Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
USAHA melahirkan para huffaz adalah fardu kifayah. Ia memerlukan usaha dan azam yang bukan sedikit tetapi pengorbanan yang tinggi serta dilaksanakan dengan istiqamah.
Di sebalik kebanggaan kita memiliki Darul Quran yang dikendalikan di bawah pengawasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), bilangan mereka yang berminat mempelajari bidang tahfiz ini semakin bertambah.
Menyedari hakikat ini, seorang guru, Wan Mohd. Taufit Abu Bakar kini giat mencari dana bagi menampung pembinaan Kompleks Madrasah Tahfiz At-Taufiqqiyah (MTAT) di Kampung Pek, Machang, Kelantan.
Beliau yang juga Pengerusi Tabung Pembangunan Kompleks MTAT berkata, kompleks itu dirancang bagi menyediakan tempat pembelajaran ilmu syariah Islam dan penghafalan al-Quran untuk 350 pelajar lelaki.
Selain itu, kompleks ini juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti keagamaan khususnya kepada masyarakat setempat dan di sekitarnya.
"Matlamat utamanya ialah melahirkan remaja profesional Islam yang hafiz, berilmu dan berkeperibadian mulia serta dapat menyumbangkan kepada kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan negara
"Kos keseluruhan kompleks ini dianggarkan RM8.7 juta. Pembinaan sebuah masjid yang dianggarkan bernilai RM900,000 kini sedang berjalan dan kami sedang mencari sumbangan ikhlas semua pihak untuk menyiapkannya dengan kadar segera," katanya dalam pertemuan dengan MEGA, baru-baru ini.
Keistimewaan MTAT adalah ia bakal menjadi cawangan kepada Darul Mustofa Tareem, Yaman.
Ini bermakna pelajar MTAT yang lulus cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran peringkat diploma di salah satu cawangan Darul Mustofa di Hadramaut sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di kampus Darul Mustofa Yaman.
Mohd. Taufit berkata, persetujuan itu dimeterai di Darul Mustofa, Tareem pada 6 Jun 2008 antara pengerusinya, As-Sheikh Al-Habib Umar Muhammad Hafidz dengan beliau.
Katanya, MTAT juga akan menjadi saluran kepada remaja di Singapura, Malaysia dan Thailand melanjutkan pelajaran di Darul Mustofa.
"Pada masa yang sama, ia menjadi platform bagi lepasan Darul Mustafa mencurahkan tenaga bakti dan dakwah.
"Setakat ini, bilangan mereka dianggarkan 200 orang di seluruh negara," jelasnya yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan, Machang, Kelantan ini.
Kita biasa mendengar mafhum hadis tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini di mana setiap amal sunat digandakan pahalanya menjadi amalan fardu dan yang fardu digandakan sebanyak 70 kali.
Namun, Mohd. Taufit tidak hanya berharap masyarakat memberi sumbangan semata-mata tanpa pihaknya memberi sedikit pulangan sebagai menghargai keikhlasan mereka.
Untuk itu, beliau mencetuskan idea Kempen Menjadi Rakan MTAT. Matlamat utamanya, mencari dana dengan tetap setiap bulan.
Ia boleh dicapai jika mendapat 2,000 orang Islam yang sanggup menjadi Rakan MTAT pada kadar RM50 sebulan.
"Sumbangan boleh dibuat melalui arahan tetap bank kepada akaun MTAT. Daripada jumlah RM50, RM40 adalah untuk ibu bapa dan RM10 untuk diri penyumbang sendiri," jelasnya.
Mohd. Taufit berkata, setiap rakan MTAT akan diberikan Kad Keahlian dan Sijil Sumbangan. Sebagai Rakan MTAT mereka juga akan mendapat beberapa manfaat dari syarikat-syarikat yang menjadi Rakan MTAT.
"Antaranya, harga istimewa untuk Rakan menunaikan umrah dan haji dari Syarikat Zahafiz Travel, melancong ke Yemen dari GOTZ Travel, pembelian barangan berlian yang eksklusif dari Syarikat IMUONE dan beberapa lagi manfaat yang akan diusahakan oleh pengurusan MTAT," tambahnya.
Sumbangan tetap melalui Rakan MTAT kata Mohd. Taufit akan dapat menyelesaikan beberapa masalah pembinaan termasuk kesukaran mendapat syarikat pembinaan yang sanggup menjalan pembinaan dengan cara tersebut.
"Kayu-kayu yang untuk pembinaan juga tidak dapat digunakan seterusnya kerana kekurangan dana. Ini adalah satu pembaziran kepada dana yang terkumpul," jelas beliau.
Sumbangan boleh dibuat dalam bentuk cek, kiriman wang, wang pos atas nama Madrasah Tahfiz At-Taufiqiyyah atau tunai ke akaun bank berikut: BIMB: 03045010010991, Maybank: 553029501766 atau menghubungi Mohd. Taufit di talian 019-9126779 .
No comments:
Post a Comment