Oleh ZULKIFLEE BAKAR
SEHARUSNYA di bulan Ramadan ini, umat Islam di selatan Thailand dibenarkan menjalani ibadah dengan tenang. Mereka perlu diberi laluan untuk membeli-belah bagi persiapan berbuka tanpa perlu dibelenggu kekhuatiran.
Tetapi malangnya, semua itu hanya menjadi impian. Umat Islam di wilayah selatan itu 'dipaksa' menyambut Ramadan dalam ketakutan. Ke mana sahaja mereka pergi, maut seolah-olah memburu. Ada antara mereka mati dalam serangan bom dan ada pula yang mati ditembak oleh 'puak pemisah'.
Serangan bom dua hari berturut-turut pada Khamis dan Jumaat lalu di Pattani dan Yala telah menyebabkan Ramadan di selatan Thai menjadi suram.
Dalam kedua-dua kejadian berkenaan, seramai 12 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera. Serangan dilakukan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan penduduk termasuk di sebuah restoran di Yala.
Persoalannya, siapakah yang tergamak melakukan perbuatan kejam berkenaan? Kalaulah benar 'puak pemisah', apakah mereka tidak mempunyai perasaan?
Atas apa alasan sekali pun, membunuh insan tidak berdosa salah di sisi Islam. Mungkin serangan itu sebagai isyarat bahawa kononnya puak pemisah Islam masih mempunyai kekuatan untuk melancarkan serangan.
Tetapi kalaulah itu alasannya, bentuk serangan boleh disifatkan sebagai pengecut. Ia menyasarkan insan-insan tidak berdosa tanpa mengira apa pun agama mereka.
Serangan yang terbaru jelas membuktikan bahawa segala rundingan oleh kerajaan Thai dengan puak-puak yang mengaku mewakili kumpulan pemisah adalah dongeng sematamata.
Sekiranya benar mereka mewakili puak pemisah, kenapakah serangan harus dilakukan ketika runding masih berlangsung? Apabila serangan terus berlaku, ia bermakna kerajaan Thai berunding dengan pihak yang salah.
Selain itu, kita juga berhak untuk bertanya, apakah yang datang berunding itu memang benar-benar diberi kuasa untuk mewakili puak pemisah? Atau puak pemisah sendiri pun tidak pernah mengenali individu yang mendakwa mewakili mereka itu?
Bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah, adalah lebih baik jika kerajaan mengenal pasti pihak yang benar-benar layak untuk berunding.
Mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan kumpulan atau individu yang mengakui mewakili Pertubuhan Pembebasan Pattani (PULO) atau Barisan Rakyat Nasional (BRN), sedangkan mungkin ada antara mereka hanya ingin mengambil kesempatan.
Lebih buruk lagi, kalau individu yang membuat dakwaan itu sebelum ini hanya hidup di luar negara dan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku di selatan Thai. Rundingan dengan pihak yang betul sudah pasti akan mampu menghentikan tindakan ganas.
Untuk menentukan individu yang betul bukanlah mudah. Bagaimanapun, kerajaan Thailand tidak boleh berputus asa dan mesti menggunakan saluran yang betul untuk berunding.
Adalah sesuatu yang sia-sia jika kerajaan menghabiskan masa dan tenaga berunding dengan pihak yang tidak betul sedangkan serangan bom tidak juga dihentikan.
Lebih malangnya lagi, penduduk Islam turut menjadi mangsa sedangkan 'puak pemisah' sering berkata perjuangan mereka untuk membebaskan penduduk Islam yang kononnya dijajah.
Kalaulah benar perjuangan untuk kesejahteraan penduduk Islam, mereka harus berusaha mencari pendekatan melalui rundingan dengan kerajaan, bukannya "menabur peluru atau meletupkan bom".
Selain itu, mereka juga perlu memahami selama ini mereka cukup membenci kehadiran lebih 60,000 tentera di wilayah selatan tetapi tidakkah mereka terfikir tindakan ganas mereka yang memungkinkan penempatan tentera itu terpaksa dilakukan.
Jika puak pemisah tidak melancarkan serangan maka sudah pasti keselamatan tidak terancam dan ini sekali gus akan membolehkan kekuatan ketenteraan dikurangkan.
Tetapi melalui serangan dan pembunuhan yang didakwa dilakukan oleh puak pemisah, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain menguatkan kawalan keselamatan.
Kerajaan Thailand mungkin bersedia mengundurkan tenteranya jika ada jaminan puak pemisah tidak akan melancarkan serangan, tetapi masalahnya tiada jaminan tersebut.
Tambahan pula selain berdepan dengan puak pemisah, keadaan keselamatan di selatan juga sering diganggu-gugat oleh sindiket dadah.
Puak pemisah tidak boleh menyalahkan kerajaan dengan kehadiran tentera berkenaan. sebaliknya Mereka sendiri perlu mencari jalan bagaimana untuk memastikan perjuangan mereka untuk kesejahteraan penduduk Islam tercapai.
Mereka perlu berunding sesama mereka yang difahamkan terdiri daripada pelbagai kelompok dan tidak ada pemimpin unggul bagi membolehkan perundingan dijalankan dengan kerajaan Thai.
Puak pemisah tidak harus lupa, di mana-mana juga negara, sesebuah kerajaan yang sah dan berdaulat sudah pasti akan memelihara serta mempertahankan wilayahnya dengan apa cara sekali pun.
Oleh itu jangan sampai, perjuangan yang kononnya bagi memerdekakan wilayah tertentu di selatan hanya menjadi sia-sia kerana penulis percaya usaha itu tidak akan dibenarkan oleh Thai.
Kesimpulannya, terserahlah kepada puak pemisah untuk menentukan langkah seterusnya. Bagi kerajaan Thai pula, mereka perlu menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai program bagi mensejahterakan penduduk Islam.
Janganlah apabila berlaku perubahan politik maka komitmen berkenaan turut berkubur. Jika itu berlaku sampai bila pun usaha untuk mewujudkan kedamaian dan keamanan di selatan akan kekal sebagai impian semata-mata.
PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia
No comments:
Post a Comment