar di kalangan sahabat lain.

Khalifah Umar al-Khattab berpandangan harusnya dengan iktikad ia daripada pendapatan mereka yang halal sebagaimana Nabi SAW diriwayatkan membeli makanan daripada Yahudi dan mencagarkan baju besi baginda SAW.

Pandangan mengharuskan dengan melihat kepada perincian aktiviti syarikat ini disokong kuat oleh ulama besar kontemporari seperti Sheikh Mustafa Az-Zarqa. Beliau menolak pengharaman umum ke atas penyertaan di bursa saham.

Justeru selagi mana urus niaga syarikat adalah menepati syariah, ia adalah sah walaupun terdapat rakan kongsi bukan Islam yang sama ada diketahui atau tidak bahawa modalnya daripada yang haram. Ia juga dikuatkan oleh riwayat berikut:

Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Athar berkata: Rasulullah SAW melarang daripada bermusyarakah dengan Yahudi dan Nasrani kecuali jika jual belinya di tangan orang Islam (menuruti syariah). (Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal: Ahkam Ahli Zimmah, 1/556)

Ada yang bagi alasan, saham-saham yang mematuhi syariah itu kurang menguntungkan berbanding saham lain. Sebab itu melabur dalam saham bukan syariah. Adakah tanggapan ini betul?

ZAHARUDDIN: Saya kurang bersetuju dengan tanggapan tersebut. Setakat semakan saya, kebanyakan blue chips atau saham-saham syarikat-syarikat besar, terkenal dan yang mempunyai keuntungan konsisten di Malaysia telah disahkan patuh syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Oleh yang demikian tidak timbul persoalan kurang menguntungkan. Cuma jika ingin dibandingkan dengan beberapa syarikat yang tidak patuh syariah seperti perjudian dan kewangan riba.

Mungkin dakwaan itu ada sedikit kebenarannya, namun demikian tidak tepat untuk mendakwa kaunter tidak halal ini sentiasa lebih menguntungkan berbanding yang patuh syariah.

Ada pelbagai jenis orang yang main saham. Apa hukumnya bagi yang main kontra?

ZAHARUDDIN: Jualan kontra adalah apabila pembeli saham mengambil peluang daripada tempoh penangguhan bayaran saham yang dibeli untuk membeli sesuatu saham dan kemudian menjualnya sebelum tempoh 'wajib' bayar tiba.

Sebagai contoh di Malaysia wujud undang-undang T+3. Ia bererti urus niaga pembelian saham dibuat sebagai contoh pada hari Isnin, tetapi pembayaran bagi pembelian tadi mesti diselesaikan dalam sebelum atau pada hari Khamis (dalam masa tiga hari).

Pemilikan saham akan bertukar milik sejurus selepas transaksi walaupun pembayaran belum dibuat.

Walau bagaimanapun, jangan disangka bahawa di antara tempoh tiga hari itu, seseorang mempunyai masa untuk membatalkan urus niaga. Urus niaga telah termeterai pada hari urus niaga iaitu hari Isnin dalam contoh di atas. Cuma proses pertukaran dan pembayaran sahaja yang belum dibuat.

Hukum transaksi kontra seperti ini boleh datang dalam dua keadaan:

a) Jika pembeli punyai wang secukupnya dari awal; Jika pembeli membeli sebuah saham patuh syariah dengan kontra dengan cara pembayaran T-3, dan beliau sememangnya telah mempunyai wang yang cukup dalam akaunnya sebanyak nilai pembelian sahamnya dari hari pertama lagi. Namun sebelum tiba tempoh penyelesaian pembayaran tiba, harga sahamnya melonjak naik, menyebabkan dia dengan segera menjualnya agar dapat peroleh keuntungan. Urus niaga seperti ini halal.

Keharusan ini dikuatkan lagi apabila keterangan di dalam web bursa Malaysia menjelaskan setiap individu yang ingin membeli mestilah mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung harga saham yang dibeli dan juga semua kos transaksi.

Jika demikian peraturannya, saya berpandangan bahawa hak milik sekuriti yang dibeli telah sempurna. Ia juga memang mempunyai wang yang mencukupi bagi tujuan pembelian itu walaupun belum sampai hari wajib bayar, tatkala itu, belian dan jualannya adalah sah.

b) Tidak punyai wang cukup

Sekiranya, pembeli tidak mempunyai wang yang cukup di dalam akaunnya pada waktu pembelian, tetapi hanya dipinjam daripada wang broker dengan kadar faedah tertentu dengan harapan harga akan menjadi lebih tinggi daripada apa yang dibeli. Ia adalah haram.

Ini dilakukan bagi membolehkannya menjual sekuriti yang dibelinya sebelum sampai masa perlu bayar dan membuat keuntungan atas angin kerana membeli tanpa modal sebenar.

Bagi saya urus niaga seperti ini (jika berlaku) ia tidak syak lagi mempunyai unsur riba (jika modal yang dipinjam punyai faedah).

Sekiranya tiada punyai sebarang faedah, ia masih mempunyai elemen perjudian kerana ia benar-benar bergantung kepada nasib dan harapan harga akan naik. Pembeli pula tiada sebarang wang yang mencukupi, ia hanyalah bergantung kepada wang broker yang mengabuinya. Tatkala itu transaksi tetap tidak halal.

Apa pula hukumnya melibatkan diri dengan pelaburan di Internet?

ZAHARUDDIN: Islam menerima transaksi kewangan sama ada jual beli dan juga pelaburan yang dilakukan melalui Internet. Cuma syarat-syarat bagi jual beli dan pelaburan mestilah dipastikan terlebih dahulu.

Secara ringkasnya, pelaburan melalui Internet hanya akan menjadi halal sekiranya:

a) Tiada unsur gharar (tidak tentu status) berkenaan latar belakang syarikat yang menguruskan pelaburan itu. Justeru mesti dipastikan syarikat itu benar-benar wujud dan diketahui lesen serta perincian pengurusan syarikat.
b) Diketahui dengan jelas jenis pelaburan atau perniagaan yang dilaksanakan oleh syarikat terbabit dan status halalnya.
c) Cara pelaburan dilakukan secara halal tanpa sebarang jaminan untung tertentu dan jaminan selamat modal, jika terdapat unsur jaminan sebegini, ia disepakati ulama sebagai haram kerana riba.
d) Memastikan syarikat yang dilaburkan dana kita melalui Internet itu disahkan kewujudannya oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Dalam Islam, yang penting bagi rezeki kita ialah keberkatan walaupun ia sedikit. Boleh ustaz terangkan dalam konteks saham ini.

ZAHARUDDIN: Islam tidak menyekat umatnya untuk memperoleh keuntungan. Namun beberapa hukum haram diletakkan bagi apa-apa transaksi yang menyumbang kepada mudarat kepada diri sendiri atau zalim kepada sebelah pihak lain.

Dalam urus niaga saham, kita tahu terdapat banyak teknik pembelian saham yang wujud, dan sebahagiannya telah saya ulas di dalam buku saya 'Wang, Anda dan Islam'.

Ringkasnya, terdapat cara yang haram dan ada pula yang halal. Bagi mereka yang mendambakan keuntungan lumayan mereka mungkin akan melibatkan diri sama ada melalui pinjaman riba dengan broker bagi menambahkan kemampuan modalnya, atau membeli saham tidak patuh syariah yang dikira stabil dan untung, atau memasuki alam urus niaga saham sebagai tempat berjudi.

Nabi pernah mengingatkan bahawa riba itu walau banyak pada kiraan fizikalnya, ia bakal membawa kepada sedikit. Maksud 'sedikit' itu adalah kerana individu terbabit akan sentiasa merasa tidak cukup, 'sedikit' juga bermaksud perolehan itu hanya akan mendorongnya kepada sedikit dan kurang rahmat dan belas Allah terhadapnya.

Tiada berkat ini akhirnya, mengotorkan jiwa, hati dan pemikiran individu terbabit sehingga sifat tamaknya terus membuak dan sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada.

Lebih teruk, ketiadaan berkat dalam pendapatan mendorong individu kepada lebih banyak dosa dan liat dalam melakukan amal soleh. Atas sebab itu, Islam sentiasa mengajak umatnya memastikan status halal dalam pendapatan walau sedikit kerana keberkatan itu sumber kebahagiaan dan ketenangan hati.

Apa guna harta yang banyak dengan hati yang sentiasa tertekan dan tidak tenteram.

Apakah status urus niaga yang dilakukan selepas azan pertama dikumandangkan pada hari Jumaat?

ZAHARUDDIN: Solat jumaat wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus.

Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya: Wahai orang yang beriman, apabila telah diseru untuk solat pada hari Jumaat, bersegeralah kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.

Menurut majoriti mazhab seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali, berjual beli selepas azan kedua (iaitu azan semasa khatib telah duduk di atas mimbar) hari Jumaat adalah haram, akadnya tidak sah.

Hasil perolehan daripada akad itu juga adalah haram dan pemilikan barang yang dibeli juga tidak sah. Ulama Mazhab Syafie menganggap jual beli pada waktu itu hanya makruh dan masih sah.

Jual beli yang dilakukan setelah azan pertama iaitu sebelum imam atau khatib duduk di atas mimbar, ulama seperti At-Tohawi mengatakan ia adalah sah dan dibenarkan. Cuma tidak digalakkan kerana dibimbangi akan menyibukkan kedua-dua pembeli dan penjual dari kewajipan solat Jumaat.

Perlu difahami bahawa azan di zaman Nabi SAW, Abu Bakar as-Siddiq dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, manakala di zaman Uthman, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Imam Al-Bukhari melaporkan bahawa azan Jumaat di zaman Nabi dilaungkan hanyalah sekali iaitu di waktu imam mengambil tempat di atas mimbar.

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:
a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.
b) Dilakukan oleh lelaki yang wajib solat Jumaat.
c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini.

Monday, September 28, 2009

Bilal memeluk Islam

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

BILAL bin Rabah seperti yang diceritakan oleh Abdul Latip Talib dalam bukunya; Bilal bin Rabah, Pengumandang Seruan Langit, begitu mengharungi pahit getir sebagai hamba.

Ditambah dengan warna kulitnya yang hitam itu, Bilal menjadi mangsa masyarakat Arab yang mengamalkan dasar diskriminasi warna, iaitu aparteid.

Bilal dipandang hina oleh kebanyakan penduduk Arab dan boleh diperlakukan apa sahaja dan tidak layak dilayan seperti manusia.

Telah diberi makan, minum dan tempat tinggal sudah cukup baik. Jangan bertanyakan soal upah kerja mahupun hendak memiliki harta, hak-hak itu dinafikan bagi mereka yang bergelar hamba!

Jadi, apabila Bilal digula-gulakan dengan tawaran merdeka jika berjaya membunuh Nabi SAW, peluang seperti ini terlalu sukar dilepaskan.

Lalu bersama sebilah pisau tajam yang dilumur racun tersembunyi di sebalik jubah, Bilal melangkahkan kaki menuju ke rumah Abu Bakar As Siddiq. Ini kerana hanya melalui Abu Bakar sahaja, Bilal akan dibawa menemui Nabi SAW.

Sebelum itu sebenarnya, Bilal pernah menemui Abu Bakar ketika sahabat baik Nabi itu datang menemui tuannya, Umaiyyah bin Khalaf atas urusan perniagaan.

Bilal mendapati sahabat tuannya itu mempunyai watak yang sangat berbeza. Tidak seperti Umaiyyah yang bengis, kejam dan tidak berperi kemanusiaan .

Abu Bakar ialah seorang yang mempunyai hemah yang tinggi, berbudi bahasa, menghormati kawan dan lawan dan tidak pernah memandang hina kepada sesiapa pun.

Dalam pertemuan itu Bilal bertanya bagaimana Abu Bakar boleh memeluk Islam dan apakah kelebihan-kelebihan yang ada pada agama itu sehingga semakin ramai meninggalkan penyembahan berhala yang selama ini begitu dipertahankan.

Lalu Abu Bakar pun dengan senang hati menjawab segala pertanyaan Bilal sehingga hamba itu sendiri begitu tertarik mendengarkannya.

Ini apabila Abu Bakar memberitahu bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang memberi keadilan dan kedudukan sama rata kepada semua penganutnya tanpa mengira warna kulit, bangsa dan rupa.

Tidak ada golongan hamba kecuali mereka yang bertakwa, orang itulah yang akan mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah!

"Jika seorang hamba sekalipun, andai dia mempunyai iman yang teguh terhadap Allah, maka dialah yang mendapat tempat dan dipandang mulia oleh agama.

"Bukan seperti yang berlaku sekarang, manusia dipandang mulia kerana warna kulit. Sedangkan semua itu tidak sepatutnya membeza-bezakan kita semua," kata Abu Bakar.

Kata-kata Abu Bakar menyebabkan Bilal semakin teruja dan tidak sabar-sabar meminta supaya diislamkan dengan segera.

Beliau yakin hanya dengan Islam sahaja, kebebasan hidup sebagai manusia dapat beliau rasai.

Namun Abu Bakar menasihatkan Bilal supaya menunggu masa yang sesuai dan lebih selamat untuknya memeluk Islam. Ini kerana Abu Bakar lebih bimbangkan keselamatan Bilal, takut akan diseksa oleh tuannya, Umaiyyah yang terkenal dengan sifat kejam dan bengisnya itu.

Bilal akur dengan nasihat Abu Bakar namun di hatinya tidak mampu menahan untuk menemui Nabi SAW.

Kali ini beliau sebenarnya berjaya mengelabui tuannya, beliau sama sekali tidak memperalatkan Abu Bakar dalam usaha untuk menemui dan membunuh Rasulullah SAW.

Rahsia

Ini kerana pada mulanya Umaiyyah tidak setuju Bilal hendak menemui Abu Bakar kerana dikhuatiri rahsia rancangan mereka akan bocor dan gagal membunuh Nabi yang kini menjadi musuh ketat golongan kafir Quraisy.

Namun Bilal memberi jaminan, Abu Bakar digunakan semata-mata untuk membawanya menemui Nabi Muhammad. Ini kerana baginda sering berada di tempat-tempat yang dirahsiakan dan tidak diketahui oleh orang ramai bagi menyampaikan ajaran Islam secara lebih mendalam.

Umaiyyah sebenarnya tidak mengetahui bahawa Abu Bakar telah mengetahui segala rahsia rancangan jahat itu sebagaimana yang diberitahu sendiri oleh Bilal.

Lalu kedua-dua mereka berpura-pura saling tidak mengetahui niat masing-masing dan memberi jaminan bahawa Bilal pasti dapat menemui baginda kerana Abu Bakar sahaja yang mengetahui di mana Nabi SAW berada.

Bilal akhirnya berjaya menemui satu-satunya manusia yang ingin beliau temui dan berharap menjadi 'hamba' kepada Nabi Muhammad setelah melalui hidup yang amat membosankan sebagai hamba kepada Umaiyyah.

Dalam pertemuan beliau dan baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam di kaki bukit Safa, Bilal langsung tidak mengeluarkan pisau tajam lagi beracun yang tersisip di pinggang tersembunyi di sebalik jubah.

Beliau sama sekali tidak mengkhianati Abu Bakar malah yang beliau keluarkan hanyalah tangannya yang bersih berjabat dengan Nabi Muhammad untuk mengakui "bahawa tiada yang wajib disembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah".

Tanpa sebarang keraguan lagi. Maka rasmilah kini, Bilal memeluk Islam sebagaimana beberapa golongan hamba lain yang turut memeluk Islam kerana tidak tahan lagi hidup di bawah rejim kafir Quraisy.

Malah sejurus melafazkan syahadah itu, Bilal mula merasai nikmat keislaman mengalir ke segenap darah dan tubuhnya. Terasa nyaman lagi menyejukkan. Ditambah senyuman dan layanan baik Rasulullah sudah cukup menjadi pemangkin untuk beliau keluar dari naluri penghambaan.

Beliau sama sekali tidak menyangka golongan hamba sepertinya, yang sering dipandang hina, sudi diterima oleh baginda sebagai pengikutnya.

Ini menjadikan beliau, Bilal yang baru. Bukan lagi hamba tetapi menjadi lebih berani dan tidak lagi menghiraukan ancaman dan ugutan dari Umaiyyah atau sesiapa sahaja.

Bilal kemudian menghabiskan masa hampir sehari dengan Nabi Muhammad untuk mengenali dan mempelajari Islam secara lebih dekat.

Apabila tiba masanya untuk pulang, Bilal benar-benar berat hati untuk meninggalkan Nabi dan para sahabat yang lain di rumah Al Arqam itu.

Namun berbekal semangat yang baru, Bilal dikatakan terus menuju ke kaabah dan menghampiri patung-patung berhala yang ada di situ.

Beliau benar-benar memandang jijik terhadap patung-patung itu dan mahu sahaja tangannya memusnahkan kesemua patung itu supaya tidak mencemari kaabah yang mulia.

Saat itu juga beliau ternampak seorang lelaki yang sedang menyembah salah satu berhala kerana meminta perniagaannya dapat diselamatkan dan keluarganya tidak ditimpa musibah akibat kerugian yang beliau alami.

"Adakah patung itu boleh memakbulkan doa kamu?," Pertanyaan Bilal yang mengundang renungan tajam lelaki itu.

"Wahai Bilal, apakah kamu sudah tidak percaya kepada tuhan-tuhan kita? Kamu tidak takut dilaknat oleh al Latta dan al Uzza?," kata lelaki itu dengan nada suara yang terkejut.

"Saya tidak pernah menyembah patung-patung itu dan tidak pernah berdoa kepadanya. Berhala itu tidak boleh berkata-kata, tidak boleh mendengar dan melihat. Bagaimana pula dia boleh mendengar permintaan kamu?," kata Bilal.

"Wahai Bilal, adakah kamu sudah menjadi pengikut Muhammad?," tanya lelaki itu dengan rasa marah yang meluap-luap.

"Tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu memang pesuruh Allah," jawab Bilal.

Lelaki itu begitu marah dan mengancam untuk mengadukan mengenai Bilal yang telah berpaling tadah kepada Islam itu kepada tuannya, Umaiyyah bin Al Khalaf.

Ancaman

Bilal sama sekali tidak takut dengan ancaman itu malah mengejek lelaki itu dengan terus meludah ke arah patung berhala itu. Malangnya perbuatannya itu turut dilihat oleh Abu Lahab

Abu Lahab begitu marah dengan sikap Bilal dan mengugut untuk memberitahu kepada Umaiyyah.

Bilal sudah tidak menghiraukan lagi dengan ugutan seperti itu dan terus pulang untuk menemui tuannya.

Di rumah, Umaiyyah begitu tertunggu-tunggu kepulangan Bilal dan tidak sabar-sabar menantikan berita yang bakal dibawa oleh hambanya itu.

Sebaik sahaja Bilal menjejakkan kaki ke rumahnya, Umaiyyah terus menerpa Bilal dan bertanyakan mengenai rancangan membunuh itu.

Alangkah terkejut Umaiyyah apabila Bilal dengan tenang memberitahu bahawa beliau belum lagi membunuh Nabi Muhammad.

"Kenapa belum? ataupun kamu sengaja mengingkari perintah aku?" tanya Umaiyyah kepada Bilal dengan nada yang keras.

"Saya belum dapat bertemu Muhammad kerana nabi itu berada di tempat rahsia. Hanya pengikut-pengikut yang setia sahaja dapat menemui Nabi.

"Jadi, benarkanlah saya menjadi 'pengikut' Muhammad mungkin hanya dengan cara itu sahaja kita tahu di mana beliau berada dan mudah untuk kita membunuhnya" jawab Bilal.

Umaiyyah cukup marah dengan jawapan Bilal namun tanpa banyak pilihan beliau terpaksa setuju dengan cadangan Bilal itu. Asalkan sahaja Bilal dapat membunuh Nabi Mohammad itu.

Ikuti keluaran datang, akibat Bilal meludah patung-patung berhala, apakah yang terjadi pada hamba kulit hitam itu?

Hukuman sebat syariah tidak seperti sebatan sivil

Isu sebat sepatutnya tidak dibesar-besarkan. Bahkan penjelasan mengenainya telah pun dibincangkan melalui satu seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada April lalu berhubung Hukuman Sebat Jenayah Syariah.

"Jika dibuat perbandingan di antara sebat syariah dan sebat sivil, kesimpulannya, sebat sivil itu lagi kejam," demikian kata pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jasri Jamal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu hukuman sebat terhadap Dewi Sari Kartika Shukarno yang dijatuhi hukuman sebat oleh Mahkamah Syariah Negeri Pahang kerana meminum arak di khalayak ramai, baru-baru ini.

Ujar Jasri, Islam itu agama yang indah dan sebat yang termaktub di dalam hukum syariah pula mempunyai banyak hikmah di sebaliknya.

Oleh itu mengapa ia harus dipertikaikan oleh banyak pihak. Walhal dari sudut perundangan, apa sahaja yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah, tiada pihak yang boleh mempertikai apatah lagi pihak yang berada di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beliau menggesa supaya diberi ruang kepada Mahkamah Syariah untuk membuat semakan di atas keputusan yang telah diputuskan.

"Sebagai ahli akademik, kes pertama ini dilihat sebagai kes teladan atau rujukan yang boleh dilihat sekiranya berlaku kes yang seumpamanya pada masa hadapan.

"Tetapi apabila kes ini 'dikacau' oleh pihak-pihak yang tidak sepatutnya bersuara, maka hukuman ke atas Kartika tergendala," jelasnya.

Kaedah Sebat

Sementara itu kekecohan kaedah sebat yang menjadi bualan masyarakat yang mempersepsikan kaedah tersebut menyerupai kaedah sebat sivil, ia harus diperbetulkan.

Menurut Dr. Jasri, kekeliruan ini berlaku mungkin disebabkan ia menjadi kes pertama.

Ditambah pula selama ini, demonstrasi sebat yang diadakan di tempat-tempat awam hanya menunjukkan kaedah sebat sivil.

Justeru sudah tiba masanya, kaedah sebat syariah dipertontonkan kepada masyarakat supaya salah faham ini boleh diperbetulkan.

Dalam pada itu memetik kertas kerja yang bertajuk, 'Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah:Satu Pandangan' oleh Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad, dalam seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah, menjelaskan, daripada aspek pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah, Jabatan Penjara tidak mengalami sebarang masalah kerana semua bentuk hukuman sebat telah diajar kepada Pegawai Sebat Rotan.

Di samping itu apabila terdapat hukuman yang melibatkan sebatan rotan di bawah Enakmen Tatacara Jenayah ia akan dirujuk kepada Bahagian Keselamatan, Ibu Pejabat Malaysia agar tiada sebarang kesilapan semasa pelaksanaan.

"Jabatan Penjara Malaysia perlu mengambil langkah yang lebih berhati-hati dalam melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah kerana ia melibatkan tatacara yang berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Masran menjelaskan, Jabatan Penjara Malaysia telah melaksanakan hukuman sebat rotan terhadap pesalah-pesalah yang disabitkan dengan hukuman tersebut yang terdiri dari berbagai-bagai-bagai kategori seperti berikut:

lJenayah
lJenayah Syariah
lPecah Amanah (CBT)
lJuvana
lPesalah tatatertib penjara

Menurut Masran, secara purata pada setiap tahun selepas tahun 2005 sejumlah 775 pesalah telah dilaksanakan hukuman sebat rotan (1,700 sebatan setiap tahun secara purata).

Justeru, merujuk kes Kartika Dewi Sari, ia sepatutnya tidak menimbulkan sebarang kekecohan apatah lagi, sebatan syariah sama sekali jauh berbeza dengan sebatan sivil.

Bahkan menurut Dr. Jasri, ia boleh diibaratkan antara langit dan bumi.

Oleh itu mengapa perlu gusar sekiranya hukuman sebat syariah perlu dilaksanakan.

ABIM mahu kekal relevan

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SESEBUAH institusi itu terkadang diperkatakan kerana sangat berkaitan dengan binaan bangunannya. Bercerita mengenai fungsi bangunan tersebut sama ada yang bersifat dalaman mahupun luaran.

Namun apabila memperkatakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), ia tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana bangunan yang berdiri megah, indah dan gagah.

Namun ABIM mudah dilihat di mana-mana di serata pelosok negara dan dunia kerana atas sifatnya sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan non partisan yang telah bertapak sejak hampir 38 tahun di negara ini.

Apatah lagi kini, tampuk kepimpinan tertinggi ABIM telah kembali di mana asal ia bermula iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mantan Presiden ABIM, Yusri Mohammad melepaskan jawatannya pada Muktamar ABIM pada 1 Ogos lalu.

Lalu cabaran presiden itu kini digalas oleh pensyarah di Jabatan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Muhammad Razak Idris.

Dalam temuramah baru-baru ini, Muhammad Razak berkongsi cita-cita, visi dan harapan beliau dalam cabaran untuk menerajui ABIM. Ikuti bual bicara bersama Muhammad Razak, seorang yang juga berdarah muda namun mempunyai nada yang penuh kematangan.

MEGA: Bagaimana saudara melihat institusi ABIM kini dan azam saudara sendiri terhadap belia, terutama belia-belia Islam di negara ini?

RAZAK: Dalam visi tetap ABIM, iaitu membina dan memimpin Tamadun Khaira Ummah, saya tidak nafikan ABIM kini memasuki fasa perjuangan yang lebih getir dan kritikal kerana hebatnya masa dan zaman itu berkembang dan berubah yang sekali gus menyebabkan berlaku terlalu banyak perubahan terhadap pemikiran dan tingkah laku manusia.

Justeru saya dan ABIM kini dalam azam mempersiapkan para belia bagi menghadapi pelbagai bentuk perubahan yang melanda hidup ini.

Isunya kini ABIM perlu menangani belia Islam yang mempunyai pelbagai latar belakang terutama daripada aspek bangsa, pendidikan dan taraf sosio ekonomi yang lebih kompleks sifatnya, mampukah semua itu saudara hadapi?

RAZAK: Kalau dilihat daripada komposisi penduduk negara, secara keseluruhan golongan belia Islam hari ini adalah yang memonopoli bilangan penduduk.

Namun yang kompleksnya kini kerana bukan setakat bangsa Melayu sahaja tetapi ada juga belia Islam berbangsa Cina, India sehinggalah termasuk Orang Asli dan kaum bumiputera yang lain sebagai sasaran perjuangan ABIM.

Jadi, tumpuan perjuangan ABIM dikira amat relevan bagi memastikan golongan ini tidak menjadi keliru dan hilang arah tanpa diberi panduan di samping mengisi vakum dalam kepimpinan belia di negara ini.

Melihat pada suasana politik tempatan dan antarabangsa kini yang begitu melalui proses pergolakan, bagaimana ABIM hendak meletakkan diri mereka?

RAZAK: Tidak dinafikan semua perkembangan dan isu-isu politik begitu memberikan kesan terutama ABIM sebagai satu institusi yang berwadahkan perjuangan.

Namun ABIM sendiri akan menyediakan diri mereka untuk menjadi sebahagian daripada isu walaupun saya akui mengakui tidak mustahil ABIM juga akan dikaitkan dengan pelbagai kecaman.

Penyakit Islamofobia atau gerun kepada Islam masih menghantui sesetengah anggota masyarakat sebagaimana yang diwarisi selepas peristiwa September 11.

Jadi pergerakan ABIM tidak mustahil akan terkena tempiasnya sedangkan masyarakat umum mengetahui ABIM bergerak sebagai NGO sebagaimana pertubuhan-pertubuhan lain, sama ada atas nama agama ataupun tidak.

Apabila kita bercakap soal perjuangan, ia amat berkait rapat dengan strategi dan pendekatan. Bagaimana perkara ini dapat saudara jelaskan?

RAZAK: Pelbagai pendekatan lama dan baru akan ABIM jadikan strategi perjuangan dengan pelbagai sentuhan dan nafas-nafas baru yang tidak sekadar nanti dikatakan penjenamaan semula.

Namun tumpuan kita tentunya dengan menjalin kerjasama atau lebih tertumpu kepada kekuatan dialog untuk menerangkan mengenai Islam. Lebih-lebih lagi ABIM yang tidak mempunyai kaitan dengan sebarang aktiviti yang ekstremis dan melampau.

Sebagaimana sudah tiba masanya juga ABIM ingin bersama dengan barisan pemuda NGO-NGO lain termasuk Jemaah Islam Malaysia (JIM) malah sayap-sayap gerakan angkatan pemuda termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan UMNO.

Ini kerana di kalangan para pemuda Islam di negara ini berpecah disebabkan masalah kepartian politik ini.

Ada yang berpendapat ABIM perlu pendekatan yang lebih vokal dan agresif supaya suara ABIM itu lebih didengari dan digeruni?

RAZAK: Saya menyedari perkara itu dan sebenarnya ia merupakan sedikit salah faham di kalangan rakyat yang mahukan supaya ABIM mesti bersifat agresif kerana tidak lagi sesuai lagi sekadar non partisan.

Kita akan cuba menangani semua masalah lebih-lebih melibatkan soal belia, tetapi sesuatu isu mesti ditangani dengan ilmiah dan analisis bersesuaian dengan budaya ABIM, iaitu memahami dan melibatkan diri pada isu semasa termasuk politik.

Jadi kita tidak boleh sewenang-wenang bertindak agresif atau terlalu mendesak kerana semua itu hanya mewujudkan suasana yang tidak lagi harmoni. Tetapi ini tidak bermakna sebagai NGO, pergerakan dan perjuangan adalah terhad. Tetapi apabila kita dapat bergabung dan sepakat dengan NGO-NGO yang lain, bayangkan impaknya kepada semua pihak?

Wajah baru apakah yang hendak saudara berikan kepada ABIM?

RAZAK: ABIM pasti berwajah baru dalam apa juga aspek perjuangan kami. Lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi maklumat (IT). Semua itu dapat anda lihat melalui laman sesawang kami.

Malah jika lebih ramai yang berinteraksi di situ, maka akan lebih banyak wajah baru akan lahir. Ini kerana kita akan mengambil kira dan serius terhadap apa juga pandangan dan pendapat.

Di samping ABIM akan terus bertindak pro aktif dalam satu pergerakan yang holistik.

Sesuai dengan perkembangan dan perubahan itu jugalah ABIM akan cuba mencakupi segenap kegiatan malah akan membuka lebih banyak cawangan sehinggalah membawakan seni hiburan yang Islam dan popular di peringkat antarabangsa.

Namun Anjung Rahmat yang terletak di Batu 6, Jalan Gombak Kuala Lumpur di situ berdenyutnya nadi ABIM untuk beroperasi. Begitu juga Islam Outreach ABIM di Jalan Ampang Hilir 2 Ampang, Kuala Lumpur menjadi satu daerah yang paling menyaksikan keindahan Islam.

Ini apabila di situ Islam terbukti jelas bersifat universal. Merentasi segala perbezaan apabila pelbagai bangsa terutama Cina, India sehinggalah warga Barat; Amerika, Britain, Sepanyol, Rusia dan sebagainya.

Mereka tidak sahaja setulus hati melafazkan syahadah tetapi yang penting ABIM mengambil tanggungjawab berat memastikan pengislaman mereka bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam!

Ramadan, Syawal dan kebangkitan ummah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

RAMADAN 1430H/2009M telah pun pergi meninggalkan kita. Kedatangannya kita sambut dengan penuh syukur dan gembira, tetapi pemergiannya tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Berbahagia mereka yang telah meraikan tetamu agung ini dengan sempurna dan malang sekali bagi mereka yang telah mengabaikan dan gagal menunaikan hak-haknya.

Kini kita berada di hari-hari awal bulan Syawal yang begitu selari dengan kemenangan umat Islam menentang hawa nafsunya sendiri lantas kembali kepada fitrah murni acuan Ilahi.

Semoga kemeriahan sambutan berpanjangan Aidilfitri seperti yang telah menjadi suatu tradisi dalam masyarakat kita tidak sampai memadam kesan positif madrasah Ramadan pada diri kita.

Ada diriwayatkan bahawa sesetengah para Salaf al-Soleh akan terus mengenang Ramadan yang lepas selama enam bulan bersama doa, agar amalan mereka diterima manakala buat enam bulan seterusnya mereka berdoa dan berharap agar dipertemukan dengan Ramadan yang mendatang.

Mengambil semangat itu, pada minggu awal Syawal ini, ruangan ini ingin memetik beberapa peringatan tentang natijah Ramadan yang telah disentuh oleh salah seorang tokoh ulama dan pendakwah unggul mutakhir ini, Sheikh al-Habib Umar Hafiz dari Yaman, dalam ucapan sempena Syawal yang disampaikan olehnya beberapa tahun yang lepas.

Mengambil agama kita daripada tokoh-tokoh ulama yang muktabar dan diiktiraf memang menjadi antara kunci kejayaan dalam kehidupan beragama.

Dalam zaman ini di mana kita tidak ketandusan para khutaba' (pemidato) atau mereka yang petah pidatonya dalam tajuk-tajuk agama, kita perlu beringat bahawa tidak semua syarahan atau tulisan agamanya sedap didengar atau dibaca itu menepati acuan sebenar atau disertai nur dan roh keberkatan yang sepatutnya menjadi ciri semula jadi segala yang asli dan murni dalam agama Islam yang suci ini.

Di sinilah sosok seumpama al-Habib Umar Hafiz jarang-jarang kita ketemukan. Beliau datang dengan gabungan ramuan keturunan yang mulia (keturunan Rasulullah SAW daripada Saidina Hussein r.a.), latar belakang pendidikan Islam yang muktabar serta keterampilan pidato yang memukau para pendengar.

Dalam ucapannya beliau menegaskan dua faedah utama yang sepatutnya diraih daripada bulan Ramadan iaitu:

1. Mengambil Kekuatan Daripada Sumber Utama

Kita sentiasa memerlukan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup. Umat Islam sebagai umat pilihan dan umat risalah sentiasa berada dalam keadaan tercabar yang memerlukan unsur kekuatan.

Ramadan mengingatkan kita dan melatih secara amali agar sentiasa mengambil kekuatan daripada sumbernya yang utama iaitu Allah SWT.

Usaha kita menerusi puasa dan qiam di bulan Ramadan, mengeluarkan sedekah fitrah dan segala ibadah yang lain semuanya merupakan perkara yang menghubungkan kita dengan Tuhan Maha Pencipta SWT.

Ramadan mengajar kita untuk tidak menjadi enemy-centric, terlalu tertumpu kepada musuh dan ehwal mereka, tetapi menumpukan kepada sumber kekuatan kita sendiri di mana perkara yang teratas dalam senarai itu adalah hubungan kita dengan Tuhan.

Kita tidak boleh hanya berterusan memperkatakan tentang kekuatan orang kafir serta segala fenomena kezaliman, penindasan dan permusuhan daripada segenap sudut, jauh dan dekat.

Semua perkara ini tidak sepatutnya membantutkan usaha dan cita-cita utama kita. Juga tidak boleh menjadi penghalang kita ke arah perlaksanaan proses pemulihan dan kebangkitan yang sebenar di atas landasan yang sahih.

Ini hanya dapat dilakukan menerusi keprihatinan kita terhadap sifat-sifat yang terdapat di dalam diri kita dan istiqamah dengan amalan diredai oleh Allah SWT. Dengan pendekatan inilah, kita dapat menyingkatkan jarak dan tempoh perjuangan.

Usia kita yang merupakan sebaik-baik bekalan dalam perjuangan mungkin akan lenyap begitu sahaja sekiranya kita hanya sibuk beranalisis dan membahaskan realiti. Terlalu tertumpu kepada idea, cadangan dan analisis dan membesarkan sesuatu peristiwa dalam kehidupan dan alam ini boleh melekakan daripada menyedari hakikat keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT lalu bergegas menuju dan bergantung kepada-Nya.

Maka jadilah seperti apa yang terjadi hari ini. Kita dapati berapa ramai daripada kita - orang Islam - yang alpa daripada kewajipan mereka dalam usaha menguatkan hubungan ini dengan kekuatan yang sebenar, Allah SWT.

Mereka lalai tentang hubungan dengan Allah SWT termasuk dengan mengambil mudah perkara-perkara fardu, terjebak dengan segala yang haram, mengabaikan wanita dan keluarga sehingga mereka terjatuh ke lembah kemungkaran dan melanggar syarak yang mulia.

Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya telah pun terkeluar daripada manhaj Rasulullah SAW dalam urusan kekuatan dan kebangkitan Ummah. Sedangkan Allah SWT dengan jelas menggariskan dua rukun kebangkitan termasuk dalam firmannya yang bermaksud, dan Allah SWT menjanjikan bagi mereka yang beriman di kalangan kamu dan beramal soleh bahawa akan menjadi khalifah di muka bumi. (al-Nur:55)

Keprihatinan terhadap amalan dan aspek amali agama akan mendirikan rukun kedua kebangkitan ummah dalam kehidupan selain rukun pertama iaitu keimanan.

Berbekalkan fahaman ini, agenda menyucikan hati daripada hasad di antara ahli keluarga, jiran dan kawasan kediaman dan masyarakat seluruhnya menjadi suatu agenda yang besar dan strategik.

Menjauhi hasad dan apa yang berkaitan dengannya seperti dengki, takbur, ujub, buruk sangka, atau perkataan yang sia-sia turut naik nilainya menjadi agenda utama dan arus perdana.

Bukankah pada hakikatnya, perkara ini begitu banyak berlaku dalam kehidupan kita sedangkan ia adalah antara perkara-perkara yang melemahkan iman.

2. Menjauhi Punca-punca Kekalahan

Menjauhkan diri daripada sebab-sebab yang mengundang kekalahan bererti menjauhkan diri daripada perkara-perkara haram yang telah ditentukan Allah SWT mengikut sunnah Ilahi akan membawa kepada kelemahan dan kekalahan.

Antara faktor-faktor kekalahan ialah hati-hati yang saling bercanggah dan berselisihan akibat jarum suntikan syaitan ke dalam hati manusia melalui perkara-perkara yang berkaitan dengan perbezaan mazhab, pandangan, ideologi antara orang Islam atau perkara yang melibatkan assabiah.

Selain itu, ketidakfahaman terhadap permasalahan mazhab-mazhab muktabar dalam syariat dan sesungguhnya, perbezaan ini merupakan daripada sumber yang satu. Dan ia telah diterjemahkan daripada luasnya syariat ini oleh ahli-ahlinya yang berhubung dengan sumber yang satu.

Dan ketika lenyapnya kesedaran dan kefahaman ini, ia akan diganti dengan kelemahan pandangan, kemudian akan muncul pula dakwaan yang akan dinisbahkan kepada ahli-ahli mazhab, pandangan dan pengikut mereka oleh golongan yang memusuhi mereka.

Semua faktor ini merupakan antara faktor-faktor penyumbang kepada perselisihan dan perbalahan yang akan menjauhkan kemenangan daripada umat Islam. Allah berfirman yang maksudnya, dan janganlah kamu berselisih yang menyebabkan kamu gagal lalu hilanglah kehebatan kamu (al-Anfal: 46)

Semuanya ini akan menambah lagi musibah dan peristiwa pahit yang berlaku ke atas umat Islam sebagaimana yang mereka keluhkan. Maka, bagaimana boleh menjadi ubat dan penawar sedangkan dalam masa yang sama kita hanya sibuk dengan bercakap banyak, asyik menganalisis, alpa daripada sifat dan amal-amal soleh.

Demikian juga, perbezaan itu merupakan antara faktor penyumbang kepada kekalahan umat Islam, iaitu perbezaan dalam permasalahan far'iyyat dan juz'iyyat (cabangan dan pecahan) sehinggakan seolah-olah ia adalah permasalahan pokok (usul) dalam agama.

Ia juga makin menyemarakkan lagi api permusuhan dalam kalangan umat Islam yang memerlukan ruang yang lebih besar untuk dibahaskan secara tuntas.

Peringatan al-Habib Umar dalam ucapannya ini mengajak kita melihat Ramadan dalam perspektif yang lebih besar. Ramadan bukan hanya urusan ibadah khusus tetapi merupakan kunci kepada kekuatan dan kebangkitan ummah dalam menuntut kedudukannya yang hakiki.

Saturday, September 26, 2009

Solat Jumaat depan Capitol Hill


BERIBU-ribu umat Islam Amerika Syarikat mengadakan solat Jumaat di hadapan bangunan Capitol Hill di Washington kelmarin, bertujuan memberi inspirasi kepada penganut Islam dan juga bukan Islam di negara itu.

Penganjur acara itu, Abdul Malik berkata, umat Islam datang dari seluruh AS, malah ada antaranya dari Britain dan Kanada.

Menurutnya, acara itu bukan suatu bentuk protes, sebaliknya hari untuk bersembahyang, mengabdikan diri kepada Tuhan dengan doa supaya semua lapisan rakyat Amerika boleh hidup bersama untuk kemajuan sejagat.

Suka duka sambut 1 syawal

Oleh Zulkiflee Bakar

SETIAP kali menyambut umat Islam di negara ini sering kali diingatkan bersyukur. Seruan itu dilakukan kerana kita jauh lebih bernasib baik berbanding umat Islam di sesetengah negara yang terpaksa menyambut Aidilfitri dalam kedukaan, keresahan dan ketakutan.

Malah ada pula yang kehadiran Aidilfitri hanya disambut ala kadar atau mungkin tidak ubah seperti hari-hari biasa memandangkan konflik berlanjutan di negara mereka.

Lebih menyedihkan, jika di Malaysia kanak-kanak merupakan kumpulan yang paling gembira meraikan Aidilfitri tetapi di sesetengah negara yang bergolak, kehadiran hari mulia itu disambut oleh kanak-kanak bersama-sama keluarga mereka dalam serba kekurangan.

Lihat sahajalah apa yang berlaku di Afghanistan, Palestin dan Iraq, tiga buah negara ini sejak bertahun-tahun terus dilanda peperangan yang berpanjangan. Di Afghanistan, nyawa umat Islam sentiasa berada dalam bahaya akibat pertempuran yang tercetus antara tentera asing dengan puak Taliban. Di Palestin, mereka menjadi pelarian di tanah air sendiri. Kekejaman berpanjangan yang dilakukan oleh rejim zionis, sedikit pun tidak memberi mereka ruang untuk menyambut 1 Syawal dalam kegembiraan.

Menziarahi para pejuang yang terbunuh demi mempertahankan tanah air mereka seolah-olah sudah menjadi satu kelaziman di pagi Aidilfitri.

di Iraq pula, kemeriahan berkumpul beramai-ramai bagi meraikan hari mulia itu ibarat menjemput maut. Ia kerana mereka tidak tahu bilakah serangan bom berani mati akan dilakukan oleh puak-puak yang kononnya berjuang untuk mengusir tentera asing di bumi Iraq. Pergolakan dan konflik yang berlaku telah menyebabkan kanak-kanak di negara berkenaan tidak mengenal erti bermain bunga api atau mercun bagi meraikan Aidilfitri. Mereka hanya tahu senjata api mainan yang dijual secara berleluasa di negara masing-masing.

Seperkara lagi, ketika kita di Malaysia begitu mewah menikmati juadah menyambut Aidilfitri, ada umat Islam yang mengharapkan belas ehsan bagi mendapat bantuan makanan bagi tujuan berkenaan.

Terdapat ribuan umat Islam menghuni di kem pelarian dan menadah tangan atau berebut-rebut mendapat makanan bagi memastikan sekurang-kurangnya di pagi 1 Syawal ada sesuatu untuk dijamah.

Di Indonesia pula, orang ramai berebut-rebut mendapat makanan yang diedarkan secara percuma, segalanya akibat kemiskinan.

Sekadar untuk mengingatkan betapa beruntungnya kita tatapilah gambar-gambar yang memaparkan suka duka menyambut 1 Syawal di sesetengah negara Islam yang sedang dilanda pelbagai konflik dan masalah, semoga kita memahami erti bersyukur.

Islam dipandang serong

Oleh Zulkiflee Bakar

PADA 11 September lalu, dunia mengingati serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York. Walaupun ia sekadar memperingati mereka yang terkorban dalam serangan berkenaan, namun di Britain ia berlaku sebaliknya.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Liga Pertahanan Inggeris telah mengatur tunjuk perasaan bagi menggugat kehidupan Islam di negara itu.

Akibatnya, hampir tercetus pertempuran antara puak Islam dan anti Islam di Harrow, London. Pertelingkahan berkenaan berlanjutan di beberapa buah bandar lain termasuk di Luton.

Ternyata sekali kumpulan anti Islam berkenaan cuba mencetuskan perasaan membenci umat Islam dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan kepada pemerintah Britain. Seorang menteri menegaskan tindakan kumpulan itu boleh mengulangi sejarah pergaduhan kaum yang berlaku pada tahun 1930-an.

Dalam satu wawancara, Menteri Komuniti Britain, John Denham secara langsung menuduh penunjuk perasaan anti Islam sengaja mencetuskan masalah.

''Taktik melakukan provokasi demi mencetuskan kekerasan dan kemusnahan yang lebih besar sudah lama dirancang oleh kumpulan berkenaan, mereka adalah kelompok ultra kanan dan ekstremis. Imbas kembali apa yang berlaku pada tahun 1930-an, apakah kita inginkan berulangnya peristiwa Cable Street?" katanya.

Denham berkata demikian bagi merujuk konfrontasi yang berlaku pada tahun 1936 apabila seorang pemimpin puak Inggeris, Oswarld Mosley mengatur satu perbarisan sehingga melepasi kawasan penduduk Yahudi di East End, London.

Para pengikut pro-Nazi yang dipimpin Oswald bertemu dengan kumpulan pendemo Yahudi dan komunis di Cable Street. Akibatnya berlakulah pertempuran antara kedua-dua kumpulan. Bagaimanapun dalam kejadian terbaru di Britain, Liga Pertahanan Inggeris menafikan mereka bersifat fasis, sebaliknya menegaskan mereka hanya menentang kelompok militan Islam. Namun andaian itu tidak dapat diterima oleh penduduk Islam, bagi mereka tindakan liga berkenaan adalah satu perbuatan yang sengaja dilakukan bagi mencemarkan nama baik agama Islam.

Mungkin benar beberapa keganasan ke atas negara barat dilakukan oleh sesetengah Islam tetapi mereka adalah daripada kumpulan militan, justeru adalah tidak wajar jika liga tersebut cuba melakukan protes seolah-olah mengkategorikan semua orang Islam bersikap ganas.

Berikutan kebiadapan Liga Pertahanan Inggeris itu, maka penduduk Islam terutama golongan pemuda turun ke jalanan untuk bertempur dengan kumpulan itu.

Tindakan tersebut diambil kesempatan oleh liga berkenaan untuk menuding jari menuduh bahawa kekecohan yang berlaku disebabkan provokasi kumpulan Islam.

Misi

Jurucakap Dewan Muslim Britain, Inayat Bunglawala berkata, kenyataan Liga Pertahanan Inggeris bahawa mereka hanya menentang militan Islam hanyalah satu helah bagi menyembunyikan misi anti Islam.

Inayat berkata, Dewan Muslim telah melihat sejumlah insiden anti Islam yang berulang, termasuklah serangan bom api di beberapa buah masjid beberapa bulan lalu.

''Semua ini adalah perkembangan yang cukup membimbangkan kita,'' katanya.

Beberapa media Britain berusaha untuk menjejaki kewujudan sebenar liga berkenaan sehingga ke Luton - kota yang mempunyai pelbagai penduduk etnik di utara London.

Pada Mac lalu, di kota tersebut pernah berlaku demonstrasi menentang tentera Britain. Sekelompok umat Islam melakukan aksi menyambut kepulangan tentera berkenaan dengan menuduh mereka sebagai 'pembunuh kanak-kanak'.

Ketegangan semakin memuncak pada Mei lalu, apabila kumpula yang menamakan diri mereka United People of Luton berarak sehingga ke kawasan perniagaan masyarakat Asia selatan.

Mereka menyerang kawasan itu dan merosakkan beberapa buah kereta.

Pada bulan Ogos, Liga Pertahanan Inggeris muncul dan cuba melakukan demonstrasi besar-besaran. Dalam tunjuk perasaan itu mereka bertempur dengan kumpulan anti fasis dan pada bulan ini mereka melancarkan protes kedua di Birmingham. Akibatnya, lebih 200 orang yang kebanyakan berketurunan Asia bergaduh dan melempar objek kepada polis anti rusuhan. Dalam kejadian itu polis menahan 90 orang.

Pada 11 September pula, kumpulan yang mengaku Islamofobia, Stop Islamification of Europe, melakukan protes di sebuah masjid di barat laut London. Bagaimanapun tindakan mereka tidak berterusan kerana mereka ternyata bimbang berikutan kehadiran sejumlah penduduk Islam yang datang bagi mempertahankan masjid itu. Kemelut yang berlaku dijangka berterusan memandang puak anti Islam berjanji akan terus melancarkan protes di London, Luton, Manchester dan Leeds dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Apa yang berlaku sudah jelas membuktikan bahawa perasaan anti Islam masih menebal di kalangan sesetengah penduduk di barat. Mereka masih mengaitkan Islam dengan keganasan. Serangan demi serangan serta keganasan yang berterusan di Afghanistan, Iraq dan beberapa buah negara yang dicetuskan oleh puak militan Islam ternyata meletakkan umat Islam di negara-negara barat berada dalam keadaan bahaya.

Walaupun puak anti Islam mengetahui bahawa sebahagian besar umat Islam amat menentang keganasan, namun mereka tidak peduli. Apa yang mereka inginkan ialah melunaskan misi mereka supaya perasaan anti Islam terus merebak.

Mereka ingin melihat umat Islam sentiasa dilihat sebagai kelompok militan.

Jangan terperangkap akibat kejahilan

DALAM sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda, Barangsiapa yang mengada-adakan yakni mebuat-buat sesuatu dalam urusan agama kita yang tidak terdapat ajarannya dalam agama, maka hal itu wajiblah ditolak (yakni tidak boleh diterima atau ditiru).

Hadis tersebut memperingatkan umat Islam supaya jangan mudah terpedaya dengan bidaah yang menyimpang daripada ajaran agama Islam. Tetapi malangnya sehingga ke hari ini masih ada umat Islam terutamanya orang Melayu begitu mudah terpengaruh dengan ajaran yang bertentangan dengan agama Islam.

Anehnya, ada amalan dalam ajaran itu yang sah-sah tidak masuk akal, termasuklah solat boleh ditunaikan dengan niat sahaja atau tidak perlu ke Mekah untuk menunaikan haji.

Walaupun ia tidak logik tetapi disebabkan pelaksanaannya mudah, maka ramailah umat Islam yang terpengaruh. Mereka sudah tidak mahu lagi memikirkan sama ada ajaran atau suruhan yang diperkenalkan itu betul atau tidak. Akibat daripada kejahilan ini, maka muncullah individu yang boleh dianggap sebagai 'makhluk perosak' kepada kesejahteraan umat Islam, apabila mengaku dirinya nabi dan sebagainya.

Walaupun dakwaan seumpama itu boleh dianggap dilakukan oleh orang yang tidak waras sahaja tetapi masih ada juga umat Islam yang terpengaruh.

Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan kehairanan kepada kita apatah lagi kalau yang terpengaruh tersebut terdiri daripada mereka yang berpelajaran tinggi. Mungkin ia berlaku kerana ilmu agama mereka terlalu tipis atau mungkin juga dalam keghairahan untuk mencari ilmu itu mereka tidak mengkaji terlebih dahulu kebenaran. Apa pun mereka tidak seharusnya menjadi orang yang bodoh kerana di dalam Islam sudah terdapat tunjuk ajar dan pedoman agar bagi mengelakkan kita terjerumus dalam ajaran yang menyeleweng daripada Islam.

Rasullullah SAW bersabda:

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk iaitu petunjuk Nabi Muhammad SAW dan seburuk-buruk perkara (ibadat) iaitu yang diada-adakan dan setiap bidaah (perkara baru yang menyalahi al-Quran dan sunnah Nabi) adalah sesat.

Thursday, September 24, 2009

Sabar dan takwa kunci kejayaan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SHEIKH Sya'rawi berkata: "Ayat ini menerangkan mengenai peristiwa peperangan Uhud yang mana golongan kafir bersama 3,000 bala tentera menentang umat Islam yang bilangannya hanya 700 orang sahaja.

Ia menerangkan kebenaran isu ini dengan menyatakan jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tidak memudaratkan kamu oleh tipu daya mereka sesuatu pun. Bukanlah bermaksud di sini tipu daya secara sembunyi tetapi secara terang-terangan."

Iktibar dan fiqh ayat ke-121:

i. Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar segala sesuatu yang diucapkan oleh orang mukmin kepadamu ketika berlangsungnya musyawarah untuk menghadapi kedatangan musuh engkau dan musuh mereka."

Antara lain ada yang berkata: "Marilah kita keluar menghadapi mereka di luar Madinah." Kemudian yang lain pun berkata: "Janganlah tuan keluar menghadang mereka. Tinggallah di Madinah sahaja sampai mereka datang menyerang kita."

Apapun yang kamu kemukakan kepada mereka, semua itu Allah SWT mendengarnya. Allah Maha Mengetahui mana yang terbaik untukmu dan bagi mereka, Allah juga Maha Mengetahui niat masing-masing.

ii. Ibn Jarir berkata: "Dalam ayat yang lalu Allah SWT mengutarakan satu atau dua perumpamaan yang menyatakan kebenaran janji-Nya: Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. (terjemahan ali-'Imran: 120), mengingatkan mereka akan kejadian yang menimpa mereka pada Perang Uhud kerana pasukan pemanah telah meninggalkan kedudukan masing-masing lantaran tidak sabar."

Ayat ini juga mengingatkan mereka akan kejadian Perang Badar, ketika mereka diberi kemenangan sekalipun mereka dalam jumlah yang sedikit dan lemah.

iii. Al-Biqa'i melihat bahawa huraian ayat yang lalu memerlukan bukti konkrit di dunia nyata. Kalau dalam ayat yang lalu dinyatakan bahawa seandainya mereka bersabar dan bertakwa tentu tidak akan mendapat mudarat, dan begitulah sebaliknya. Dan dalam ayat ini, kaum muslimin disajikan bukti konkrit tentang kebenaran janji ini.

iv. Hamka berkata: "Pada hari Sabtu, 15 Syawal tahun ketiga Hijrah, Rasulullah SAW memimpin 1,000 tentera Islam menuju Uhud. Tempat itulah yang baginda pilih menjadi Maqa'ida lilqitali, iaitu tempat atau kedudukan untuk berperang.

Tempat yang Baginda pilih sangat strategik untuk menangkis serangan ataupun pangkalan menyerang hendap."

Iktibar dan fiqh ayat ke-122

i. Al-Qurtubi berkata: "Maksud dua puak di sini ialah Banu Silmah daripada Khazraj dan Banu Harisah daripada Aus. Kedua-duanya sebagai sayap dalam peperangan Uhud."

ii. Al-Maraghi berkata: "Sewajarnya bagi orang yang beriman menghadapi segala kesusahan dan penderitaan dengan berserah kepada Allah, bukan dengan melalui kekuatan teman-teman dan para pembantu mereka.

Tawakal ini adalah setelah menyempurnakan segala persiapan dan persediaan selaras dengan ketentuan Allah SWT telah menetapkan hukum kepada makhluk-Nya."

iii. Al-Biqa'i berkata: "Allah SWT adalah penolong kedua terhadap golongan itu kerana mereka beriman dan berserah diri kepada-Nya. Oleh itu, orang mukmin hendaklah percaya dan berserah diri kepada-Nya agar mereka semua memperoleh pertolongan-Nya."

Iktibar dan fiqh ayat ke-123

i. Ibn Kathir berkata: "Sekalipun bilangan kamu sedikit supaya mereka mengetahui bahawa kemenangan daripada Allah bukan dengan jumlah ramai dan kekuatan senjata."

ii. Al-Maraghi berkata: "Jika kamu dapat bersabar dan bertakwa, maka tipu daya mereka sedikit pun tidak akan membahayakanmu. Sesungguhnya Tuhanmu tetap akan memberi pertolongan kepadamu sebagaimana yang diberikan kepadamu dalam mengalahkan musuhmu di Perang Badar. Padahal waktu itu jumlah pasukanmu amat sedikit dan tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk melawan musuh.

"Walau bagaimanapun, Allah SWT menampakkan ke dalam hati musuh kamu seolah-olah jumlah pasukan kamu besar dan begitu hebat, sehinggakan pada saat itu jumlah kamu lebih banyak daripada yang semestinya.

"Maka jika kamu tabah (sabar) menerima perintah Allah SWT, nescaya kamu akan diberi pertolongan, seperti pada hari itu kamu diberi pertolongan."

iii. Hamka berkata: Kaum muslimin di perang Badar dibandingkan dengan musuh sangatlah lemah. Mereka hanya 313 orang, sedang musuh lebih dari 1,000 orang dengan kelengkapan yang lebih sempurna.

Namun demikian di Badar kaum muslimin beroleh kemenangan gilang-gemilang. Di perang Badar mereka sabar dan takwa, sedangkan di perang Uhud kedua kelengkapan batin itu telah hilang terutama mereka tidak taat kepada pimpinan.

Oleh yang demikian, dengan takwa jiwamu akan tenteram dan barisanmu akan teratur. Dalam takwa terkandung ketakutan kepada Allah dan ketaatan kepada rasul sebagai pimpinanmu.

Dengan itu kamu pasti menang lantaran kamu bersyukur dan sebab takwa bantuan malaikat pasti datang.

iv. Al-Sonhadji berkata: Allah SWT mengingatkan orang mukmin ketika mereka bertempur dengan orang musyrikin di medan perang Badar dahulu adalah bilangan mereka itu sangat sedikit iaitu kira-kira 313 orang.

Ada yang mengatakan 313 orang, tidak mempunyai kelengkapan perang yang cukup, berbanding bilangan kaum Musyrikin seramai kira-kira 1,000 orang yang lengkap dengan peralatan perang. Namun dengan kehendak Allah SWT orang-orang Mukmin menang dalam peperangan tersebut.

Oleh itu, Allah menyeru mereka supaya takut kepada Allah dengan berpendirian tetap bersama-sama Rasulullah SAW. Mudah-mudahan mereka bersyukur dengan sebab memperoleh kemenangan.

Sebab Nuzul ayat ke-124

Ibn Abu Shaibah, Ibn Mundhir dan lain-lain meriwayatkan daripada Sha'biy bahawa umat Islam pada hari Badar diberi khabar bahawa Kuraz Ibn Jabir al-Muharibi ingin membantu kaum musyrikin. Hal ini dirasakan berat oleh mereka. Oleh kerana itu, Allah SWT telah menurunkan firman-Nya ini.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: Dikehendaki dengannya waktu yang memanjang dan didahulukan arahan supaya bertaqwa untuk menzahirkan kesempurnaan inayah dan pemeliharaan Allah SWT.

ii. Imam Fakhr al-Razi dalam kitab Tafsir al-Kabir berkata: Para ahli tafsir dan sejarah berpendapat bahawa Allah SWT telah menurunkan tentera-tentera yang terdiri daripada malaikat-Nya itu dalam Perang Badar telah ikut serta memerangi orang kafir.

iii. Ibn Abbas berkata: Malaikat yang turut sama berperang hanyalah dalam perang Badar. Dalam peperangan lain mereka hanyalah menampakkan kepada musuh besarnya jumlah tentera Islam (padahal jumlah tentera Islam sedikit, lagipun mereka tidak turut berperang mahupun membunuh).

iv. Muhammad Quraish Shihab berkata: Maksud malaikat yang memakai tanda adalah kiasan tentang keberanian dan kekuatan mereka.

Biasanya para pemberani memakai tanda-tanda khusus dalam peperangan seperti bulu berwarna di kepala atau di kudanya untuk memperkenalkan dirinya kepada lawan bahawa dia tidak bersembunyi dan tidak takut untuk berhadapan sesiapa pun.

Menilai kualiti puasa lalu

Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI

AIDILFITRI seharusnya memberikan seribu satu kegembiraan kepada kita dan seluruh umat Islam. Ibarat meraikan kemenangan yang dianugerahkan kepada setiap Muslim selepas melalui satu kem ibadah dan disiplin diri.

Melalui Firman Allah SWT, sunnah Rasulullah dan pelbagai hikmah yang ditemui di sebaliknya, berbagai-bagai kiasan dan tafsiran diberi kepada Ramadan dan ibadah puasa. Sehubungan dengan itu, bila diamat-amati terdapat tiga dimensi penting yang terkandung dalam pensyariatan ibadah puasa; hubungan hamba dengan Penciptanya, hubungan dengan sesama manusia dan tanggungjawab individu Muslim kepada diri sendiri.

Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu.

Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.

Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut.

Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.

Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.

Setelah hampir seminggu kita meninggalkannya, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita.

Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.

Menurut Ibn Abbas dan Imam al-Bukhari r.a., dalam episod bersedekah Rasulullah SAW merupakan individu yang amat pemurah kepada semua orang dan sifat kedermawanan Baginda ini bertambah-tambah pada bulan Ramadan.

Pada bulan Ramadan kita banyak menyaksikan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim menerima layanan yang istimewa dan hampir setiap hari mereka diraikan.

Walaupun demikian, adakah kita mula meninjau di mana mereka berada pada hari ini? Adakah sama seperti sebelum ketibaan Ramadan, kembali dalam keadaan yang terpinggir kerana tangan kita telah berhenti untuk menghulur bantuan dan kebaikan?

Apabila tilawah al-Quran sangat dianjurkan untuk dilakukan, selain ia menerbitkan butir-butir pahala dan berperanan sebagai pemangkin kepada doa-doa yang dipanjatkan, ia turut memberi petanda bahawa umat Islam sangat digalakkan untuk mencari dan menggali ilmu kerana al-Quran merupakan sumber dan asas ilmu kepada seluruh kehidupan manusia.

Amatlah malang bagi mereka yang berkesungguhan menjaga pemakanannya ketika berpuasa, tetapi terus mengabaikannya bila Ramadan melabuhkan tirainya.

Secara ringkasnya selepas berlalunya Ramadan, persoalan yang wajar ditanyakan oleh setiap individu Muslim kepada dirinya sendiri adalah, sama ada puasa yang baru berlalu telah berjaya melaksanakan peranannya dalam membentuk diri sebagai insan yang memiliki istiqamah dalam melakukan sebarang tindakan baik serta memelihara dirinya daripada sebarang keburukan.

Juga sama ada hubungan antara hamba dengan Penciptanya dapat dijaga secara berterusan, begitu juga dalam soal hubungan sesama manusia yang tidak membenarkan persengketaan berlaku, malah amat dianjurkan penyatuan dan berkasih sayang melalui pelbagai medium yang terkandung dalam agama Islam, serta sejauh mana pelaksanaan tanggungjawab terhadap diri sendiri dapat dikekal dan diteruskan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Aidilfitri titik transformasi menuju fitrah

Oleh Mohd. Farid Alias

ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat kesempatan untuk kita melalui bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, bulan untuk kita menjalankan ibadah puasa, menahan hawa nafsu dan meningkatkan amal ibadah.

Pada siang harinya kita berpuasa, dan pada malam harinya kita bersolat tarawih, berqiamullail. Kita menunaikan zakat fitrah, memanjangkan sedekah, dan mengeratkan ukhuwah.

Harapan kita agar segala amalan kita pada bulan tersebut diterima oleh Allah serta diampunkan dosa-dosa kita yang lepas.

Kini Ramadan sudah berlalu. Ibarat bayi yang baru lahir, suci bersih daripada dosa dan cengkaman nafsu, itulah yang kita harapkan untuk kita capai melalui latihan mendidik nafsu melalui 'institusi pengajian Ramadan' ini.

Graduan Ramadan Yang Unggul

Ketibaan Syawal menandakan tibalah masanya untuk kita merayakan kejayaan sebagai graduan Ramadan yang mampu menurut disiplin ibadah yang dianjurkan dalam bulan itu dengan gigih dan sabar.

Inilah Aidilfitri untuk kita bergembira, dan juga sebagai titik permulaan baru dalam kehidupan kita untuk melaksanakan transformasi diri menuju fitrah insan.

Transformasi tersebut merujuk kepada aspek dalaman kita yang seharusnya mempunyai perubahan yakni peningkatan antara sebelum Ramadan dan selepas Ramadan.

Jika sebelum Ramadan kita kurang dan malas beribadat, maka selepas Ramadan seharusnya kita menjadi semakin terdorong dan rajin untuk melakukan ibadah kesan ketekunan kita melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan.

Jika sebelum Ramadan kita sukar mengekang hawa nafsu, maka selepas Ramadan diharapkan kita memiliki lebih kekuatan untuk mengawal hawa nafsu kesan pelaksanaan ibadah puasa serta penghayatan terhadap hakikat rukun Islam tersebut.

Jika sebelum Ramadan kita begitu sukar untuk menghadiri majlis ilmu, maka selepas Ramadan diharapkan kita bertambah minat untuk menghadiri majlis sedemikian kesan kesediaan kita menghadiri ceramah atau tazkirah agama dalam bulan Ramadan.

Justeru proses peningkatan pemikiran, ilmu dan tabiat itu diharapkan berlaku melalui apa yang kita amalkan sepanjang Ramadan yang dilalui.

Namun jika tidak, maka kita perlu merenung berkenaan sejauh mana kita memanfaatkan Ramadan yang dilalui dari segi pelaksanaan ibadah serta penghayatan terhadap maksud ibadah yang dilakukan.

Syawal satu permulaan baru

Dengan kembalinya kita kepada fitrah bersempena Aidilfitri ini, masanya juga amat bersesuaian untuk kita menanamkan azam baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan sebagai seorang Muslim.

Jika direnungi maksud 'Aidilfitri' itu sendiri, 'aidil' bermaksud hari raya, manakala 'fitri' itu merujuk kepada fitrah yakni kecenderungan sebenar insan yang terarah kepada perkara kebaikan dan kebenaran, dan bebas daripada dosa dan hawa nafsu.

Justeru Aidilfitri itu merupakan satu perayaan yang kita sambut bersempena kembalinya kita mencapai fitrah insan melalui tarbiah Ramadan. Aidilfitri ialah satu permulaan baru untuk kita, dan insya-Allah diri kita kembali bersih suci zahir dan batin, ibarat kain putih yang bersih dan suci, yang bakal dicorakkan kembali seadanya.

Tentunya pada kain putih ini ingin kita corakkan sebaik-baiknya, agar jalinan corak yang terhasil itu tampak cantik, harmoni dan berseni. Bukan sebarangan warna atau corak hendak kita karyakan, bukan tumpahan kopi yang kita harapkan, tetapi ada idea yang ingin kita zahirkan beserta pedoman ilmu berkarya kita sandarkan.

Begitu juga bagi diri kita sendiri, dengan permulaan baru ini kita mengharapkan untuk melakukan yang terbaik, berpandukan iman dan ilmu yang hakiki. Agar setiap isu dalam kehidupan kita dapat kita lalui dengan cara yang berkat dan diredai.

Seterusnya Syawal membawa kita memulakan langkah untuk melaksanakan gerak kerja menuju matlamat peningkatan diri. Proses pentarbiahan diri ketika Ramadan mempunyai kesinambungannya apabila memasuki bulan Syawal.

Puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal umpamanya, boleh dilihat sebagai proses pengukuhan kepada ibadah puasa sebulan yang dijalani sebelum ini. Ia juga merupakan proses pengukuhan kepada kekuatan diri dalam mengawal hawa nafsu.

Hakikat bahawa ia merupakan ibadah sunat juga sebenarnya menguji hasil tarbiyah Ramadan kita sebelum ini tentang sejauh mana kita akan beristiqamah dalam melaksanakan ibadah puasa sebagai sebahagian daripada transformasi diri kita.

Dengan sifat istiqamah ini, pelaksanaan ibadah puasa dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga seperti puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain jenis puasa sunat.

Hikmahnya, amalan berpuasa secara berterusan ini dapat membantu usaha kita mengekang hawa nafsu dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Begitu juga dengan amalan-amalan lain yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan seperti solat-solat sunat, bersedekah dan sebagainya yang seharusnya menjadi sebahagian daripada tabiat diri sepanjang masa.

Kesimpulan

Mehnah dan tribulasi kehidupan sering mencabar pertimbangan nilai dan keimanan diri. Dengan ketibaan Syawal, kini bermulanya medan ujian sebenar buat kita untuk memanifestasikan didikan Ramadan yang kita lalui.

Namun harapan kita agar segala ujian dapat kita hadapi dengan watak dan pembawaan yang baru bersempena titik permulaan yang baru yakni Aidilfitri yang mulia ini.

Insya-Allah usaha transformasi diri dapat kita tempuhi dengan sebaik-baiknya beserta dukungan kekuatan jiwa takwa dan nafsu yang terdidik.

Hindari mazmumah, warisi mahmudah di Aidilfitri

Oleh MOHD. NORZI NASIR

SYAWAL yang tiba merupakan detik yang paling berharga dan bermakna setelah Ramadan untuk meningkatkan kualiti amalan, memulihkan hubungan sesama manusia yang merupakan tuntutan syariat Islam, berlapang dada, murah hati, ukhuwah, belas kasihan dan kasih-sayang.

Menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk mengekalkan hubungan ukhuwah dan ikatan kemesraan sesama mereka.

Perkara ini seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: Berpegang-teguhlah kalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kalian berpecah-belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati-hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan dari itu neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah. (Ali-Imran: 103)

Malangnya, tatkala melihat hubungan sesama Muslim mutakhir ini, bagai menyaksikan senario yang amat mendukacitakan. Ikatan ukhuwah terungkai, persaudaraan tercarik akibat sifat mazmumah yang menebal di dalam diri. Antara sifat mazmumah yang paling menakutkan adalah sikap berprasangka buruk. Ia jelas bertentangan dengan perintah Allah SWT dan norma-norma kehidupan setiap Muslim itu sendiri.

Perintah Jauhi Sifat Mazmumah

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Hujurat: 12)

Ayat di atas menunjukkan perintah agar menjaga kehormatan seorang Muslim dengan sebaik-baiknya kerana ia di dahului dengan tegahan daripada bercakap tentangnya dengan sangkaan. Ayat di atas juga merupakan seruan kepada orang-orang mukmin agar jangan biarkan diri mereka menjadi mangsa kepada semua yang terlintas dalam hati yang sering berprasangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan orang lain.

Al-Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata, "Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya daripada sikap prasangka, iaitu menuduh dan menganggap khianat kepada keluarga, kerabat dan orang lain tidak pada tempatnya. Hal ini kerana prasangka adalah dosa, maka jauhilah kebanyakan dari prasangka tersebut dalam rangka berhati-hati.

Umar ibn Khattab r.a. pernah berkata: "Janganlah sekali-kali engkau berprasangka kecuali kebaikan terhadap setiap kata yang keluar daripada lidah saudaramu yang mukmin, sekiranya engkau dapati kemungkinan adanya kebaikan pada kata tersebut." (Tafsir Ibn Kathir, 7/291)

Said ibn al-Musayyib berkata; beberapa orang ikhwah daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW telah menulis kepadaku: "Hendaklah engkau meletakkan suatu urusan atau perkara bagi saudaramu pada tempat yang sebaiknya selagi engkau tidak didatangi oleh perkara yang boleh menurunkannya. Jangan engkau menyangka satu perkataan yang keluar dari seorang Muslim itu tidak baik sedangkan engkau masih berpeluang untuk menjadikannya baik."

Al-Imam Al-Nawawi berkata: "Prasangka yang diharamkan adalah prasangka yang terus menetap pada diri seseorang, terus mendiami hatinya, dan bukan prasangka yang sekadar terdetik di hati lalu hilang tanpa terpateri di dalam hati. Hal ini kerana prasangka yang terakhir ini adalah di luar kemampuan seseorang." (Al-Minhaj, 16/335)

Daripada bahawasanya Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT memaafkan bagi umatku apa yang terlintas di dalam jiwa mereka selama mereka tidak membicarakannya atau melakukannya." (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sifat mazmumah tidak hanya terbatas melalui sikap berprasangka buruk malah ia merangkumi perbuatan mencari cacat-cela orang lain, berhasad-dengki, saling benci-membenci, dan saling belakang-membelakangi, menzalimi saudaranya, tidak menghulurkan bantuan kepada saudaranya yang memerlukan dan merendah-rendahkan saudara muslim yang lain. Rasulullah SAW menjelaskan sifat-sifat mazmumah lain sebaik sahaja baginda membicarakan tentang berprasangka buruk.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berwaspadalah kalian daripada berprasangka buruk (zhan) kerana zhan itu adalah ungkapan yang paling dusta. Jangan kalian mendengar ungkapan orang lain dalam keadaan mereka tidak suka. Janganlah kalian mencari-cari cacat-cela orang lain. Jangan kalian berlumba-lumba untuk menguasai sesuatu. Janganlah kalian saling berhasad-dengki, saling benci-membenci, dan saling belakang-membelakangi. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang Allah SWT perintahkan. Seorang Muslim adalah saudara bagi saudara muslim yang lain. Justeru, janganlah dia menzalimi saudaranya, jangan pula tidak memberikan bantuan kepada saudaranya dan jangan merendah-rendahkannya. Takwa itu di sini, takwa itu di sini." Baginda melakukan isyarat dengan menunjukkan ke arah dadanya. "Cukuplah seseorang dari keburukan apabila dia merendahkan saudaranya sesama Muslim. Setiap muslim terhadap muslim yang lain, haram darahnya, kehormatan dan hartanya. Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-badan kalian, tidak pula kepada rupa-paras kalian akan tetapi ia melihat kepada hati dan amalan kalian. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bahaya dan Bahana Sifat Mazmumah

Sifat mazmumah yang lahir dari niat yang tidak baik hanya akan memutuskan tali kekeluargaan dan menanamkan sifat ragu dalam diri individu mahupun keluarga dan masyarakat. Apabila penyakit su'uzan menular ke dalam diri seseorang, ia akan membawa kepada terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang dan menyelidikinya.

Begitu juga halnya dengan sifat-sifat mazmuzah seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Semua sifat ini adalah pembunuh tautan kasih sayang dan memusnahkan makna mahabbah. Menebalnya sifat mazmumah mengakibatkan hilangnya rasa saling percaya-mempercayai, tidak bertegur-sapa sesama Muslim dan mengakibatkan hilangnya kekuatan dan keutuhan ummah.

Warisi Sifat Mahmudah

Dalam suasana meraikan Aidilfitri, kehidupan diri dan keluarga sewajarnya dihiasi dengan muhasabah diri di samping melakukan amal kebaikan yang berterusan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang bijaksana ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya dan bekerja untuk bekalan hari kematiannya, manakala orang yang lemah ialah orang yang hanya mengikut hawa nafsunya." (riwayat al-Tirmidzi; Berkata al-Tirmidzi hadis hasan)

Sifat-sifat mahmudah seperti berbaik sangka, menjaga aib saudara seagama, berperibadi mulia meneladani Rasulullah SAW, bantu-membantu, tidak menzalimi antara sesama Muslim amat dituntut agar dipraktikkan dalam tata ruang kehidupan sehari-sehari. Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, nescaya Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, nescaya Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat kelak. Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya selama hambaNya itu menolong saudaranya." (riwayat Muslim)

Pendek kata, perginya Ramadan bukan bermakna berlalunya segala amal soleh yang pernah dilakukan. Tuntutan melakukan perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangannya tidak pernah ternoktah dan terhenti begitu sahaja.

Usaha untuk mencapai tingkat takwa dalam diri perlu diteruskan kembali jika pada Ramadan yang lalu hadirnya masih sirna dan kabur.

Rebutlah peluang nikmat usia yang dianugerahkan oleh Allah untuk melakukan ketaatan, menjaga hubungan baik dengan Allah SWT dan menjaga hubungan baik sesama insani sebelum datangnya hari Kiamat; iaitu hari yang tidak bermanfaat padanya harta dan anak pinak kecuali sesiapa yang datang menemui Allah dalam keadaan hati yang tenang.

Saturday, September 19, 2009

Adab menyambut Aidilfitri

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

SEBAGAI hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadan Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan 'Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah', di mana Allah menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ia disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak dan tidak dicampur dengan perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-perayaan yang lain, kerana ia merupakan kurniaan Allah khusus kepada hamba-hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan.

Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh syarak untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan solat fardu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa-apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.

Imam Syafie r.a telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Aidiladha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaaban.

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang sahih.

Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ia lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagungan-Nya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadan dan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta'ala:

Maksudnya: Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Baqarah: 185)

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd r.a bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Aidiladha. Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebaik-baiknya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias. Diriwayatkan daripada Ja'far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya.

Sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Hari Raya disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas r.a beliau berkata:

Maksudnya: Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama Muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.

Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi'in (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW) telah berkata (maksudnya): Sahabat-sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan, "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerima-Nya daripada awak.

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.

Menyanyi

Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, beliau berkata: 'Rasulullah SAW masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu'ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi SAW!" Rasulullah menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita. (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-'Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar ke dalam rumah Rasulullah SAW menunjukkan seolah-olah Abu Bakar datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah SAW ke dalam rumah baginda.

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sesekali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah iaitu mendirikan solat fardu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.

Apa yang diharapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Aidilfitri.