Like Blog Ini...

Monday, September 14, 2009

Kekalkan cara pemakanan sihat

Oleh NURUL ANUAR KARI
kesihatan@utusan.com.my

SETELAH lebih tiga minggu berpuasa, umat Islam kini menghampiri penghujung Ramadan 1430 Hijrah. Begitu pantas masa berlalu, meninggalkan mereka yang alpa dengan tibanya minggu terakhir berpuasa.

Suasana puasa tahun ini mungkin agak hambar berikutan ancaman wabak Influenza A H1N1 dan isu-isu yang terus disensasikan. Namun, sebagai sebuah negara dengan masyarakat majmuk, acara-acara sepanjang Ramadan dan Syawal tetap dikongsi bersama, tanpa mengira bangsa dan agama.

*Gastrik puasa

Seperti tahun-tahun sebelum ini, masih ada umat Islam yang ditangkap kerana tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai. Bila ditahan, alasan yang paling biasa adalah gastritis (gastrik), tidak sihat atau terlupa.

Tidak dinafikan terdapat individu yang diperakui doktor bertauliah mempunyai masalah kesihatan mahupun gastrik teruk yang menyukarkan mereka berpuasa.

Bagaimana pula golongan yang hanya mengalami gastrik, sakit perut atau apa sahaja penyakit yang hanya menyerang di bulan Ramadan?

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, yang juga merupakan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkongsi pengalaman memeriksa dan merawat mereka yang mengalami masalah sistem penghadaman di bulan puasa.

“Masalah sistem penghadaman boleh bermula dari esofagus, perut, usus kecil mahupun usus besar.

“Untuk masalah sistem penghadaman di bulan puasa, biasanya ia melibatkan bahagian esofagus, perut dan usus besar.”

Menurut beliau, biasanya terdapat dua kumpulan yang hadir dengan gejala gastrik, iaitu yang telah lama menghidap gastrik atau mereka yang cuma mengalami gastrik di bulan puasa.

Sesetengah pesakit yang mengadu mengalami kesakitan di bahagian abdomen ketika berpuasa mungkin bukan menipu, sebaliknya akibat kandungan asid perut yang tinggi.

Pesakit juga mungkin mengalami masalah perut yang sensitif terhadap asid, sedangkan paras asid perut adalah normal.

“Golongan remaja yang mengalami gastrik misalnya, ada yang tidak menunjukkan kesan luka di dalam perut (melalui ujian endoskopi).

“Masalah mungkin berpunca dari jumlah asid yang banyak atau perut menjadi sensitif terhadap asid,” jelasnya.

Dr. Ahmad Shukri menerangkan kandungan asid perut berlebihan boleh menyebabkannya naik ke esofagus dan membawa kepada rasa sakit atau panas di bahagian dada (heart burn) atau pedih ulu hati.

Jumlah asid perut yang tinggi mahupun penyakit refluks asid juga boleh menolak asid jauh ke atas, sehingga ke dalam mulut.

*Pulih puasa

Walaupun gastrik merupakan antara masalah yang biasa timbul dan dikaitkan dengan amalan berpuasa, ada juga yang sembuh darinya di bulan Ramadan.

Dr. Ahmad Shukri mendedahkan terdapat di kalangan pesakit yang kembali normal ketika berpuasa, mungkin akibat perubahan amalan pemakanan.

“Sebelum Ramadan, pesakit mungkin makan terlalu banyak, atau memilih makanan berminyak, berlemak atau berkarbonat.

“Tidak hairan juga mereka semakin pulih di bulan Ramadan memandangkan cara pemakanan pada waktu berkala (sahur dan berbuka puasa) sepanjang berpuasa, berbanding mereka yang makan tidak mengikut waktu, termasuk yang hanya makan bila perut sudah memberi syarat ‘sakit’ di ulu hati.”

Beliau turut menegaskan, golongan yang pulih masalah gastriknya di bulan puasa kebiasaannya tidak mempunyai kaitan dengan masalah ulser mahupun barah dalam salur penghadaman mereka.

“Pesakit gastrik biasa tidak menunjukkan gangguan selera makan mahupun penurunan mendadak berat badan.

“Golongan ini juga tidak menunjukkan gejala serius seperti muntah atau najis yang berdarah. Tanpa gejala serius, pesakit tidak perlu terlalu bimbang dengan masalah gastrik mereka,” ujarnya.

Namun, Dr. Ahmad Shukri bertegas mereka yang mengalami gastrik tidak mempunyai alasan untuk membiarkan diri mereka merana sehinggakan tidak mampu berpuasa.

Beliau memaklumkan kini terdapat bermacam bentuk rawatan untuk masalah gastrik dan sistem penghadaman, sama ada untuk mengurangkan asid perut, menyembuhkan luka, melancarkan pergerakan najis di dalam usus dan sebagainya.

“Mereka yang sudah mempunyai pengalaman diserang gastrik pada masa khusus, seperti ketika bulan puasa, perlulah menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan sebelum tibanya bulan Ramadan. Jangan biarkan diri merana!”

Selain gastrik, beliau menerangkan terdapat juga banyak kes sembelit di bulan puasa. Ini secara mudahnya dikaitkan dengan kekurangan air sehingga menyebabkan najis menjadi keras dan sukar dikeluarkan.

“Lama-kelamaan, najis yang sukar keluar akan membawa kepada masalah angin, tersumbat, kembung dan juga sakit perut.

“Sembelit juga boleh membawa kepada masalah buasir, terutamanya jika pesakit meneran dengan kuat sehingga menyebabkan salur darah di sekitar dubur membengkak dan berdarah,” katanya.

Untuk mengelakkan sembelit, pesakit dinasihatkan meningkatkan pengambilan serat dan juga air. Serat bukan sahaja memanjangkan rasa kenyang, malahan dapat menyimpan air.

Mereka yang mengalami gejala hilang selera dan penurunan mendadak berat badan turut diingatkan supaya lebih berjaga-jaga.

“Gejala tersebut, ditambah dengan sejarah keluarga yang mempunyai sejarah kanser (sama ada pada sistem penghadaman atau barah yang lain dalam keluarga), memerlukan perhatian rapi.

“Pesakit dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) sebelum atau selepas bulan puasa, ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa,” jelas Dr. Ahmad Shukri.

Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria Helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.

*Amalan berbuka

Waktu berbuka boleh dikatakan waktu yang paling dinanti-nantikan umat Islam yang berpuasa, terutamanya anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Dr. Ahmad Shukri mengulangi peringatan supaya waktu berbuka dimulakan dengan sesuatu yang ringan terlebih dahulu, seperti buah-buahan atau buah kurma mengikut sunah Nabi.

“Solat dahulu selepas berbuka ringan dan makan berat selepas solat. Ini dapat merangsang pengeluaran asid dan enzim sistem penghadaman untuk menerima makanan yang berat.

“Elakkan mengambil banyak makanan berminyak atau berlemak kerana ini akan melambatkan fungsi sistem penghadaman. Kurangkan juga makanan pedas dan masam kerana ia akan menyebabkan perut kurang selesa,” jelasnya.

Walaupun pengambilan air yang cukup diberi penekanan, beliau menasihatkan mereka yang berpuasa untuk mengelakkan minuman berkafein kerana ia akan menyebabkan otot pencerut (sphincter) pada esofagus menjadi lemah dan membolehkan asid perut naik ke atas.

Dr. Ahmad Shukri turut menyarankan orang ramai mengelakkan amalan makan lewat malam, dekat dengan waktu tidur, mahupun terus tidur selepas makan. Ini katanya akan menyebabkan asid perut mudah naik ke dalam esofagus atau refluks asid sehingga boleh menyebabkan radang esofagus (oesophagitis).

“Walaupun di waktu malam bulan puasa, adalah lebih baik mengamalkan pengambilan makanan yang sedikit berulang kali daripada makan dengan banyak dalam satu hidangan.

“Jika anda perlu mengambil ubat tertentu, dapatkan nasihat doktor mengenai cara mengambilnya di bulan puasa. Mungkin sekali di waktu sahur dan sekali di waktu berbuka.”

Seperti mana digalakkan mempercepatkan berbuka puasa, mereka yang berpuasa turut digalakkan melewatkan waktu bersahur mengikut sunah Nabi.

“Ini dapat mengurangkan tempoh perut kosong dan memudahkan amalan berpuasa,” kata Dr. Ahmad Shukri.

*Dugaan Raya

Tidak dapat dinafikan kehadiran Syawal amat dinanti-nantikan ramai umat Islam, ada di antaranya sehingga terlupa akan segala keberkatan dan kelebihan Ramadan.

Walaupun Ramadan tahun ini membawa dugaan-dugaan tertentu kepada umat Islam, bagi Dr. Ahmad Shukri, Hari Raya Aidilfitri itu sendiri membawa dugaan yang besar.

“Besar dugaannya di Hari Raya. Bermacam juadah terhidang dan begitu mudah untuk kita lupa diri selepas sebulan menahan lapar dan dahaga.

“Perlu diingatkan, perut kita perlu diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga angin dan hanya satu pertiga ruang untuk makanan. Akan menjadi beban besar jika kita makan terlalu banyak.”

Selepas sebulan dilatih mengamalkan pemakanan teratur, dua kali sehari (pagi dan malam) di bulan Ramadan, sikap melahap bukan sahaja akan membebankan perut, malahan organ lain juga (seperti pankreas).

Dr. Ahmad Shukri memaklumkan amalan makan berulang kali sepanjang hari selepas tamatnya bulan puasa akan menyebabkan sistem penghadaman menjadi berkecamuk akibat campuran bermacam jenis makanan.

“Tambahan lagi, jika seseorang itu mempunyai alahan (intolerence) terhadap bahan atau makanan tertentu.

“Mungkin sukar untuk mengesan bahan atau makanan berkenaan (seperti kacang atau susu) memandangkan telah dicampurkan ke dalam hidangan Raya,” jelasnya.

Cara makan juga memainkan peranan penting! Beliau mencadangkan amalan mengunyah dilakukan lebih lama dari biasa dan bukannya terus menelan apa yang dimasukkan ke dalam mulut.

Ini bagi membolehkan perut dan usus bersedia dengan mengeluarkan asid dan enzim yang diperlukan untuk penghadaman.

Selain jumlah dan jenis makanan, perkara yang penting untuk diperhatikan adalah tahap kebersihan makanan.

Masalah kebersihan makanan telah dibangkitkan sepanjang bulan Ramadan hasil jualan makanan yang tercemar mahupun telah basi di beberapa gerai bazar Ramadan.

Ini juga mungkin berlaku ketika menjamah makanan di rumah terbuka ataupun ketika bertandang ke rumah rakan dan saudara-mara, terutamanya jika makanan telah lama dihidangkan atau terdedah kepada lalat dan serangga.

“Pengambilan kuih raya yang banyak juga perlu diberi perhatian terutamanya kepada mereka yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Ini memandangkan banyak kuih raya yang dijual secara komersial kini mempunyai banyak gula, kolesterol dan bahan sampingan lain, mengikut cara kuih itu dimasak.”

Dr. Ahmad Shukri turut mengingatkan mereka yang mempunyai penyakit tertentu supaya beringat dan mengambil ubat di pagi Raya sebelum keluar bertandang ke rumah rakan dan saudara.

“Mereka yang mempunyai masalah perut (seperti gastrik) perlu mengelak dari mengambil terlalu banyak makanan berlemak ataupun minuman berkarbonat.

“Adalah lebih elok jika mengambil sedikit makanan ringan di rumah sebelum keluar. Walaupun ingin menjaga hati tuan rumah, jangan sampai merosak hati dan perut sendiri,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan semua umat Islam supaya tidak memusnahkan segala manfaat yang dikumpul dengan berpuasa sepanjang Ramadan.

Tegasnya, puasa selama sebulan telah membolehkan sistem penghadaman berehat dan merupakan satu titik permulaan untuk kita semua mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

“Jangan pula kita jadikan sambutan Hari Raya alasan untuk memusnahkan segala kelebihan berpuasa di bulan Ramadan.

“Di penghujung Ramadan, di permulaan Syawal, jadikan titik permulaan untuk hidup sihat dan kekalkan amalan pemakanan yang teratur dan seimbang!”

No comments: