Oleh HAPIZAH AZIZ
KINI tiada lagi kedengaran ketawa halus Hasmah Awang, 66, ketika menceritakan pelbagai cabaran dalam usahanya menubuhkan Pusat Tahfiz Nurul Huda di Kampung Pak Badol, Bachok, Kelantan setiap kali bersua penulis.
Dahulu bersulam ketawa, di wajah yang tenang Hasmah penuh teruja akan menyusul kembali satu persatu peristiwa sedih dan gembira, dugaan dan cabaran yang dihadapi sehingga terbina pusat tahfiz itu pada Disember tahun lepas.
Namun kini suara itu tidak kedengaran lagi kerana Hasmah meninggal dunia bulan lalu akibat komplikasi penyakit berpunca daripada barah payu dara yang dihidapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Berakhirlah segala penantian selama ini dengan tertubuhnya pusat tahfiz itu, namun dia tidak terkilan. Bahkan pemergiannya berhias sekuntum senyuman puas berkat kesabaran dan semangatnya selama bertahun-tahun, akhirnya membuahkan hasil.
Pusat tahfiz yang mengambil nama sempena nama anak angkat perempuannya, Nurul Huda banyak menyimpan memori suka duka Hasmah.
Ia akan kekal bersama semangatnya yang kini dipinjamkan di jiwa anak-anak murid yang memanfaatkan keselesaan di sana untuk meneruskan cita-citanya.
Begitu juga ahli keluarga, teman rapat, jiran tetangga yang akan terus mengingati usaha dan pengorbanan Allahyarham sejak beberapa tahun lalu, sebelum berjaya menubuhkan pusat yang menjadi impiannya sejak muda.
Tinjauan Utusan Malaysia ke pusat tersebut baru-baru ini, sejak Disember lalu, seramai 23 kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun menyertai kelas secara sepenuh masa.
Setiap hari, anak-anak yang masih polos ini tekun membaca dan menghafal ayat-ayat suci al-Quran dan semasa hayatnya, Allahyarham sering duduk di sisi asyik mendengar. Sesekali melontar nasihat agar mereka memberi tumpuan kepada bacaan dan hafalan mereka.
Akhbar Utusan Malaysia di ruangan Timur pada 20 Oktober 2008, pernah menceritakan hasrat Hasmah yang ingin memajukan pusat tahfiz bagi membolehkan anak-anak anggota masyarakat menguasai al-Quran dengan mudah dan secara terancang.
Dalam pertemuan ketika ia baru dibuka sekitar penghujung tahun lepas, Hasmah dengan penuh keharuan, melahirkan kesyukuran beliau tentang kejayaan menubuhkan pusat berkenaan.
Katanya, selama 20 tahun, impian dan cita-cita itu tersimpan dan dia tidak akan melupakan cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh itu, terutama dari segi mengumpul modal membina bangunan.
Dalam nada yang tegas, Hasmah memberitahu walaupun berhadapan cabaran, namun beliau akur ia bukannya satu misi yang mudah tetapi tidak mustahil direalisasikan.
Justeru, sejak terdetik di hatinya untuk menubuhkan pusat tahfiz semasa usia masih muda, beliau mencari jalan mendapatkan bantuan kewangan dan peralatan untuk mendirikan bangunan.
Bermula dengan pemberian tanah pusaka ayahnya yang dijadikan tapak bangunan, Hasmah berdikit-dikit menyimpan modal daripada sumbangan pelbagai pihak.
Namun, di tengah semangat sedang membara mencari lebih banyak modal, wanita ini terpaksa berhadapan dengan dugaan getir dalam hidup apabila disahkan menghidap barah payu dara yang memerlukannya menjalani pembedahan dan rawatan susulan.
Hasmah pasrah menerima penyakitnya dan menganggapnya sebagai ujian Tuhan terhadap usahanya untuk menubuhkan pusat tahfiz khusus untuk wanita itu.
Selama tiga tahun, tanpa rungutan dia gigih menjalani rawatan pemulihan. Matlamatnya hanya satu iaitu memikul tanggungjawab besar untuk memastikan hasrat itu menemui kejayaan.
Dalam tempoh kira-kira 10 tahun itu, Hasmah menghadapi pelbagai dugaan yang tidak disangka-sangka dan seolah-olah menguji keimanannya apabila anak angkatnya, Nurul Huda, 16, meninggal dunia akibat barah kelenjar.
Begitu juga dengan kematian suami, Hussain Omar akibat serangan jantung yang merupakan penyokong kuat dan umpama tulang belakangnya.
Kecekalan dan ketabahannya membina pusat tahfiz bersendirian itu, mendapat perhatian saluran Astro Oasis yang memilihnya sebagai seorang pemenang program Tetamu Jemputan Umrah yang ketujuh. Beliau ke Tanah Suci dari 26 Jun hingga 3 Julai 2008.
Di hadapan Kaabah, Hasmah berdoa agar peruntukan yang diperlukan akan dikabulkan Tuhan dan akhirnya dia berjaya memperoleh sebanyak RM290,000 untuk membangun dan menyiapkan bangunan itu pada Oktober 2008.
Sumbangan pelbagai pihak termasuk Amanah Raya Berhad dan Kumpulan Sukimi juga bagi melengkapkan peralatan di pusat tahfiz tersebut.
Pengambilan kanak-kanak perempuan pertama di pusat itu diumumkan kepada umum melalui hubungannya dengan pelbagai pihak. Pembelajaran sepenuh masa dilaksana di bawah pengawasan dua guru.
Bagi anak-anak daripada keluarga berada yang datang dari seluruh Kelantan, bayaran RM200 sebulan dikenakan bagi menampung kos tempat tinggal, makan dan minum.
Bagi pelajar yang miskin, mereka ditaja oleh penyumbang sukarela pusat tahfiz itu.
Kini, pengurus di pusat tersebut mengambil alih tugas-tugas yang pernah dilakukannya seperti mana pesanan yang dititipkan Hasmah agar pusat tersebut terus "hidup", meskipun selepas ketiadaan Allahyarham Hasmah.
Pada hari-hari terakhirnya, Allahyarham pernah menyuarakan hasratnya untuk mengerjakan umrah bulan Ramadan ini tetapi tidak kesampaian kerana dijemput terlebih dahulu untuk mengadap-Nya.
Kini hanya doa daripada anak-anak seramai enam orang, keluarga, sahabat handai dan anak-anak muridnya dihimpun, agar roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
No comments:
Post a Comment