Oleh YUSRI SAHAT
utusanpahang@utusan.com.my
PEKAN 12 Sept. - Umat Islam akan mencapai tahap kemakmuran ekonomi yang tinggi jika setiap penganut agama itu menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan membayar zakat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tegas Perdana Menteri, umat Islam perlu melihat kewajipan zakat daripada perspektif yang lebih luas dalam meningkatkan ekonomi.
''Pemberian zakat perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas. Zakat wajib ke atas mereka yang sepatutnya membayar zakat sama ada perniagaan atau perseorangan. Zakat ada kaitan dengan prinsip tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian zakat dan sumbangan kepada kira-kira 4,000 penerima yang terdiri daripada fakir miskin dalam Parlimen Pekan di sini hari ini.
Bantuan zakat itu disumbangkan oleh Bank Rakyat, Uda Holdings Berhad, Lebuhraya Kedah Selatan, Yayasan Basmi Kemiskinan dan Yayasan Harmoni.
Pada majlis sama, seramai 359 orang bukan Islam turut menerima sumbangan daripada institusi-institusi berkenaan.
Najib yang mewakili Yayasan Rahah juga menerima sebuah van jenazah daripada Uda Holdings.
Perdana Menteri menjelaskan, tanggungjawab membayar zakat membuktikan keindahan agama Islam dalam memelihara keharmonian daripada sudut ekonomi masyarakat.
Selain zakat, tambah beliau, Islam turut mengajak umatnya melakukan sedekah jariah atau infak bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.
''Jika kita hendak tambah lagi amalan, kita lakukan menerusi sedekah jariah atau infak," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan para penerima zakat supaya membelanjakan wang yang diperoleh kepada perkara yang memanfaatkan diri dan keluarga seperti untuk persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.
''Bagi penerima, mereka juga ada tanggungjawab masing-masing iaitu tidak mempersia-siakan sumbangan yang diperoleh. Belanja untuk jalan yang baik dan jangan beli benda yang tidak patut dibeli," tegasnya.
Beliau juga mengingatkan para pemimpin di semua peringkat supaya menjalankan amanah mengikut syariat Islam.
Sikap sedemikian jika diamalkan, jelasnya, akan menjadikan masyarakat hidup dalam harmoni apabila semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing seperti yang dikehendaki.
''Setiap kita ada tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Sebagai pemimpin negara, dia bertanggungjawab memimpin negara dengan baik. Begitu juga sebagai ketua badan korporat, yayasan atau koperasi, dia bertanggungjawab mengendalikan harta syarikat dengan sempurna.
''Masyarakat akan menjadi lebih makmur hasil daripada tanggungjawab yang kita sempurnakan itu," katanya.
No comments:
Post a Comment