Oleh ZULKIFLEE BAKAR
WALAUPUN menjadi kaum minoriti, ia tidak bermakna umat Islam di sesetengah negara yang berada pada kedudukan itu akan ditindas dan dihalang daripada menjalankan ibadah.
Ini dapat disaksikan sempena ibadah puasa yang sedang dijalani oleh umat Islam di seluruh dunia sekarang.
Di THAILAND, masyarakat Islam di selatan negara itu mampu menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah. Walaupun tiga hari sebelum Ramadan menjelma berlaku serangan bom di wilayah itu, namun ia tidak menggugat penduduk.
Sebaliknya serangan bom berkenaan dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam jenayah dan tiada kaitan dengan puak pemisah yang tidak dapat dipastikan sama ada wujud atau tidak.
Bagi penduduk Islam, Ramadan tetap disambut dengan meriah tidak kira di mana pun mereka berada sama ada Pattani, Narathiwat dan Yala.
Penulis sudah melihat sendiri kehidupan mereka dan berasa bangga kerana umat Islam mampu beribadah dengan tenang, biarpun ada sesetengah pihak cuba melakukan provokasi kononnya umat Islam di selatan Thailand ditindas.
Kebanggaan
Kebebasan umat Islam beribadah di negara itu semakin jelas kalau sesiapa mengunjungi Masjid Indonesia di Bangkok yang menjadi tumpuan setiap kali Ramadan.
Walaupun jumlah penduduk Islam adalah tidak lebih 10 peratus daripada keseluruhan penduduk Thailand yang berjumlah 60 juta namun Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Buddha.
Sempena Ramadan, masjid-masjid di Bangkok mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih.
Mengenai Masjid Indonesia pula, ia adalah masjid pertama yang berdiri atas sumbangan warga Indonesia yang menjadi penduduk Thailand.
Masjid ini menjadi kebanggaan bagi masyarakat Indonesia kerana menyimpan dua buah kenang-kenangan berupa jam klasik peninggalan Presiden Sukarno dan Presiden Suharto. Pada bulan puasa ini, masjid tersebut tiap hari menyelenggarakan buka puasa bersama bagi warga Muslim di Thailand.
Turut menjadi tumpuan sepanjang Ramadan ialah Pusat Islam Ramkhaeng yang terletak di Khlong Tan, Bangkok.
Pusat Islam terbesar di Bangkok itu menganjurkan majlis berbuka puasa, solat tarawih dan iktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
Di PERANCIS, perwatakan yang ditunjukkan oleh pemuda Islam di negara itu berubah sama sekali apabila Ramadan.
Menurut satu laporan, biarpun pada hari biasa, mereka minum arak, merokok dan menghisap ganja, tetapi apabila tiba bulan Ramadan semua perbuatan tersebut ditinggalkan.
Seorang aktivis Islam, Rachid Abu Zareaah, di banyak negara Eropah, ramai pemuda Islam Peranchis meninggalkan perbuatan maksiat dan menyatakan perang terhadap perbuatan dosa selama Ramadan.
Rachid berkata, sepanjang Ramadan, pemuda Muslim mengubah perangai buruk mereka.
‘‘Malah apa yang menarik pengedar ganja pun menghentikan perbuatan berkenaan sebaliknya menjual minyak wangi atau barang-barang untuk umat Islam beribadah,’’ kata Rachid.
Pemuda-pemuda Islam juga tidak bercakap kasar, sebaliknya kita akan mendengar mereka berdoa, memuji dan memohon keampunan Allah.
Di REPUBLIK RAKYAT CHINA, kaum Muslimin di negara itu berpuasa dengan penuh ketabahan dan kegembiraan.
Selain berbuka puasa di masjid-masjid, mereka juga solat Subuh berjemaah dan mendengar ceramah agama.
‘‘‘Ini merupakan bulan suci yang sangat penting bagi kami. Bila kami melakukan suatu kebaikan, ia sama dengan 1,000 kebaikan yang dikerjakan di bulan-bulan lainnya,” kata Ma Guoxing (48 tahun), seorang Muslim daripada kelompok etnis Hui,di wilayah Ningxia Hui.
Pada masa ini, China mempunyai sekitar 20 juta penduduk Islam, separuh daripadanya adalah kelompok etnis Hui. Lebih 2.2 juta Muslim dari kelompok etnis Hui tinggal di Ningxia
Sementara itu, lebih 12,000 penduduk Islam di Beijing, yang umum tinggal di Niujie Street menjalankan ibadah puasa tanpa masalah. Begitu juga dengan penduduk Islam di wilayah Gansu, Qinghai dan Xinjiang Uygur.
Abdul‘ahad Kurban, 43, yang tinggal di Xinjiang, Urumqi berkata, dia dan keluarganya selama Ramadan menyiapkan masakan khas untuk berbuka puasa dan sahur. Makanan itu sebahagiannya akan dibahagikan kepada keluarga Muslim lainnya.
‘‘Seperti warga Muslim lainnya di sini, keluarga kami juga membahagikan makanan dengan sahabat-sahabat,” kata Abdul‘ahad.
Bagi Mila, seorang wanita Islam dari kelompok etnis Uzbekistan di Urumqi, Ramadan tahun ini mempunayi makna tersendiri.
‘‘Ini kerana bandar kami sedang memulihkan keadaan berikutan rusuhan yang berlaku bulan lalu yang menyebabkan 197 terbunuh dan lebih 1,600 orang lagi cedera.
Mila berkata, sempena Ramadan, mereka berdoa agar semua pihak bersedia melakukan kebaikan sesama manusia dan hidup penuh muhibbah.
‘‘Saya juga berharap semua etnik di negara ini dapat bersatu untuk saling menghargai antara satu dengan lainnya tanpa prasangka sepanjang masa,’’ katanya.
Apa pun demikian secebis coretan mengenai sambutan Ramadan di beberapa buah negara Islam. Adalah jelas di mana juga umat Islam berada kehadiran Ramadan tetap disambut dengan penuh meriah dan kesyukuran.
No comments:
Post a Comment