Like Blog Ini...

Monday, September 14, 2009

Darul Kifayah sasar 1,000 penghuni

Oleh ZUARIDA MOHYIN

BERCERITA tentang nasib anak yatim di bumi bertuah Malaysia ini, tidak dapat dinafikan, anak yatim kita masih terbela masa depan mereka, sungguhpun masih berlaku kes-kes terlepas pandang. Pun begitu, ia masih dikira kes-kes terpinggir.

Berada di dalam bulan Ramadan dan Syawal khasnya, menyaksikan betapa insan istimewa ini terus menerus mendapat perhatian.

Suasana sebegini hakikatnya tidak asing bagi penghuni Kompleks Darul Kifayah yang kini sudah berpindah dari Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur ke lokasi baru iaitu di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Batu Caves, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun bukan keceriaan sepanjang Ramadan ini yang hendak dibicarakan. Fokus ruangan ini ialah kepada pengisian, pemantapan kerohanian dan seterusnya pembelaan ke atas anak yatim di Kompleks Darul Kifayah inilah yang cuba diketengahkan.
BERSOLAT berjemaah yang diimamkan oleh penghuni sendiri adalah satu tarbiah yang sihat.



Hakikatnya, tegas pengetuanya, Faridilatras Abd. Rahman, harapan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan warga kerja kompleks, ialah menjadikan Kompleks Darul Kifayah role model, sekali gus menepis stigma masyarakat yang berpandangan sinis berkaitan pengurusan rumah anak-anak yatim, yang didakwa tidak mengurus secara profesional.

Lantaran itu, katanya, perpindahan kompleks kira-kira dua tahun lalu, adalah salah satu daripada agenda untuk memperbaiki imej serta bagi menampung jumlah penghuninya yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, di samping memberi keselesaan kepada penghuninya agar dapat menjalani kehidupan dalam suasana yang kondusif dan selamat.

"Sehingga Jun ini, terdapat 490 pelajar lelaki dan perempuan antara usia 11 hingga 17 tahun dari seluruh negara. Penghuni di sini terbahagi kepada beberapa kategori kanak-kanak iaitu; yatim piatu, yatim, miskin dan saudara baru. Bilangan pelajar lelakinya ialah 242 orang, manakala 248 perempuan.

"Ditubuhkan sejak 28 tahun lalu iaitu pada tahun 1981, Kompleks Darul Kifayah disifatkan sebagai antara kompleks rumah anak yatim yang terbesar di negara ini," jelas beliau pada pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini.

Tambah Faridilatras, 29, pada sejarahnya kompleks ini merupakan usaha pembelaan terhadap anak-anak yatim yang dimulakan oleh jawatankuasa kebajikan Masjid al Firdaus yang terletak di Segambut, Kuala Lumpur.

Sebelum kemudiannya, diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk diurus tadbirkan secara lebih profesional.
DI DEWAN utama inilah terpaksa berkongsi perlaksanaan solat berjemaah penghuni lelaki dan perempuan.


MENIKMATI juadah berbuka puasa bersama teman-teman jika tidak memenuhi undangan pihak luar.



Pada satu mesyuarat bertarikh 20 Ogos 1983 kata persetujuan diperoleh untuk menubuhkan Kompleks Darul Kifayah secara rasmi dan berikutan daripada mesyuarat itu juga maka terbentuklah Rumah Perlindungan dan Kebajikan Islam Wilayah Persekutuan melalui Enakmen Syarak 1952 dan kaedah-kaedah Darul Kifayah.

"Pada tahun 1992, asrama Darul Kifayah telah berpindah buat sementara dari Kampung Batu, Jalan Ipoh ke Taman Bukit Anggerik, Cheras bagi membolehkan pembinaan seluruh kompleks baru di Kampung Batu itu dapat dilaksanakan. Ketika itu, penghuni Darul Kifayah hanya seramai 250 orang.

"Peletakan batu asas telah disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP ketika itu, iaitu Datuk Mohd. Yusuf Noor dan setelah siap sepenuhnya, anak-anak yatim kembali menghuni di bangunan baru pada Oktober 1993," jelas beliau.

Kompleks Darul Kifayah di Jalan Ipoh, kemudiannya dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (Sekarang Tun Dr. Mahathir) pada 5 Januari 1996.

Namun sehingga 17 Disember 2007, kata Faridilatras, Kompleks Darul Kifayah telah berpindah pula tempat yang didiami sekarang.

Kini sebagai sebuah asrama yang telah begitu lama memberikan perlindungan dan penjagaan kepada anak-anak yatim dan miskin yang datang dari seluruh pelosok negara, Darul Kifayah ingin berkembang dengan lebih luas lagi.

Ini kerana Darul Kifayah bercadang untuk menampung sehingga 1,000 anak-anak yatim untuk ditempatkan di situ.

Lantaran itu, bagi mencapai matlamat itu dan meningkatkan lagi prasarana supaya penambahan jumlah, ujar Faridilatras, Darul Kifayah sedang dalam proses menaiktaraf kemudahan prasarananya sedia ada.

"Satu pelan cadangan telah diserahkan untuk membina lebih banyak asrama memandangkan kami akan menerima lebih ramai anak-anak dan pembinaan surau kerana buat masa ini solat berjemaah terpaksa dilaksanakan di dewan utama serta membesarkan Dewan Makan di Kompleks itu," katanya ringkas.

Orang ramai mungkin sudah maklum bahawa anak-anak di sini hakikatnya beruntung kerana memperoleh banyak kelebihan dan mungkin tidak dinikmati kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa.
TUBUH sihat melahirkan minda yang sihat... bermain bola adalah satu bentuk riadah kemestian anak-anak di Darul Kifayah.



Apa tidaknya, para penghuni di sini ditanggung sepenuhnya pembiayaan persekolahan yang menyeluruh, kenderaan pengangkutan pergi dan balik sekolah, penyediaan makan dan minum harian, pakaian baru hari raya, bantuan perubatan dan rawatan, kelas tambahan, kelas-kelas Fardu Ain dan al-Quran dan banyak lagi.

"Sungguhpun begitu, aspek pembangunan insan tidak pernah dipinggirkan oleh pihak kami ini selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan generasi Muslim yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.

"Bertitik-tolak dari itulah, maka penghuni-penghuni di sini sentiasa disediakan dengan aktiviti sama ada secara rutin mahupun berkala. Program rutin mereka seperti kelas mengulangkaji, kelas al-Quran dan Fardu Ain, kelas tuisyen, bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat, gotong royong membersihkan bilik dan kawasan asrama, akan diadakan setiap hari dan seminggu sekali.

"Aktiviti berkala seperti majlis sambutan Maulidur Rasul, Ihtifal, Penyediaan Buka Laporan Tahunan, Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Lahir, Kuliah Agama, Karnival Sukan dan banyak lagi semuanya bermatlamat ke arah melahirkan pelajar yang berketerampilan sahsiah Muslim, mempunyai akidah Islam yang kukuh serta mengeratkan silaturahim sesama manusia," ujar Faridilatras mengakhiri perbualan pagi itu.

No comments: