Like Blog Ini...

Wednesday, September 9, 2009

"Seronok berpuasa di sini, tapi tetap rindu keluarga"

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

WaJAH ceria dan gembira jelas terpancar pada anak-anak Orang Asli yang menjadi penghuni di Asrama Darul Falah. Kedatangan penulis menjenguk ke rumah banglo mereka yang terletak di Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur disambut dengan salam mesra serta senyuman daripada setiap penghuni.

Masing-masing menghulur tangan untuk bersalam sambil itu penulis sempat bertanya, "Puasa ke tak ni?" Saja ingin menduga apabila melihat masing-masing ceria dan bersemangat menyambut kehadiran penulis ke kamar mereka. Dan Alhamdulillah semuanya berjaya melakukan ibadah rukun Islam yang kedua itu.

"Tadi kami tidur sekejap, dengar kakak datang terus semua bangun," ujar Hidayah Kuek, 17, penghuni asrama perempuan dengan penuh mesra.

Gadis manis ini lantas mencapai penyapu yang terletak di sebelahnya untuk membersihkan bilik sebelum penulis meninjau ke ruang lain.

"Seronok ke berpuasa di sini, tak rindu mak dan ayah di kampung?" soal penulis lagi.

Beberapa suara menjawab, "Rindu memanglah rindu tapi di sini pun seronok," ujar beberapa penghuni dalam bahasa Melayu sedikit berbunyi loghat bahasa asal mereka.

Walaupun tempat tidur mereka agak padat dan sempit, di ruang inilah anak-anak Orang Asli daripada pelbagai suku dan kampung bersatu atas nama agama Islam.

Di rumah kebajikan ini jugalah golongan asnaf lain yang terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga miskin menumpang berlindung.

Asrama yang ditadbir oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ini dihuni kanak-kanak dan remaja dari usia semuda tujuh hingga 17 tahun, lelaki dan perempuan.

Ada yang telah menganut Islam sejak lahir mengikut ibu bapa yang baru diislamkan dan ada juga yang secara sukarela memilih agama suci ini walau ibu dan bapa belum menganut Islam.

Pengetuanya, Hasmadi Ghazali berkata, setiap anak-anak Orang Asli di asrama ini diwajibkan untuk bersembahyang jemaah lima waktu.

"Bagi yang kanak-kanak kita perlu membimbing mereka terutama tentang bacaan dalam solat, manakala yang remaja dan sudah menghafal bacaan dalam sembahyang, mereka boleh membimbing yang kecil.

"Di asrama ini juga kami mempunyai ustazah dan ustaz untuk memberi tunjuk ajar tentang Fardu Ain. Penghuni turut belajar mengaji mengikut peringkat umur serta kebolehan masing-masing dan pada bulan puasa semua wajib berpuasa tanpa alasan," jelas Hasmadi yang mesra disapa Pak Abu oleh setiap anak-anak jagaannya.

Hasmadi menambah, rutin seharian penghuni semenjak bulan puasa tidak banyak berubah. Mereka bersekolah seperti biasa, balik dari sekolah bersedia untuk sembahyang Zuhur berjemaah.

"Selepas Zuhur mereka akan diberi rehat, masa ini kebanyakannya memilih untuk melelapkan mata kerana keletihan berpuasa," ujarnya yang telah menjadi pengetua di rumah kebajikan tersebut sejak tiga tahun lalu.

Bagi sebahagian besar kanak-kanak ini hari yang paling menyeronokkan ialah apabila mendapat undangan berbuka puasa di luar.

"Jika ada undangan, mereka akan bersiap selepas solat Asar berjemaah. Jika majlis itu diadakan di asrama sahaja, mereka akan bersedia untuk berbuka di dewan pada pukul tujuh, solat Maghrib dan membaca al-Quran sementara menunggu masuk waktu Isyak sebelum diikuti solat terawih," jelasnya yang dibantu oleh tujuh kakitangan untuk menguruskan 55 penghuni Asrama Darul Falah.

Menceritakan tentang kerenah anak-anak berbuka puasa, Hasmadi mengimbau suasana 'kalut' yang pernah berlaku pada satu majlis berbuka di sebuah hotel terkemuka beberapa tahun lalu.

"Selepas berbuka, pengacara majlis mengumumkan tentang cabutan bertuah. Setiap penghuni pula dikehendaki mengambil nombor masing-masing yang diletakkan di bawah meja tempat makan mereka.

"Apabila nombor yang dipanggil tidak mengena, lantas mereka mula masuk ke bawah meja lain untuk mengumpul nombor. Memang kelam kabut jadinya apabila kami tidak berupaya mengawal mereka kerana masing-masing terlalu ghairah untuk mendapat cabutan bertuah tersebut," cerita Hasmadi.

Hasmadi berkata, sepanjang bulan puasa, penghuni di sini mendapat tajaan dari segi berbuka puasa, moreh dan duit raya.

Setiap daripada mereka juga mempunyai akaun simpanan sendiri dan apabila mendapat duit raya, Hasmadi sebagai pengetua bertanggung jawab mendepositkan ke akaun setiap penghuni.

"Anak-anak di sini turut mempunyai duit poket masing-masing. Dalam bulan Ramadan ini ramai yang meminta untuk berbelanja di pusat membeli-belah dan tidak kurang juga yang mengajak berjalan-jalan di taman tasik untuk menghilangkan kebosanan.

"Memang kami beri kebebasan sehari dalam sebulan berlibur bagi setiap penghuni, itu pun dengan pengawasan. Tapi jika tidak ke mana-mana mereka akan melakukan aktiviti di sekitar banglo seperti menanam pokok, memancing ikan dan sebagainya," jelasnya yang turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan demi memantapkan pembangunan diri penghuni Asrama Darul Falah.

Cabaran mendidik anak Orang Asli

Walau sebati dengan kerenah anak-anak jagaannya, Hasmadi tetap melahirkan kerisauan tentang masa depan mereka.

"Kebanyakan Orang Asli memang rendah dari segi kesedaran pelajaran. Mereka perlu dididik dengan tekun, diasuh agar menjadi muslim yang sejati.

"Memang kami boleh menghilangkan rindu mereka pada kampung halaman, tapi kami sukar membuatkan mereka cintakan sekolah, proses tersebut memakan masa bertahun. Kebanyakan mereka masih tidak tahu matlamat menuntut ilmu dan hanya melakukan sesuatu apabila disuruh.

"Cabaran kami ialah untuk mengubah cara pemikiran mereka dan kami cuba menerapkan nilai-nilai murni serta tanggung jawab dalam diri mereka melalui pendekatan psikologi,

"Setakat ini statistik kemasukan anak orang Asli Darul Falah ke universiti boleh dikatakan satu atau dua orang saja dalam dua tahun. Walaupun tidak ramai tapi sudah cukup membanggakan," jelas Hasmadi yang aktif mengikuti program pengislaman Orang Asli di Kuala Lipis sebanyak dua kali sebulan.

Pengalaman puasa dan raya

Kebanyakan anak Orang Asli di rumah kebajikan itu datang daripada suku kaum Semai, manakala selebihnya suku Temiar dan lain-lain.

Dalam pada itu penulis berkesempatan bersembang dengan salah seorang penghuni, Khairi Ramlan, 10, yang baru sembilan bulan menjadi penghuni Asrama Darul Falah.

Khairi yang menetap di asrama tersebut bersama kakaknya dan kini bersekolah dalam darjah empat di Sekolah Kebangsaan Bangsar.

Dia yang berperwatakan ceria mengakui, berpuasa di asrama lebih menyeronokkan daripada di kampung halamannya di Cameron Highlands.

"Seronok buka puasa sebab banyak makanan percuma. Lepas makan dapat duit raya pula. Paling seronok apabila dapat jemputan berbuka puasa di luar seperti di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) pada minggu lepas.

"Sepanjang bulan puasa ini saya ke sekolah macam biasa dan pada waktu lapang saya akan bermain bersama kawan-kawan atau tidur," ujarnya yang dapat berpuasa penuh selama lima hari setakat ini (ketika temu bual dilakukan).

Sementara itu, remaja perempuan dari Kampung Terisu 1, Cameron Highlands, Sofia Abdullah, 17, yang telah sembilan tahun menetap di asrama tersebut mengakui puasa di asrama amat berbeza dengan berpuasa di rumah.

"Kalau di rumah saya akan buka puasa dengan kakak-kakak yang beragama Islam, ini kerana ibu dan bapa saya tidak menganut apa-apa agama pun," jelas Sofia yang mengikut jejak langkah kakak sulungnya yang terlebih dulu memeluk Islam.

Sofia yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Bangsar, sempat berkongsi pengalaman raya di kampung.

"Apabila tiba cuti raya, biasanya bas dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan menjemput kami di sini dan menghantar kami ke kampung masing-masing.

"Hari raya kami sambut meriah di kampung, walau ibu dan ayah bukan Islam mereka tidak kisah dan turut menyambut raya bersama," jelasnya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Mohd. Safwan Zainal, 15, dari Kampung Orang Asli Kuala Chenain telah menetap di asrama tersebut sejak Disember tahun lalu.

Anak muda yang kelihatan tersipu-sipu ini mengakui merindui keluarga di kampung.

Mohd. Safwan bagaimanapun yakin pilihannya untuk tinggal di asrama ini adalah yang terbaik untuknya.

"Di sini saya dapat belajar fardu Ain, bersekolah dan tuisyen di waktu petang. Sesekali teringat ahli keluarga di kampung, tapi dengan adanya 25 lagi teman penghuni di sini perasaan rindu dapat diatasi.

"Kami juga berpeluang balik ke kampung pada setiap kali cuti sekolah dan hari raya jadi itulah masa mengubati kerinduan," jelasnya.

Seorang lagi penghuni perempuan, Sabnam Mustari Ipee Salim, 10, dari Kampung Terisu, Cameron Highlands sudah dua tahun menjalani ibadah puasa di asrama ini.

Anak bongsu daripada 10 beradik ini tinggal bersama empat lagi kakak dan abangnya di asrama yang sama.

"Masuk azan Maghrib kami akan makan kuih dahulu, lepas sembahyang berjemaah Maghrib barulah kami akan makan nasi," cerita Sabnam tentang pengalamannya berbuka puasa di asrama.

No comments: