Like Blog Ini...

Thursday, September 10, 2009

Peluang orang ramai menaja anak yatim

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

BANYAK kelebihan bersedekah di bulan Ramadan al-Mubarak yang penuh kemuliaan ini. Ketika ini, umat Islam digalakkan bersedekah bagi mewujudkan keinsafan dan rasa tanggung jawab sesama insan.

Apatah lagi dalam pada kita menikmati hidangan berbuka puasa lazat beraneka macam, masih ramai lagi golongan kurang bernasib baik hidup menderita akibat kemiskinan.

Alangkah bertuahnya badan jika dapat sama-sama menghulurkan sumbangan agar golongan ini dapat merasai sedikit kenikmatan yang kita peroleh setiap hari.

Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) membuka peluang kepada semua rakyat Malaysia terutama umat Islam yang ingin bersedekah kepada golongan asnaf seperti anak-anak yatim, orang asli, orang kurang upaya (OKU), pelarian Rohingya dan ibu tunggal.

Pengarahnya, Wan Rusli Wan Muda berkata, pihaknya menjemput muslimin dan muslimat turut serta menghayati keistimewaan Ramadan menerusi aktiviti bantuan pendidikan, bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas.

"Tahun lalu, rangkaian Muslim Aid berjaya mengagihkan sejumlah RM500,000 untuk melaksanakan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan," katanya.

Fast 2 Feed

Baru-baru ini, seramai 140 anak-anak yatim, miskin masyarakat Orang Asli dan pelarian Rohingya dari Asrama Darul Falah (Asdaf) Changkat Persekutuan Kuala Lumpur dan Rumah Anak Yatim Pelarian Rohingya, Madrasah Hashimiah Selayang diraikan menerusi program Fast 2 Feed di Petaling Jaya.

Program tajaan berbuka puasa, memberi duit raya dan berbuka puasa bersama-sama golongan asnaf itu berlangsung penuh meriah di Dewan Al-Malik Faisal Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Ia turut dihadiri oleh syarikat swasta dan individu yang telah menyumbang kepada majlis tajaan berbuka puasa tersebut seperti syarikat berpengkalan di Chendering, Kuala Terengganu, Trencom Sdn. Bhd, Datin Fatimah Affan dari Seri Petaling, Kuala Lumpur dan warganegara Singapura, Saleha Mohd. Salleh.

Saleha yang ditemani anaknya, Siti Rohaya, 21, tiba di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 4 pagi dengan menaiki bas dari Singkang pada malam sebelumnya.

Katanya, dia tidak langsung keberatan datang dari jauh semata-mata untuk berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan miskin yang ditaja pada majlis itu.

"Bukan saya seorang, tapi kami sembilan orang semuanya berjaya kumpulkan sejumlah RM3,000 untuk disumbangkan kepada Asdaf.

"Baru-baru ini kami ada menziarahi rumah anak-anak yatim itu dan membantu menceriakan sekitar dengan lukisan dan kraf tangan serta memperluaskan perpustakaan Asdaf," ujar Saleha dan anaknya yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Singapura.

Sementara itu, kemeriahan turut dirasai dua penghuni Asdaf, Nur Saleha Zabri, 15, dan Nor Zamilawati Zabidi, 16 yang berasal dari Sungai Siput, Perak.

"Kemuliaan hati para penaja memberi semangat kepada kami untuk berusaha keras dalam pelajaran agar berjaya suatu hari nanti dan bersedekah kepada golongan kurang bernasib baik," kata Nur Saleha yang menghuni asrama tersebut sejak berusia 10 tahun.

Nor Zamilawati pula menganggap semua anak-anak yatim dan miskin sebagai adik-beradiknya sendiri meskipun berbeza latar belakang dan kepercayaan.

"Pada mulanya memang rasa tersisih dan tidak sanggup (tinggal di rumah anak yatim) tetapi lama kelamaan saya menerima kenyataan dan sedar ramai lagi adik-adik yang bernasib lebih malang," katanya yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang reka cipta suatu hari nanti.

Menerusi program Fast 2 Feed, orang ramai bukan sahaja boleh menjadi penaja malah boleh berbuka puasa bersama-sama anak yatim atau miskin yang diraikan.

Hanya RM30 untuk menaja seorang anak yatim atau RM50 (dua orang) termasuk hidangan berbuka puasa, moreh dan duit raya.

Jika mahu, anda juga boleh membawa sumbangan seperti beras atau minyak masak untuk disedekahkan.

"Terpulang kepada syarikat atau individu berapa banyak yang hendak disumbangkan.

"Mereka juga boleh memilih untuk sama-sama berbuka puasa serta solat jemaah Maghrib, Isyak dan Terawih bersama golongan asnaf yang hendak diraikan," katanya lagi.

Untuk menyertai program ini, boleh datang ke pejabat Muslim Aid di 8-1-2, Mutiara Bangsar, Jalan Liku Kuala Lumpur atau membuat kiriman pos atau cek atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia.

Deposit secara langsung menerusi akaun bank CIMB - 1422-0000070-10-8 (Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia). Kemudian, pos, faks ke 03-2288 1966 atau e-mel slip pembayaran berserta nama penuh dan nombor telefon kepada mail@muslimaidasia.com. Sila nyatakan sekali tarikh yang Fast 2 Feed yang anda ingin sertai dan hubungi 03-22881996 (Azmira/Muhammad).

No comments: