MEGA: Kita bangga dengan kutipan zakat di sesetengah negeri yang mencecah ratusan juta ringgit. Apakah pula tanggungjawab pengagihan yang perlu ditunaikan?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering terdengar pencapaian kutipan zakat di negeri-negeri tertentu yang mencecah ratusan juta ringgit.
Ini adalah berita yang sihat yang sekali gus memaparkan pencapaian ummah dalam beberapa perkara.
Antaranya, pencapaian ekonomi ummah mungkin semakin meningkat selaras dengan jumlah kutipan zakat yang semakin meningkat.
Fenomena ini juga mungkin menggambarkan keyakinan masyarakat kepada pengurusan institusi zakat negeri semakin jitu.
Di samping keceriaan pihak pengurusan zakat negeri menghebahkan jumlah kutipan yang memberangsangkan, pihak penerima dana zakat turut mengharapkan keceriaan dalam mendapat hak mereka.
Perhatian perlu diberi secara seimbang antara keefisienan dalam kutipan dan keefisienan dalam pengagihan. Kedudukan perkara ini merupakan asas penting dalam institusi zakat seperti riwayat Imam Muslim rahimahullah terhadap sabda Nabi SAW kepada Mu'adh bin Jabal r.a yang dihantar ke Yaman agar mengajak masyarakat di sana kepada beberapa perkara termasuk "membayar zakat harta mereka dan diberikan kepada orang miskin".
Demikian juga firman Allah dalam surat at-Taubah seperti di atas.
Berdasarkan dalil-dalil di atas, para pengurus dana zakat perlu memberi perhatian yang seimbang kepada aspek pengagihan seperti mereka memberi perhatian kepada aspek jumlah kutipan.
Elok juga kita menarik perhatian di sini bahawa Nabi SAW turut mengingatkan Mu'adh bin Jabal r.a dengan sabdanya, "takutilah doa orang yang teraniaya kerana sesungguhnya antara dia dengan Allah SWT tidak ada hijab".
Pengurus zakat perlu berhati-hati agar tidak menzalimi pembayar zakat dengan mengambil harta mereka secara tidak adil dan turut memberi perhatian agar penerima dana zakat tidak dizalimi lantaran tidak mendapat hak mereka.
Bukankah lebih baik jika hasil kutipan zakat ini dikembangkan dalam bentuk pembinaan pusat-pusat latihan untuk melahirkan usahawan Muslim?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Agama Islam menggariskan peraturan yang kemas berhubung dengan perincian pentadbiran zakat sama ada dari segi kutipan mahupun pengagihannya.
Peraturan-peraturan ini berkisar di sekitar petunjuk al-Quran dan al-Sunnah serta ulama membimbing ummah sepanjang zaman sesuai dengan keperluan zaman masing-masing berdasarkan sumber rujukan ini.
Perkara pokok dalam mengagih dana zakat adalah memenuhi keperluan para asnaf seperti yang dinyatakan al-Quran.
Perhatian terhadap para asnaf ini ternyata menunjukkan kelompok warga yang miskin mendapat perhatian istimewa. Bantuan kepada mereka boleh dijelmakan dalam dua bentuk.
Bagi golongan yang tidak mampu bekerja lantaran faktor usia, kecacatan dan sebagainya, golongan ini perlulah dibantu untuk membolehkan mereka memenuhi keperluan asas mereka dengan mencukupi.
Namun, bagi yang miskin dan mampu bekerja serta berpotensi untuk berdikari, golongan ini perlu dibantu dalam bentuk didikan kemahiran dan modal agar mereka dapat berusaha untuk membebaskan diri daripada cengkaman kemiskinan.
Pendekatan ini mengingatkan kita kepada apa yang dianjurkan Nabi SAW kepada seorang sahabat yang meminta bantuan kepada baginda. Baginda bertanyakan kepada sahabat tersebut kiranya beliau mempunyai apa-apa untuk dijual dan apabila sahabat ini menyatakan yang beliau mempunyai sekian-sekian barang, lalu Nabi SAW menjual barangan tersebut.
Hasil jualan barangan itu dibahagi dua yakni satu bahagian untuk kegunaan keperluan segera sahabat berkenaan dan satu bahagian lagi disuruh beli kapak dan tali serta dianjurkan sahabat berkenaan gigih berusaha mencari kayu api. Ternyata usaha murni tersebut memberi ruang kehidupan yang lebih baik kepada sahabat tersebut.
Kisah ini menjadi panduan kepada usaha kita menangani persoalan kemiskinan ummah dengan mengambil pendekatan memberi ikan yang secukupnya kepada mereka yang tidak mampu terlibat dalam sebarang aktiviti ekonomi. Dan memberi alat untuk tangkap ikan kepada mereka yang mampu dan berpotensi bergerak aktif di medan ekonomi.
Golongan ini perlu dibantu dengan alat-alat dan kemahiran yang secukupnya agar mereka dapat menangkap ikan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan mereka malah menangkap ikan dengan kadar yang melebihi keperluan agar lebihan tangkapan itu dapat diberi kepada orang lain yang memerlukan.
Pendeknya, perancangan rapi pihak pengurus zakat dengan pendekatan sebegini berpotensi mencetuskan generasi usahawan dalam kalangan para asnaf.
Usaha sebegini perlu digerakkan dengan menjalin jaringan bersama dengan pelbagai pusat pendidikan dan latihan kemahiran yang sedia ada.
Di negara kita, sudah ada slogan satu produk satu kampung. Adakah boleh kita perkenalkan pula satu jabatan agama dengan satu produk ekonomi?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Ini adalah persoalan yang menarik. Kempen murni satu produk satu kampung ternyata mempunyai kelebihan istimewa dari segi ekonomi.
Di samping ia boleh memperkasakan kemahiran secara pengkhususan, aktiviti sebegini memberi ruang untuk industri menikmati faedah ekonomi bidangan.
Dengan sokongan agensi pemasaran yang mantap, slogan satu produk satu kampung ternyata memberi harapan positif meningkatkan taraf sosio-ekonomi warga kampung.
Konsep murni sebegini tentunya berpotensi juga diterapkan kepada satu jabatan agama dengan satu produk ekonomi. Kedudukan ekonomi ummah berbanding masyarakat lain menuntut kita lebih serius dalam memenuhi keperluan ekonomi ummah.
Semboyan slogan 'Bisnes satu cabang Jihad' telah lama dilaungkan sebagai pemangkin pembudayaan bisnes untuk survival ekonomi ummah.
Langkah awal menyemarakkan 'satu jabatan agama dengan satu produk ekonomi' perlu dikembangkan seterusnya kepada 'satu jabatan agama dengan 10 produk ekonomi' buat beberapa tempoh berikutnya. Demikianlah seterusnya dipertingkatkan lagi kepada pelbagai produk semaksima mungkin. Ini adalah hasrat yang cukup besar.
Pelbagai agensi kerajaan dan usahawan muslim perlu bersama berganding bahu dengan agenda besar ini. Pelbagai kepakaran muslim yang berselerak di semua IPTA dan IPTS seluruh negara perlu tampil bersama berjihad menyumbang idea dan kepakaran.
Aspirasi sebegini perlu menjadi suntikan kepada penyelidik muslim bertungkus lumus mencipta pelbagai produk untuk diwakafkan kepada ummah menerusi produk keluaran jabatan agama.
Jabatan agama berpotensi menjayakan konsep ini kerana beberapa keistimewaan yang ada pada jabatan berkenaan. Pertama, barangan keluaran jabatan agama tentunya memberi keyakinan tinggi kepada pengguna muslim dari segi status halalnya.
Kedua, jabatan agama mempunyai keistimewaan dalam menggerakkan dana sedekah dan wakaf. Dana zakat mungkin agak terbatas untuk dijadikan asas dalam menggerakkan agenda ini lantaran terhadnya kutipan berbanding dengan keperluan asnaf di kebanyakan negeri.
Lagi pun, ruang penggunaan dana zakat untuk tujuan sebegini mungkin masih menjadi perbahasan. Apa pun, dana yang diperlukan untuk produk yang dikenalpasti boleh dikumpulkan dengan semangat jihad setiap muslim.
Bayangkan, jika setiap masjid berkempen setiap minggu pada hari Jumaat dengan slogan 'Sumbanglah sedekah seminimum RM1 seminggu', jumlah yang bakal dikutip tentunya bukan sedikit.
Khutbah Jumaat perlu dijadikan wahana memotivasikan agenda ini.
Kutipan secara kolektif semua masjid di sesebuah negeri untuk tempoh yang berterusan berpotensi mencetuskan modal yang diperlukan. Kutipan ini tentunya akan diperkasakan lagi dengan kehadiran ahli korporat yang berhati mulia seperti dermawan silam Saidina Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.
Pelbagai kepakaran muslim yang meliputi kepakaran syariah mahupun kepakaran pengurusan dan ekonomi yang terdapat di pelbagai IPTA/IPTS serta organisasi lain perlu dimanfaatkan.
Negara sudah 52 tahun merdeka. Namun, usahawan Muslim majoritinya masih belum 'merdeka' daripada pinjaman institusi kewangan untuk berniaga. Apakah penyelesaian dalam hal ini?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Alhamdulillah, kita sudah lama merdeka. Namun, nisbah dengan lamanya kita dijajah, itu jauh lebih lama.
Tempoh 52 tahun itu telah banyak membawa ummah kepada dunia perniagaan. Sebenarnya, persoalan tidak merdeka daripada pinjaman institusi kewangan untuk berniaga bukanlah suatu yang luar biasa.
Yang luar biasanya jika pinjaman itu diperolehi daripada institusi kewangan yang berteraskan riba. Sekarang ini, kita sudah agak selesa dengan kemunculan sistem kewangan Islam yang mantap sekali gus menyelamatkan usahawan muslim daripada bergelumang dengan transaksi riba.
Sebenarnya, jalan keluar kepada masalah itu tetap ada dalam Islam. Nabi SAW dulu ketika berniaga di Syam pun tidak ada modal. Modalnya diperolehi secara mudharabah dengan Saidatina Khadijah r.anha dan baginda berjaya dengan perniagaannya itu.
Hari ini, instrumen pelaburan Islam seperti mudharabah dan musyarakah perlu disemarakkan terutamanya dalam menghubungkan pihak yang mempunyai modal dan pengusaha yang berpotensi menggerakkan modal.
Di samping itu, pihak-pihak hartawan tertentu yang mempunyai dana lebihan dianjurkan bermurah hati menyediakan modal secara al-Qard kepada usahawan yang memerlukan.
Usaha sebegini tentunya menuntut penghayatan konsep amanah yang cemerlang seperti yang ditunjukkan Nabi SAW ketika berdagang dengan modal yang disediakan Saidatina Khadijah r.anha.
Jabatan Agama yang mempunyai dana lebihan mungkin perlu buka ruang mempermudahkan usahawan muslim mendapat modal perniagaan.
Di samping itu, dana wakaf perlu disemarakkan bagi memiliki bangunan atau premis perniagaan strategik.
Setiap premis yang digerakkan secara dana wakaf berpotensi mengekalkan tapak perniagaan muslim secara kekal. Tapak sebegini boleh disewakan kepada usahawan muslim yang berpotensi.
Perlu dinyatakan dalam Islam, peniaga-peniaga yang berjaya perlu membayar zakat perniagaan dan jika dia ditimpa kerugian, dia berhak dibantu dengan dana sedekah.
Kedudukan ini mencetuskan suatu sistem sekuriti yang istimewa bagi para usahawan muslim. Kesemua jalan penyelesaian yang dinyatakan di sini turut menuntut penghayatan konsep ukhuwah sejati sesama muslim.
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk pastikan produk usahawan muslim boleh dipasarkan?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Pertama, produk yang dihasilkan perlu memenuhi cita rasa pengguna dan berjaya meletakkan produk itu sekurangnya seiring dengan saingannya di pasaran.
Pelbagai kriteria daripada kualiti produk hingga kepada pembungkusan produk perlu diberi perhatian.
Keduanya, pihak kerajaan perlu memastikan produk usahawan muslim dapat bertapak dalam pasar-pasar gergasi dengan mengenakan syarat-syarat khas.
Seterusnya, produk usahawan muslim perlu diberi ruang untuk diperolehi dengan mudah di kedai-kedai serbaneka milik usahawan stesen minyak dan seumpamanya.
Mungkin sudah sampai masanya untuk memperkasakan ekonomi masjid dengan pelbagai program seperti karnival masjid dan koperasi masjid. Usaha sebegini akan terus memberi laluan kepada pemasaran produk usahawan muslim.
Apakah peranan zakat dalam mengkualitikan pembangunan insan?
DR. GHAFARULLAHHUDDIN: Ibadat zakat jelas memberi kesan besar dalam mengkualitikan pembangunan insan.
Perkara pokok ialah zakat merupakan suatu ibadat kepada Allah SWT di mana seseorang yang menunaikan zakat bererti telah menghambakan dirinya kepada Allah SWT, patuh kepadanya di samping mensyukuri nikmat yang diberi oleh Allah SWT kepadanya.
Zakat itu sendiri yang bermaksud bersih dan membersihkan berupaya membangun insan yang bersih batinnya daripada unsur-unsur tercela seperti sifat kedekut, tamak dan sebagainya. Al-Quran dalam surah al-Taubah ayat 103 jelas menyatakan yang maksudnya, Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka.
Malah penerima dana zakat juga dapat membina diri dengan menyingkir sifat tercela seperti hasad dengki kepada orang berharta.
No comments:
Post a Comment