Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my
Insya-Allah, akan tibalah 1 Syawal untuk umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah sebulan berpuasa dalam Ramadan. Sebagai hadiah kemenangan orang Islam dalam perjuangan mengekang hawa nafsu di bulan Ramadan, Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan Aidilfitri di mana Allah SWT menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Hazrat Ibnu Abbas r.a berkata bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadan, satu angin akan bertiup dari bawah Arasy yang dinamakan 'Muthirah'.
"Lalu bergeseranlah daun-daun pokok-pokok syurga dan juga gagang pintu-pintu syurga, maka kedengaran dari yang demikian itu satu bunyian merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu daripada itu sebelumnya. Kemudian muncullah bidadari-bidadari sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka kemudian menyeru, "Adakah sesiapa yang ingin meminang kami supaya Allah SWT mengahwinkannya dengan kami?"
"Kemudian mereka berkata lagi, "Wahai Ridhwan penjaga Syurga! Malam apakah ini?" Dia akan menjawab kepada mereka dengan "Labbaik!" kemudian dia berkata: "Malam ini adalah malam pertama dari bulan Ramadan. Dibukakan pintu-pintu syurga untuk umat Muhammad."
Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, Allah SWT akan berfirman: "Wahai Ridhwan! Bukakanlah pintu-pintu syurga dan wahai Malik tutuplah pintu-pintu neraka bagi mereka yang berpuasa daripada umat Ahmad. Wahai Jibrail! Turunlah ke bumi dan tangkaplah syaitan yang sangat-sangat degil lalu ikatlah mereka supaya mereka tidak dapat merosakkan puasa umat Muhammad kekasih-Ku."
Baginda bersabda lagi: "Allah SWT akan memerintahkan seorang penyeru pada setiap malam dari Ramadan supaya dia menyeru tiga kali, "Adakah sesiapa yang ingin memohon sesuatu supaya Allah mengurniakannya? Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya Allah menerima taubatnya? Adakah sesiapa yang ingin memohon keampunan supaya Allah mengampuninya?
Siapakah yang sanggup memberi hutang kepada si kaya yang tidak mungkin akan miskin, yang akan membayar hutangnya sepenuh-penuhnya tanpa dizalimi."
"Pada waktu berbuka puasa pada setiap hari dari bulan Ramadan, Allah SWT akan membebaskan sejuta jiwa dari neraka yang kesemuanya telah ditentukan untuk memasuki neraka. Apabila tiba hari terakhir dari bulan Ramadan, Allah SWT akan membebaskan pada hari itu sebanyak mana yang Dia telah bebaskan dari awal bulan sehingga ke akhirnya.
"Apabila berlaku Lailatul Qadr, Allah SWT akan memerintahkan Jibrail a.s supaya turun bersama satu kumpulan malaikat. Bersama mereka terdapat bendera hijau. Dia akan memacak bendera itu di atas Kaabah.
Jibrail a.s mempunyai seratus sayap. Di antaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu dia membuka keduanya pada malam itu sehingga kedua-dua sayapnya akan menutup dari timur ke barat.
Kemudian pada malam tersebut Jibrail akan mendorong malaikat-malaikat sehingga mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk, bersolah atau berzikir. Malaikat-malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar. Apabila fajar, Jibrail a.s akan menyeru segala malaikat, "Sekarang berangkatlah!"
Malaikat-malaikat itu pun akan bertanya, "Wahai Jibrail apakah yang Allah SWT telah lakukan terhadap keperluan-keperluan orang-orang beriman dari umat Muhammad SAW?. Dia akan menjawab, "Allah SWT telah memerhatikan mereka pada malam ini lalu telah mengampunkan mereka kecuali empat jenis manusia." Maka kami pun bertanya, "Siapakah mereka ya Rasulullah?" Baginda bersabda, "Lelaki yang berterusan minum arak, dia yang mendurhakai kedua-dua ibu bapanya, dia yang memutuskan silaturrahim dan musyahin."
Kami telah berkata, "Ya Rasulullah! Siapakah itu musyahin?" Baginda SAW menjawab, "Dia adalah orang yang memutuskan perhubungan keluarga."
Apabila tiba malam Hari Raya Aidilfitri - malam itu dinamakan di sisi penduduk langit sebagai Lailatul Jaizah. Pada pagi hari raya itu, Allah SWT menghantar para malaikat ke setiap tempat. Lalu mereka turun ke bumi dan berdiri di muka-muka jalan dan lorong.
Mereka akan menyeru dengan suara yang didengari oleh semua apa yang diciptakan oleh Allah SWT kecuali jin dan manusia. Mereka berkata, "Wahai umat Muhammad! keluarlah kepada Tuhan yang Maha Pemurah yang mengurniakan dengan banyaknya dan memaafkan dosa-dosa besar,"
Apabila mereka tiba di tempat sembahyang raya, Allah SWT akan berkata kepada para malaikat," Apakah balasan bagi seorang pekerja yang telah melakukan kerjanya?" Baginda bersabda, "Para malaikat akan berkata, Wahai Tuhan kami dan Pemilik kami, balasannya ialah disempurnakan ganjarannya."
Lalu Allah SWT berfirman: "Kerana itu, Aku telah menjadikan kami sebagai saksi. Wahai malaikat-Ku! Sesungguhnya Aku telah jadikan balasannya kepada mereka kerana puasa mereka di bulan Ramadan dan berdirinya mereka (beribadat kepada-Ku di dalam Tarawih) ialah keredaan-Ku dan keampunan-Ku!
Allah SWT akan berfirman lagi: "Wahai hamba-hamba-Ku! Pohonlah dari-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan kehebatan-Ku, tidaklah kamu memohon sesuatu pun dari Ku pada hari ini di dalam perhimpunan kamu ini untuk kepentingan akhiratmu kecuali Aku akan menunaikannya dan tidak juga untuk kepentingan duniamu kecuali Aku akan memandang untuk kebaikkanmu. Demi kemuliaan-Ku, Aku akan tutupkan keaiban-keaibanmu selama mana engkau mengambil berat terhadap-Ku. Demi kemuliaan-Ku dan demi kehebatan-Ku, tidaklah Aku akan menghinakan kamu dan tidak juga Aku akan memalukan kamu di kalangan orang-orang yang berdosa (dan orang-orang kafir) kembalilah kamu di dalam keadaan kamu telah diampunkan. Sesungguhnya kamu telah meredakan daku dan Aku juga telah meredakan kamu. Para malaikat pun bergembira dan bersuka ria dengan apa yang Allah telah berikan pada umat ini apabila mereka telah selesai daripada puasa di bulan Ramadan. (Hadis riwayat Baihaqi).
Begitu besar kelebihan Ramadan hingga 1 Syawal untuk menyambut Aidilfitri dan betapa pemurahnya anugerah Allah SWT kepada umat Islam kerana memberi limpahan rahmat yang tidak terhitung oleh kita serta kemurahan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang taat dan sentiasa ikhlas.
Dan sepatutnya umat Islam merayakannya dengan ketakwaan dan keimanan selepas berjaya keluar dari madrasah Ramadan, kerana antara hasil berpuasa yang diharapkan ialah dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Surah al-Baqarah: 183 bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
Justeru, cara meraikan Aidilfitri juga perlu melalui jalan orang-orang yang bertakwa sebagaimana ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.
Ia termasuk menyambutnya mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syarak dan tidak dicampur-baurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan.
Apatah lagi, Aidilfitri sememang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan lain, kerana ia merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan.
Begitupun, sering kali keghairahan perayaan itu menjadikan kita terlupa terhadap adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri.
Bermula dengan malam raya yang mempunyai banyak fadilat atau kelebihan apabila dihidupkan dengan melakukan amal-amal ibadat iaitu di samping mendirikan sembahyang fardu secara berjemaah, perlu diperbanyakkan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan pelbagai amal kebajikan.
Al-Imam Al-Syafie telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya'ban."
Namun apa yang sering berlaku dalam masyarakat kita ialah malam raya disibukkan dengan kerja-kerja menghiasi rumah, memasang langsir atau mengalih perabot semata-mata hingga keletihan lalu terlepas peluang untuk mendapat kelebihan pada malam raya.
Selain berdoa, kemeriahan Aidilfitri akan lebih dizahirkan untuk bertambah dirasai dengan laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ia lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT yang dengannya kita sentiasa mengakui akan kebesaran dan keagungan-Nya melalui pengucapan takbir.
Bahkan ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah di akhir Ramadan dan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.
Oleh itu, disunatkan mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Aidilfitri.
Pada pagi raya pula, disunatkan mandi Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas dan Al-Fakih bin Sa'd r.ahum bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. (Riwayat Ibnu Majah.)
Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang terbaik, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
(Hadits riwayat Al-Syafi'e dan Al-Baghawi).
Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas r.a, beliau berkata:
"Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Ahmad).
Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama Muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain.
Selain itu, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya.
Amalan ini juga sebenarnya termasuk dalam perkara yang digemari dan disyariatkan dalam Islam.
Justeru, untuk amalan ziarah menziarahi, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa menjaga adab dan tertib yang ditetapkan oleh Islam.
Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.
Sementara itu, dalam keghairahan menyambut hari raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan mendirikan sembahyang fardu dan yang paling afdal ialah secara berjemaah di masjid atau surau.
Selain itu, sentiasa menjaga batas-batas dalam pergaulan antara lelaki dan wanita dan kita perlu memastikan zakat fitrah sudah dibayar sebelum sembahyang raya, melayan tetamu dengan baik, berkasih sayang sesama saudara seIslam, bermaaf-maafan, menunjukkan akhlak terpuji dan mengelakkan pembaziran dalam sebarang urusan.
No comments:
Post a Comment