Oleh Mohd. Farid Alias
ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat kesempatan untuk kita melalui bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, bulan untuk kita menjalankan ibadah puasa, menahan hawa nafsu dan meningkatkan amal ibadah.
Pada siang harinya kita berpuasa, dan pada malam harinya kita bersolat tarawih, berqiamullail. Kita menunaikan zakat fitrah, memanjangkan sedekah, dan mengeratkan ukhuwah.
Harapan kita agar segala amalan kita pada bulan tersebut diterima oleh Allah serta diampunkan dosa-dosa kita yang lepas.
Kini Ramadan sudah berlalu. Ibarat bayi yang baru lahir, suci bersih daripada dosa dan cengkaman nafsu, itulah yang kita harapkan untuk kita capai melalui latihan mendidik nafsu melalui 'institusi pengajian Ramadan' ini.
Graduan Ramadan Yang Unggul
Ketibaan Syawal menandakan tibalah masanya untuk kita merayakan kejayaan sebagai graduan Ramadan yang mampu menurut disiplin ibadah yang dianjurkan dalam bulan itu dengan gigih dan sabar.
Inilah Aidilfitri untuk kita bergembira, dan juga sebagai titik permulaan baru dalam kehidupan kita untuk melaksanakan transformasi diri menuju fitrah insan.
Transformasi tersebut merujuk kepada aspek dalaman kita yang seharusnya mempunyai perubahan yakni peningkatan antara sebelum Ramadan dan selepas Ramadan.
Jika sebelum Ramadan kita kurang dan malas beribadat, maka selepas Ramadan seharusnya kita menjadi semakin terdorong dan rajin untuk melakukan ibadah kesan ketekunan kita melaksanakan ibadah dalam bulan Ramadan.
Jika sebelum Ramadan kita sukar mengekang hawa nafsu, maka selepas Ramadan diharapkan kita memiliki lebih kekuatan untuk mengawal hawa nafsu kesan pelaksanaan ibadah puasa serta penghayatan terhadap hakikat rukun Islam tersebut.
Jika sebelum Ramadan kita begitu sukar untuk menghadiri majlis ilmu, maka selepas Ramadan diharapkan kita bertambah minat untuk menghadiri majlis sedemikian kesan kesediaan kita menghadiri ceramah atau tazkirah agama dalam bulan Ramadan.
Justeru proses peningkatan pemikiran, ilmu dan tabiat itu diharapkan berlaku melalui apa yang kita amalkan sepanjang Ramadan yang dilalui.
Namun jika tidak, maka kita perlu merenung berkenaan sejauh mana kita memanfaatkan Ramadan yang dilalui dari segi pelaksanaan ibadah serta penghayatan terhadap maksud ibadah yang dilakukan.
Syawal satu permulaan baru
Dengan kembalinya kita kepada fitrah bersempena Aidilfitri ini, masanya juga amat bersesuaian untuk kita menanamkan azam baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan sebagai seorang Muslim.
Jika direnungi maksud 'Aidilfitri' itu sendiri, 'aidil' bermaksud hari raya, manakala 'fitri' itu merujuk kepada fitrah yakni kecenderungan sebenar insan yang terarah kepada perkara kebaikan dan kebenaran, dan bebas daripada dosa dan hawa nafsu.
Justeru Aidilfitri itu merupakan satu perayaan yang kita sambut bersempena kembalinya kita mencapai fitrah insan melalui tarbiah Ramadan. Aidilfitri ialah satu permulaan baru untuk kita, dan insya-Allah diri kita kembali bersih suci zahir dan batin, ibarat kain putih yang bersih dan suci, yang bakal dicorakkan kembali seadanya.
Tentunya pada kain putih ini ingin kita corakkan sebaik-baiknya, agar jalinan corak yang terhasil itu tampak cantik, harmoni dan berseni. Bukan sebarangan warna atau corak hendak kita karyakan, bukan tumpahan kopi yang kita harapkan, tetapi ada idea yang ingin kita zahirkan beserta pedoman ilmu berkarya kita sandarkan.
Begitu juga bagi diri kita sendiri, dengan permulaan baru ini kita mengharapkan untuk melakukan yang terbaik, berpandukan iman dan ilmu yang hakiki. Agar setiap isu dalam kehidupan kita dapat kita lalui dengan cara yang berkat dan diredai.
Seterusnya Syawal membawa kita memulakan langkah untuk melaksanakan gerak kerja menuju matlamat peningkatan diri. Proses pentarbiahan diri ketika Ramadan mempunyai kesinambungannya apabila memasuki bulan Syawal.
Puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal umpamanya, boleh dilihat sebagai proses pengukuhan kepada ibadah puasa sebulan yang dijalani sebelum ini. Ia juga merupakan proses pengukuhan kepada kekuatan diri dalam mengawal hawa nafsu.
Hakikat bahawa ia merupakan ibadah sunat juga sebenarnya menguji hasil tarbiyah Ramadan kita sebelum ini tentang sejauh mana kita akan beristiqamah dalam melaksanakan ibadah puasa sebagai sebahagian daripada transformasi diri kita.
Dengan sifat istiqamah ini, pelaksanaan ibadah puasa dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga seperti puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain jenis puasa sunat.
Hikmahnya, amalan berpuasa secara berterusan ini dapat membantu usaha kita mengekang hawa nafsu dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Begitu juga dengan amalan-amalan lain yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan seperti solat-solat sunat, bersedekah dan sebagainya yang seharusnya menjadi sebahagian daripada tabiat diri sepanjang masa.
Kesimpulan
Mehnah dan tribulasi kehidupan sering mencabar pertimbangan nilai dan keimanan diri. Dengan ketibaan Syawal, kini bermulanya medan ujian sebenar buat kita untuk memanifestasikan didikan Ramadan yang kita lalui.
Namun harapan kita agar segala ujian dapat kita hadapi dengan watak dan pembawaan yang baru bersempena titik permulaan yang baru yakni Aidilfitri yang mulia ini.
Insya-Allah usaha transformasi diri dapat kita tempuhi dengan sebaik-baiknya beserta dukungan kekuatan jiwa takwa dan nafsu yang terdidik.
No comments:
Post a Comment