Like Blog Ini...

Friday, September 18, 2009

Akhir Ramadan sebagai pengukur jati diri

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

RAMADAN merupakan bulan yang mulia dan umat Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembersihan jiwa atau kerohanian. Suasana bulan Ramadan yang begitu meriah disambut oleh umat Islam dengan pelbagai program ibadah dan kegiatan kebajikan.

Sembahyang tarawih yang diamalkan setiap malam di surau dan masjid sepatutnya dijadikan simbol perpaduan umat Islam tanpa mengira perbezaan pemahaman politik. Alangkah indahnya konsep berjemaah di masjid-masjid itu dijadikan asas persaudaraan dalam Islam.

Sejauh manakah umat Islam dapat menghayati konsep perpaduan melalui ibadah sembahyang tarawih itu hanya dapat dinilai sendiri oleh setiap individu Islam.

Ramadan dikenali sebagai bulan pengampunan. Dosa-dosa umat Islam terampun jika mereka sentiasa menunaikan sembahyang tarawih dan membersihkan diri dalam bulan ini.

Melakukan ibadah puasa secara ikhlas dan mengikuti peraturannya secara sempurna sudah cukup untuk individu Islam mendapat pengampunan daripada Allah. Dosa-dosa seperti manakah yang diampuni oleh Allah?

Dosa-dosa peribadi berkaitan dengan dosa terhadap Allah seperti tidak menunaikan sembahyang kerana jahil atau kurang keimanan mungkin mudah diampuni oleh Allah.

Dosa-dosa berkaitan dengan manusia seperti memfitnah, menyakiti, mencuri, tidak membayar hutang atau menyalahgunakan kuasa, membohongi rakyat dan memakan wang derma atau zakat yang diperuntukkan kepada orang miskin dan anak-anak yatim tidak akan diampuni oleh Allah selama mana individu tersebut tidak menyerahkan kembali hak-hak rakyat dan orang miskin.

Puasa boleh memberi keinsafan kepada individu Islam bagaimana tersiksanya apabila lapar dan dahaga. Kesan daripada mengamalkan puasa boleh menjadikan umat Islam berfikir betapa kejamnya orang yang mengambil hak orang miskin demi memperkayakan dirinya. Adakah perasaan begini tersemat dalam hati setiap individu Islam?

Apabila suasana begini berlaku maka timbul persoalan sejauh manakah keimanan dan penghayatan umat Islam terhadap ibadah dan penyerahan diri kepada Allah?

Puasa adalah salah satu cara yang paling baik untuk memulihkan jiwa yang kosong, sifat tamak, rakus dan angkuh.

Puasa sepatutnya dijadikan sebagai pengukur hawa nafsu. Jika puasa itu dihayati sepenuhnya maka sikap tamak dan rakus dapat dikurangkan kerana perut yang lapar dan jiwa yang diserahkan kepada Allah.

Perasaan lapar dan dahaga membangkitkan semangat untuk menderma dan prihatin terhadap golongan miskin. Orang yang memiliki hati yang lembut dan diiringi dengan pengalaman lapar dan dahaga mampu mengawal diri.

Allah adalah Maha Pengasih dan Penyayang serta Pendidik manusia. Allah amat memahami sifat dan tingkah laku manusia sering dihasut oleh hawa nafsu. Oleh itu Dia memberi pertunjuk kepada manusia dan melatih mereka bagaimana cara untuk mengawal hawa nafsu.

Puasa merupakan cara melatih manusia supaya menundukkan hawa nafsu, menanamkan sifat simpati dan belas kasihan serta amanah dalam hidup.

Ramadan dipilih sebagai bulan untuk mendidik dan melatih umat Islam mengembalikan fitrah ciptaan manusia iaitu satu makhluk yang begitu akur kepada perintah Allah dan dihormati oleh makhluk Allah yang lain.

Hawa nafsu jika tidak dikawal boleh menyebabkan manusia menjadi buta terhadap kebenaran dan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka tidak pernah merasai puas hati dengan apa yang dimiliki.

Sifat ini boleh mendorong seseorang itu mengemis atau mengambil harta orang lain. Ini merupakan satu sifat yang amat tercela dan dimurkai oleh Allah.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam berkaitan dengan perkara ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang meminta dari harta orang lain untuk menambah kekayaannya sesungguhnya dia meminta bara api neraka! Sama saja dosanya meminta banyak atau sedikit."

Berdasarkan kepada peringatan Rasulullah SAW maka umat Islam jauhilah daripada sifat-sifat keji tersebut. Puasa adalah sebaik-baik cara untuk melatih diri menjadi umat Islam yang gigih dan amanah.

Penulis ialah pensyarah kanan Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments: