Oleh SITI SHAMSIAH MOHD. SUFI
AIDILFITRI seharusnya memberikan seribu satu kegembiraan kepada kita dan seluruh umat Islam. Ibarat meraikan kemenangan yang dianugerahkan kepada setiap Muslim selepas melalui satu kem ibadah dan disiplin diri.
Melalui Firman Allah SWT, sunnah Rasulullah dan pelbagai hikmah yang ditemui di sebaliknya, berbagai-bagai kiasan dan tafsiran diberi kepada Ramadan dan ibadah puasa. Sehubungan dengan itu, bila diamat-amati terdapat tiga dimensi penting yang terkandung dalam pensyariatan ibadah puasa; hubungan hamba dengan Penciptanya, hubungan dengan sesama manusia dan tanggungjawab individu Muslim kepada diri sendiri.
Ibadah puasa dinyatakan oleh sebuah hadis sebagai satu-satunya pemberian anak Adam kepada Tuhannya sementara amalan lain adalah untuk diri anak Adam itu.
Sekalipun puasa merupakan pemberian kepada Allah SWT, ia tetap dikurniai balasan baik ketika di akhirat nanti. Maka, lega dan gembiralah di kalangan mereka yang dapat menyempurnakannya dengan baik pada Ramadan lalu.
Dalam dimensi ini, puasa adalah tanda keimanan seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila ia berpuasa, bermakna ia menjaga hubungan antara hamba dengan Tuhannya. Dengan peringkat-peringkat puasa yang menjadi tanda aras kepada mutu puasa seseorang sama ada sekadar puasa umum, khawwas ataupun khawasil khawwas, maka ia juga menentukan di peringkat mana eratnya jalinan hubungan tersebut.
Amat wajar kalau setiap individu Muslim membuat penilaian terhadap kualiti dan peringkat puasa yang telah dijalaninya itu, supaya ia menjadi pemangkin agar individu terbabit lebih bersedia untuk menyambut Ramadan akan datang untuk diisi dengan pengisian-pengisian yang lebih baik dan salih.
Puasa yang berkualiti adalah dengan memeliharanya daripada sebarang perkara yang boleh menghilangkan pahala puasa. Apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara sebab yang boleh mengakibatkan pahala puasa terhapus adalah bilamana seseorang itu melakukan pembohongan, mengumpat, mengadu domba, dan membuat sumpah palsu, menunjukkan bahawa puasa memerlukan individu Muslim yang melakukan ibadah tersebut perlu menjaga hubungannya sesama manusia.
Setelah hampir seminggu kita meninggalkannya, perlunya kita bermuhasabah serta menilai sama ada kita masih menjaga tutur kata dan beradab ketika berkomunikasi dengan orang lain. Seterusnya menilai, sama ada kita juga masih berterusan menjaga maruah dan nama baik saudara seagama tanpa mengira ia berada di sisi kita atau di belakang kita.
Bukan sahaja dengan memelihara dan mencegah pahala puasa daripada berkurang atau terhapus, melalui hubungan sesama manusia juga pahala boleh diusahakan dan diraih. Dalam hal ini amat banyak hadis yang menyarankan supaya pemberian dan sedekah dibuat kerana ia dapat meningkatkan lagi pahala puasa. Antaranya ingatan daripada Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa harta tidak akan berkurangan disebabkan sedekah malah pemberi sedekah akan dikurniai ketinggian darjat dan kemuliaan.
Menurut Ibn Abbas dan Imam al-Bukhari r.a., dalam episod bersedekah Rasulullah SAW merupakan individu yang amat pemurah kepada semua orang dan sifat kedermawanan Baginda ini bertambah-tambah pada bulan Ramadan.
Pada bulan Ramadan kita banyak menyaksikan golongan yang memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim menerima layanan yang istimewa dan hampir setiap hari mereka diraikan.
Walaupun demikian, adakah kita mula meninjau di mana mereka berada pada hari ini? Adakah sama seperti sebelum ketibaan Ramadan, kembali dalam keadaan yang terpinggir kerana tangan kita telah berhenti untuk menghulur bantuan dan kebaikan?
Apabila tilawah al-Quran sangat dianjurkan untuk dilakukan, selain ia menerbitkan butir-butir pahala dan berperanan sebagai pemangkin kepada doa-doa yang dipanjatkan, ia turut memberi petanda bahawa umat Islam sangat digalakkan untuk mencari dan menggali ilmu kerana al-Quran merupakan sumber dan asas ilmu kepada seluruh kehidupan manusia.
Amatlah malang bagi mereka yang berkesungguhan menjaga pemakanannya ketika berpuasa, tetapi terus mengabaikannya bila Ramadan melabuhkan tirainya.
Secara ringkasnya selepas berlalunya Ramadan, persoalan yang wajar ditanyakan oleh setiap individu Muslim kepada dirinya sendiri adalah, sama ada puasa yang baru berlalu telah berjaya melaksanakan peranannya dalam membentuk diri sebagai insan yang memiliki istiqamah dalam melakukan sebarang tindakan baik serta memelihara dirinya daripada sebarang keburukan.
Juga sama ada hubungan antara hamba dengan Penciptanya dapat dijaga secara berterusan, begitu juga dalam soal hubungan sesama manusia yang tidak membenarkan persengketaan berlaku, malah amat dianjurkan penyatuan dan berkasih sayang melalui pelbagai medium yang terkandung dalam agama Islam, serta sejauh mana pelaksanaan tanggungjawab terhadap diri sendiri dapat dikekal dan diteruskan.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
No comments:
Post a Comment