Like Blog Ini...

Friday, September 18, 2009

Masjid An-Nur rai anak yatim

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


HADIS di atas adalah simbolik menunjukkan betapa banyak peluang kepada kita melakukan ibadat dan menggandakan pahala pada bulan Ramadan al-mubarak.

Sepanjang bulan Ramadan, selain menunaikan ibadat solat sunat tarawih dan bertadarus orang mukmin juga sentiasa menunggu malam al-qadr yang menjanjikan pahala 1,000 bulan.

Peluang ini tidak dilepaskan oleh Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor. Selepas dinaik taraf sebagai masjid pada 1 Mei lalu, masjid ini terus diimarahkan dengan pelbagai program keagamaan.

Baru-baru ini diadakan majlis khatam al-Quran dan meraikan anak-anak yatim sekitar kawasan Saujana Utama.

Menurut Nazir Masjid An-Nur, Harun Abd. Rahman, seramai 24 anak yatim diraikan pada majlis tersebut.

Katanya, mereka turut menerima duit raya hasil sumbangan penduduk kariah bagi memeriahkan lagi sambutan aidilfitri

“Majlis khatam al-Quran itu pula disertai oleh 20 jemaah yang berjaya menamatkan bacaan pada 9 September lalu,” katanya kepada MEGA dalam pertemuan baru-baru ini.

Hadir sama ialah Timbalan Nazir, Mohamed Azlan Mohamad Amin dan Imam I, Mohd. Yusof Abdullah.

Siangnya pihak masjid turut memasak dua periuk bubur lambuk untuk diedarkan kepada penduduk setempat.

Program itu turut meraikan para petugas masjid yang bertungkus-lumus memastikan segala yang dirancang berjalan lancar.

Sepanjang Ramadan, diadakan majlis berbuka puasa setiap hari, solat tarawih, tadarus al-Quran, moreh, kaunter zakat fitrah dan berbuka puasa bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Zulkifli Ahmad.

Pada 10 malam terakhir Ramadan, kata Harun, masjid dibuka mulai pukul 3.30 pagi bagi memberi peluang para jemaah beriktikaf dan berqiamullail.

“Alhamdulillah, sambutan para jemaah menggalakkan. Malah pada malam-malam tertentu turut diadakan tazkirah selepas solat tarawih,” jelas beliau.

Sementara itu, Harun berkata, pihak masjid sedang berusaha mengumpul dana untuk kerja-kerja menaik taraf.

Ia termasuk untuk pembinaan tandas baru, meluaskan ruang solat masjid dan membina bangunan dua tingkat sebagai pejabat dan kelas pengajian.

“Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya di talian 019-3320076,” katanya.

No comments: