Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SEPERTI yang dimaklumi, al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan al-Mubarak. Sebahagian ulama berpendapat ia diturunkan pada 17 Ramadan di Gua Hira'.
Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: "Dalam beberapa hadis diterangkan bahawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Gua Hira' dan beribadat di tempat itu selama beberapa malam. Kemudian Baginda pulang ke rumah isterinya, Khadijah dan Baginda dibekalkan dengan bekalan yang cukup sehinggalah ke saat Baginda diturunkan wahyu.
Semasa Baginda berada di Gua Hira', malaikat Jibril a.s datang lalu berkata kepadanya: "Bacalah!". Lantas jawab Baginda: "Aku tidak tahu membaca."
Lalu Jibril a.s memegang Baginda dan memeluknya dengan erat sehingga Nabi berasa sukar bernafas. Kemudian Jibril melepaskan Baginda lalu berkata: "Bacalah!". Jawab Baginda lagi: "Aku tidak tahu membaca."
Jibril memegangnya lagi dan memeluknya hingga Baginda sekali lagi sukar bernafas. Lalu Jibril a.s membaca firman Allah SWT yang bermaksud:
"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Para perawi-perawi hadis menambah: Baginda segera kembali ke rumah dalam keadaan gementar ketakutan sambil bersabda: "Selimutlah aku! Selimutlah aku!". Baginda kemudiannya diselimutkan oleh Khadijah sehingga hilang rasa gementarnya.
Kemudian Baginda menceritakan segala yang berlaku kepada Khadijah, lalu bersabda: "Aku rasa bimbang akan diri sendiri".
Kata Khadijah untuk menyenangkan hati Rasulullah SAW: "Janganlah bersusah hati. Demi Allah! Allah tidak akan mengabaikan dirimu selamanya kerana dirimu selalu menjalinkan hubungan silaturrahim, tutur katamu jujur, suka memikul beban orang lain, menjamu tetamu dan membela kebenaran."
Kemudian Khadijah membawa Baginda ke rumah Waraqah Ibn Nawfal Ibn 'Asad bin Abdul 'Uzza iaitu sepupunya. Waraqah telah memeluk agama Nasrani sejak zaman jahiliah dan beliau banyak menulis dalam bahasa Arab dan telah menyalin kitab Injil ke bahasa Ibrani. Beliau menjadi buta setelah usia menginjak tua.
Kata Khadijah kepadanya: "Wahai sepupuku, dengarlah apa yang diceritakan oleh anak saudaramu ini."
Jawab Waraqah: "Apakah yang terjadi, wahai anak saudaraku?"
Rasulullah SAW terus menceritakan apa yang telah dilihatnya. Sahut Waraqah: "Itu adalah Namus yang turun kepada Nabi Isa a.s. Alangkah baiknya kalau aku masih muda dan masih hidup sewaktu kamu diusir oleh kaummu nanti."
Lantas Rasulullah SAW bertanya: "Apakah kaumku akan mengusirku?". Jawab Waraqah: "Ya! Tidak seorang pun yang membawa apa yang kamu bawa ini tidak dimusuhi. Jika aku masih hidup pada ketika itu, pasti aku akan menolongmu dengan sekuat tenagaku."
Tidak lama kemudian, Waraqah meninggal dunia. - Hadis riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim).
Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam Fiqh Sirah berkata, hadis permulaan penurunan wahyu itu merupakan masa utama yang memberi implikasi terhadap seluruh hakikat dan de facto akidah dan syariah Islamiah, memahami serta mempercayai dengan penuh yakin.
Ia merupakan titik permulaan dan pengenalan yang semestinya ke arah mempercayai segala apa yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Antaranya, perkhabaran ghaib dan suruhan syariat lantaran hakikat wahyu itu adalah jenis yang tunggal yang memisahkan di antara manusia yang berfikir dengan otak pemikiran yang bersifat serba kemanusiaan dengan manusia yang menyampaikan segala sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhannya tanpa menukar, menokok tambah dan sebagainya."
Tokoh terkenal, Fadhilatu Sheikh Muhammad Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti pula menjelaskan, pelukan Jibril kepada Nabi SAW beberapa kali dan disuruh membaca, kemudian pelukan selepas itu bertambah kuat sebagai bukti dan dalil bahawa proses mendapat ilmu memerlukan mujahadah, kesabaran dan kesungguhan. Ini kerana sifatnya yang amat sukar untuk diperoleh di samping memerlukan pengorbanan yang besar."
Sementara itu, Sheikh Muhammad Abduh pula berkata, perintah membaca itu bukan sebagai beban tugas yang harus dilaksanakan sehingga menuntut satu-satu objek tetapi ia adalah perintah takwini yang mewujudkan kemampuan membaca secara umum.
Di sini jelas menunjukkan, kata iqra' digunakan dalam erti dan maksud membaca, mentelaah, menyampaikan dan sebagainya dan kerana objeknya bersifat umum, maka objek kata tersebut mencakupi segala yang dapat terjangkau sama ada bacaan suci bersumberkan Ilahi atau dari yang lain.
Begitu juga, berkenaan dengan ayat yang tertulis atau sebaliknya.
Walhasil, perintah iqra' , mencakupi mentelaah terhadap alam buana, masyarakat dan diri sendiri serta bacaan tertulis baik yang suci ataupun yang lainnya.
Sheikh al-Azhar iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya al-Quran fi Syarhi al-Quran menjelaskan, dengan kalimat iqra' bismi rabbik, al-Quran tidak sekadar memerintahkan untuk membaca, tetapi membaca adalah lambang dari segala apa yang dilakukan oleh manusia, baik yang sifatnya aktif mahupun pasif."
Kalimat tersebut dalam pengertian dan semangatnya ingin menyatakan "Bacalah demi Tuhanmu, bergeraklah demi Tuhanmu, bekerjalah demi Tuhanmu".
Demikian juga apabila anda berhenti bergerak atau berhenti melakukan sesuatu aktiviti, maka hendaklah hal tersebut juga didasarkan kepada bismi rabbik sehingga pada akhirnya ayat tersebut bererti: "Jadikanlah seluruh kehidupanmu, wujudmu, dalam cara dan tujuannya, kesemuanya demi kerana Allah SWT".
Menurut Sheikh al-Maraghi, perintah membaca itu diulang-ulang kerana membaca hanya dapat dicapai oleh seseorang dengan mengulang-ulang dan dibiasakan. Ulangan perintah ini menunjukkan perlunya apa yang dibaca itu diulangi berkali-kali.
"Jadi membaca menjadi bakat Nabi Muhammad SAW. Ayat ini menerangkan keutamaan membaca, menulis dan kepentingan ilmu pengetahuan."
Menurut Sheikh al-Maraghi lagi, dijadikan qalam sebagai alat yang dapat memberi kefahaman kepada sesama manusia meskipun berjauhan, sebagaimana memahamkan mereka dengan perantaraan lisan."
Qalam adalah benda yang tidak berjiwa dan tidak mempunyai kekuatan untuk memberikan pengertian.
Oleh sebab itu, apakah ada kesulitan bagi Tuhan yang membuat benda mati lagi diam menjadi alat untuk memberi pengertian dan penjelasan dan menjadikan kamu orang yang boleh membaca, menjelaskan serta mengajar kerana kamu telah menjadi manusia yang sempurna?
Sesungguhnya tanpa qalam, ilmu pengetahuan tidak akan terpelihara. Agama-agama akan hilang lenyap dan generasi kemudian tidak dapat mengenal generasi dahulu.
Aspek ilmu pengetahuan, penemuan-penemuan, kemahiran-kemahiran, sejarah baik buruk umat dahulu kala tidak akan tercatat. Pengetahuan mereka tidak akan menjadi penunjuk jalan kepada umat terkemudian untuk terus maju dalam bidang rekaan dan ciptaan.
Semoga semangat Nuzul al-Quran ini menjadikan kita golongan yang prihatin kepada ilmu dan minat membaca untuk mencapai seterusnya menjadi hamba-Nya yang benarbenar bertakwa. Amin
PENULIS ialah Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan
No comments:
Post a Comment