Like Blog Ini...

Wednesday, September 2, 2009

Wakalah dalam Takaful

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

SISTEM Muamalat Islam adalah sistem yang dinamik dan seiring dengan keperluan semasa ummah. Konsep dan prinsip-prinsip asas yang digariskan oleh Islam dalam sistem muamalat tersebut walaupun nampak lebih bersifat 'tradisional' namun ia boleh diolah dalam bentuk yang sangat praktikal dan dapat memenuhi keperluan kewangan masyarakat moden yang kompleks.

Malah mekanisme sistem kewangan Islam masa kini dilihat sebagai satu alternatif terbaik kepada sistem kewangan konvensional yang kini seperti ibarat pepatah Melayu 'retak menanti belah'. Itulah hebatnya Islam yang sesuai tanpa ada batasan sempadan waktu mahupun sempadan geografi.

Kontrak Wakalah adalah di antara khazanah sistem Muamalat Islam yang telah dipopularkan serta diolah aplikasinya dalam pelbagai fasiliti sistem kewangan Islam semasa.

Perkataan wakalah adalah diambil daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud perwakilan. Dari segi bahawa wakalah bermakna memelihara, menjaga, menjamin, menyerahkan dan mengganti. Dari segi pengertian syarak, ia merujuk kepada, "Satu pihak menyerahkan sesuatu urusan yang boleh diwakilkan mengikut syarak kepada pihak lain ketika pihak yang pertama itu masih hidup".

Para fuqaha bersepakat bahawa akad perwakilan adalah di syarak dan harus berdasarkan dalil al-Quran, sunnah dan juga ijmak. Menurut Ibnu Qudamah, ijmak ulama menerima perwakilan sebagai satu akad yang diharuskan kerana akad wakalah ini adalah akad sangat diperlukan oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk pelbagai bentuk aktiviti.

Pensyariatan kontrak wakalah ini adalah bukti bahawa manusia itu sifatnya lemah, tidak boleh hidup bersendirian dan memerlukan antara satu sama lain untuk menguruskan hal ehwal kehidupannya. Islam mengharuskan prinsip wakalah untuk digunapakai dalam pelbagai lapangan aktiviti asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Di antara dalil yang menjadi sumber bahawa prinsip perwakilan ini adalah suatu yang diharuskan ialah :

1. Berdasarkan kisah Ashabul Kahfi sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran: …sekarang utuslah (wakilkanlah) salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah dia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya. (al-Kahfi:19)

2. Di dalam as-sunnah pula diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah mewakilkan Urwah al-Bariqi supaya membeli kambing untuk korban. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ahmad, Abu Daud, at-Tarmizi, Ibn Majah dan al-Daruqutni iaitu daripada Urwah sendiri).

Untuk memastikan kontrak wakalah ini suatu kontrak yang sah maka ia perlu memenuhi rukun dan syarat yang tertentu. Rukun-rukunnya ialah pewakil (al-muwakkil), penerima wakil (al-wakil), urusan yang diwakilkan (al-muwakkal fihi) dan ijab dan qabul (sighah).

Seseorang pewakil mestilah seorang yang berhak mengendalikan harta yang diwakilkan. Tidak sah pelantikan perwakilan yang dibuat oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz dan orang gila. Seorang wakil pula mestilah berakal untuk membuat pilihan antara baik dan buruk, rugi dan untung.

Mengikut mazhab Hanafi, seorang wakil juga disyaratkan bersungguh-sungguh dan tahu tentang tugas yang dinyatakan dalam kontrak dengan serius. Seorang wakil yang dilantik hendaklah ditetapkan. Kalau 'A' melantik dua orang dengan tidak menentukan mana satu, pelantikannya tidak sah. Selain itu, wakil juga hendaklah tahu tentang tugas atau tempoh yang ditentukan.

Sesuatu urusan yang diwakilkan mesti memenuhi syarat tertentu dan jika tidak memenuhi syarat-syarat berkenaan maka perwakilan tersebut tidak sah. Di antara syarat urusan yang boleh diwakilkan ialah mestilah diharuskan syarak dan dimiliki oleh pewakil kerana barang yang tidak dimiliki oleh pemilik tidak boleh diwakilkan kepada orang lain untuk mentadbirnya.

Urusan berkenaan juga mestilah diketahui dengan jelas supaya kesamaran dan penipuan dapat dielakkan. Tidak semua urusan boleh diwakilkan hanya urusan atau kendalian yang berkaitan dengan harta sahaja yang boleh diwakilkan. Manakala ibadah jasmani seperti sembahyang, puasa dan bersuci tidak sah diwakilkan kecuali ibadat haji.

Lafaz kontrak atau disebut sighah juga sangat penting dipenuhi syarat-syaratnya agar sesuatu kontrak yang dijalankan itu sah. Lafaz ijab (tawaran) dari pewakil hendaklah dibuat secara jelas dan terang.

Contoh: "Saya wakilkan kamu untuk menjual rumah ini" atau "Saya serahkan urusan penjualan tanah ini kepada kamu" atau "Kamu adalah pengganti saya dalam urusan penjualan tanah ini".

Bagi lafaz qabul (terima) dari wakil tidak semestinya lafaz yang terang dan jelas. Bahkan memadai dengan wakil tidak menunjukkan sebarang penolakan terhadap perwakilan yang diserahkan kepadanya.

Kontrak wakalah ini dibahagikan kepada Wakil Am, Wakil Khas, Wakil Berupah dan Wakil Tidak Berupah. Wakil Am adalah wakil dalam perkara yang tidak ditetapkan seperti wakil dalam semua urusan jual beli atau menjadi wakil tetapi tidak ditetapkan barangan yang hendak dijual atau dibeli.

Wakil Am mempunyai kuasa untuk sebarang urusan selagi mana tidak mendatangkan mudarat kepada pewakil.

Wakil Khas pula ialah wakil yang dikhususkan untuk urusan tertentu seperti jual beli rumah atau kereta, sewaan harta tidak alih seperti tanah, rumah dan bangunan. Wakil Khas ini terikat dengan perkara atau pekerjaan yang dikhususkan kepadanya.

Wakil berupah adalah diharuskan oleh syarak. Rasulullah SAW mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan diberi upah. Wakil jenis ini mestilah melaksanakan tugas tersebut dengan baik dan tidak mengabaikannya. Dalam konteks takaful, jenis wakil ini yang diamalkan.

Wakil Tidak Berupah pula ialah wakil yang bekerja secara sukarela tanpa sebarang habuan. Perwakilan jenis ini tidak mewajibkan seseorang wakil itu meneruskan kerja malah ia boleh melepaskan dirinya daripada tugas itu pada bila-bila masa sahaja.

Amalan wakalah sebagaimana yang diamalkan oleh beberapa pengendali takaful di Malaysia adalah sangat-sangat diperlukan bagi memasarkan produk-produk takaful kepada masyarakat. Tugas ini sangat diperlukan oleh pengendali takaful bagi merancakkan lagi penyebaran produk-produk yang berteraskan prinsip Islam.

Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (IKHLAS) umpamanya, menggunakan model yang diberi nama wakalah sebagai asas induk kepada sistem operasinya. Prinsip Wakalah yang dilaksanakan oleh IKHLAS bagi menjalankan operasinya ialah di mana IKHLAS sebagai wakil kepada para peserta bertanggungjawab menguruskan segala dana yang telah diwujudkan dengan penuh amanah, telus dan profesional. Bagi tujuan tersebut, IKHLAS mengenakan caj pengurusan dan prestasi berasaskan kepada prinsip perwakilan yang dibayar upah (al-Wakalah bi al-ujrah).

IKHLAS juga melantik wakil-wakil sebagai perantara dalam memasarkan produk-produk syarikat dengan dibayar upah. Akad di antara para wakil dan IKHLAS adalah berasaskan akad wakalah. Konsep ini sejajar dengan prinsip Islam sebagaimana amalan Rasulullah SAW yang pernah mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan Baginda SAW memberi upah kepada mereka (al-Talkhis al-habir, Jil. 1, hlm. 176, 251, 271).

Di dalam prinsip Islam, apabila dilaksanakan kontrak wakil dengan bayaran upah, maka kontrak itu adalah sah dan mengikat, ini bererti semua pihak bertanggungjawab melaksanakan semua perkara yang dipersetujui didalam akad tersebut.

Perbincangan tentang kontrak perwakilan di dalam Islam semestinya dikaitkan dengan empat sifat utama, siddiq (jujur), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Keempat-empat sifat ini mestilah ditanam, dijiwai dan diterjemahkan dalam urusan perwakilan oleh setiap wakil demi mencapai kehidupan yang berkualiti di dunia dan akhirat.

Seorang wakil takaful merupakan pendakwah yang berusaha mengembangkan produk Muamalat Islam. Takaful adalah alternatif kepada sistem insurans konvensional sebagaimana yang disimpulkan oleh Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Islam Di Malaysia 1983. Seorang wakil takaful juga melakukan jihad menentang sistem jahiliah (insurans konvensional). Ini kerana Insurans konvensional adalah haram menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1972. Di samping itu seorang wakil takaful juga beribadah menerusi kerja-kerjanya kerana ia merupakan satu manifestasi pengabdian, kepatuhan dan ketundukkan kepada perintah Allah yang memerintahkannya supaya melakukan makruf dan meninggalkan munkar. (al-Baqarah: 25)

Wakil takaful perlulah mempunyai akhlak yang terpuji bagi mencapai misi dan visi sebagai pembawa panji Islam.

Kesimpulannya, konsep perwakilan sebagaimana yang diamalkan oleh beberapa pengendali takaful adalah peluang pekerjaan dan salah satu daripada punca pendapatan. Para wakil juga berpeluang melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang daie yang mengajak masyarakat membantu antara satu sama lain, melakukan tabarruk serta membangunkan sistem muamalat Islam yang merupakan suatu tuntutan agama ke atas setiap Muslim. Hasilnya di dunia mereka memperoleh pendapatan untuk keperluan hidup dan di akhirat mereka mendapat ganjaran sebagai bekalan di hadapan Allah SWT.

No comments: