Like Blog Ini...

Friday, September 18, 2009

Kerajaan bantu bawa pulang jenazah Noordin Mat Top

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kerajaan akan membantu keluarga Noordin Mat Top membawa pulang jenazah pengganas paling dikehendaki di Indonesia itu ke tanah air setelah selesai segala siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan setakat ini tidak dapat menentukan bila tarikh jenazah itu akan dibawa pulang memandangkan pihak berkuasa republik berkenaan masih perlu melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya secara mutlak.

''Kita akan berbincang dengan pihak keluarga untuk mengenal pasti siapa yang akan menerima dan menguruskan jenazah termasuk pergi ke Indonesia jika perlu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Menteri Bersama Petugas Ops Sikap di Plaza Tol Jalan Duta di sini hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Menteri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing Mersat serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Indonesia, Jen. Bambang Hendarso Danuri yang mengesahkan Noordin mati ditembak dalam operasi polis di Solo, Jawa Tengah awal pagi hari ini.

Pengesahan bahawa mayat itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki itu.

Menurut Hishammuddin, keutamaan lain kerajaan pada masa ini adalah untuk menjaga kebajikan keluarga Noordin yang sudah pasti terjejas dengan kematiannya.

Dalam pada itu, katanya, beliau merasa sedih kerana kerajaan Malaysia tidak dapat membawa Noordin untuk menjalani proses pemulihan bagi mengubah sikapnya seperti yang telah dilakukan terhadap ahli-ahli Jemaah Islamiah (JI) dan militan lain sebelum ini.

''Adalah menyedihkan apabila akhirnya dia menamatkan hidup dengan keadaan seperti ini dan perasaan ini bukan bererti kita mengiakan perkara salah yang dilakukannya sehingga menyebabkan kehilangan banyak nyawa," katanya.

Mengenai kejayaan pihak berkuasa Indonesia mengesahkan mayat pengganas itu dengan pantas, beliau berkata, ia berdasarkan cap jari yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada pihak perisikan republik itu sebelum ini.

''Kerjasama seperti ini perlu terus diutamakan kerana ancaman militan yang merentasi sempadan boleh menjejaskan kestabilan negara dan keselamatan rakyat yang tidak berdosa," katanya.

No comments: