Oleh MERAN ABU BAKAR
MEMPUNYAI pendapatan tetap sebagai juruteknik di bahagian pembangunan dan kajian Power Train, Proton selama 17 tahun belum dapat memberi kepuasan kepada Waiz Kashifi Abdul Rauf, 34 tahun.
Jiwa lelaki ini nampaknya lebih cenderung ke arah pertanian, mendorongnya berhenti kerja.
Namun demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang automotif tidak dipersia-siakan apabila dia membawa ilmu tersebut ke dalam bidang pertanian.
''Dengan penggunaan teknologi seperti yang terdapat dalam sistem automotif, bdang pertanian dapat dipertingkatkan,'' katanya bersemangat semasa ditemui di kebun kajiannya di Tabika Kemas, Seksyen 17, Shah Alam yang dijadikannya tempat latihan para belia dalam bidang pertanian.
Waiz Kashifi yang mengakui mempunyai sedikit pengetahuan dalam asas pertanian ketika itu sanggup mencuri masa mempelajari tentang pertanian ketika dihantar berkursus di luar negara oleh syarikatnya bekerja waktu itu.
''Apabila dihantar bertugas di luar negara seperti Australia, Sweden dan sebagainya, saya akan mengambil cuti untuk melawat ladang-ladang pertanian di sana.
''Saya tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan dan ingin mempelajari agar disesuaikan dengan negara kita,'' katanya yang pernah ke Jepun pada 2004 untuk mempelajari bidang biologi.
Di kebun, kajian ini yang hanya sebesar sekangkang kera atau pun sebesar kawasan tepi rumah teres biasa, Waiz Kashifi dilihat sibuk mengajar seramai kira-kira 20 orang belia daripada seluruh negara mengenai kaedah penanaman yang dapat memberikan hasil yang di luar jangkaan.
Lebih menarik ialah melihat sepohon pokok cili merah yang setinggi 12 kaki dan menjulang tingginya.
Pokok cili yang lebat berbuah ini menjadi tarikan sesiapa sahaja yang ke situ. Jika ingin memetik buahnya, terpaksalah anda berdiri di atas kerusi.
Selain cili tinggi itu, terdapat banyak lagi tanaman seperti cili api, rock melon, tomato, kobis, peria, limau nipis, limau kasturi, mangga, cili benggala dan pokok sayur kambas yang telah berusia lapan bulan namun masih berbuah lebat.
Menurutnya lagi, di kebun itu, belia yang datang belajar di situ akan diajar cara membuat baja, penggunaan enzim, penguraian mikro, kaedah tanaman cara sihat dan sebagainya.
''Pada masa ini terdapat seramai 60 orang pelajar daripada sekitar Selangor yang belajar di sini. Selain belia, ramai juga warga emas yang belajar di sini.
''Di sini kami mengamalkan sikap hak bersama yang mana masalah akan dikongsi bersama. Contohnya ladang adalah milik belia sementara saya mengajar mereka daripada segi teknikal.
''Selain itu adalah penting mempelajari keperluan pokok dan kita yang menanam boleh menentukan atau merancang hasil yang diingini seperti sebatang pokok cili boleh berbuah sehingga empat kilogram. Sebab itu di sini ada pokok paling tinggi dan paling rendah kerana kita boleh menentukannya.
''Di sini juga saya merawat pokok-pokok sakit yang dihantar oleh pelanggan seperti pokok anggur, cili dan sebagainya. Setelah pokok-pokok itu subur, pemiliknya akan datang mengambilnya semula,'' katanya yang banyak mendapat jemputan mengajar di seluruh negara termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam.
Katanya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk membantu belia dalam bidang pertanian agar mereka memperoleh pendapatan lumayan.
Cuma apa yang diharapkan agar usaha mereka ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan.
No comments:
Post a Comment