Like Blog Ini...

Friday, September 18, 2009

Infak Ramadan PTS

Oleh MOHD. ROSLAN MD. ISA
celan82@gmail.com

DAN (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. (al-Baqarah: 83)

Allah mengurniakan ganjaran yang hebat dan berbaloi kepada hambanya yang membelanjakan harta pada jalan Allah. Sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji adalah perumpamaan perbelanjaan yang diperuntukkan pada jalan Allah.

Infak Ramadan oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (PTS) memperuntukkan hampir RM12,000 bagi membantu rumah anak yatim, rumah orang tua, golongan orang kurang upaya dan miskin termasuk bukan Islam sejak dianjurkan pada 2008. Dalam tempoh itu juga, pelbagai pihak mendapat hak mereka dan PTS berbesar hati melaksanakan tanggungjawab sosial korporat itu.

Tahun ini, kelab sukan PTS yang terdiri daripada kumpulan Win Win, CG, BOOM, dan CAKCIBO memulakan misi masing masing dengan memilih pelbagai program bagi berbakti kepada masyarakat.

Masing-masing giat mendapatkan tajaan kewangan dan material tambahan. Antara penaja yang terlibat adalah Giant Batu Caves, Mydin Jalan TAR, penulis dan individu yang prihatin.

Antara rumah kebajikan dan perlindungan yang terpilih tahun ini adalah, Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor. Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa, Kuala Lumpur, Rumah Fakir dan Miskin sekitar Selayang Baru dan Rumah Anak Yatim Danau Kota.

Pelbagai aktiviti dianjurkan oleh setiap ahli kelab seperti menghantar bantuan ke rumah fakir dan miskin, membeli baju raya untuk anak yatim, berbuka puasa bersama anak yatim dan menghias rumah anak yatim serta memberi duit raya. Masing-masing menyimpan pelbagai kenangan dalam usaha meningkatkan KPI bulan puasa.

Program itu memberi peluang kepada syarikat korporat atau organisasi perniagaan memaparkan kegiatan kebajikan mereka kepada golongan memerlukan bantuan dan pembelaan.

No comments: