Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
(nisa.sulaiman@utusan.com.my)
PERMINTAAN daging lembu dan kambing yang semakin bertambah sementelah dengan musim perayaan yang semakin hampir.
Selama ini negara amat bergantung dengan bekalan daging daripada luar negara seperti Australia, New Zealand, Brazil, China serta India.
Industri ternakan daging bernilai RM1.6 bilion dan negara mengimport sejumlah RM1.1 bilion bagi memenuhi keperluan penduduk.
Biasanya hotel-hotel memerlukan daging premier sebagai hidangan terutama bagi masakan Barat.
Kini impian kerajaan menjadi sebuah negara yang boleh membekalkan makanan sendiri terutama daging bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Sebuah syarikat tempatan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd (NFC) sedang mengorak langkah ke arah mengeluarkan produk berasaskan daging bermula dari ladang hingga ke hidangan tanpa mengeluarkan bahan buangan sampingan.
Pengarah Eksekutifnya, Izzana Salleh berkata, NFC telah memulakan operasinya pada 2008.
Operasi bermula di ladang NFC dengan keluasan 1,500 ekar di Gemas, Negeri Sembilan dengan pengambilan pertama lembu jenis Brahman dari Australia.
"Di sini kami menjalankan dua jenis aktiviti ternakan iaitu fidlot untuk penggemukkan dan pembiakbakaan bagi mendapatkan baka yang terbaik.
"Bagi fidlot, buat masa ini bagi fasa pertama ladang di sini boleh menempatkan 6,000 ekor lembu pada satu-satu masa.
"Apabila siap nanti semua empat fasa, ladang NFC boleh menempatkan 24,000 lembu pada satu-satu masa dalam fidlot," katanya semasa sesi lawatan MEGA ke ladang NFC di Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Bagi fasa pertama kawasan lembu fidlot terdapat 48 kandang dengan setiap satu boleh menempatkan 125 ekor.
"Setiap kandang menempatkan saiz dan berat lembu yang berbeza bagi mengurangkan risiko stres dan kematian akibat berhimpit-himpit," katanya.
Cabaran
Cabaran paling besar bagi NFC adalah mengekalkan kos pemakanan yang rendah serta formulasi pemakanan lembu bagi tujuan penggemukkan di fidlot.
"Kekuatan kami adalah kebolehan menformulasikan makanan ternakan secara efektif agar kos pemakanan ternakan sentiasa rendah," katanya.
Bagi memberikan makanan yang bernutrisi, sesuai bagi peringkat usia pihak NFC menjalinkan kerjasama dengan pakar nutrisi dari Australia yang akan melawat ladang dan menganalisis makanan setiap dua bulan.
Izzana berkata, bagi mendapatkan formulasi terbaik bagi ternakan, NFC sentiasa menjalankan analisis penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi makanan ternakan.
"Kami sentiasa mencari jalan yang terbaik mengurangkan kos tanpa berkompromi dengan nutrisi.
"Jalan terbaik adalah menghasilkan makanan sendiri dengan menanam rumput Napier serta tanaman lain seperti jagung," katanya.
Bagi menjamin makanan ternakan secara berterusan, NFC mempunyai gudang makanan ternakannya sendiri bagi menyimpan stok seperti Vitamin, molases dan hampas isirung kelapa sawit atau palm kernel cake (PKC).
"Boleh dikatakan ini merupakan gudang makanan ternakan paling besar bagi industri ternakan di negara ini.
"Dan bagi memastikan makanan yang diberikan berkualiti tinggi, kami membancuh dengan formula sendiri," katanya.
Lembu fidlot biasanya dibawa masuk ketika berat badan 300 kilogram (kg) dan dipelihara sehingga beratnya mencapai antara 450 hingga 500 kg.
Biasanya dengan makanan yang sesuai, berat badan lembu akan bertambah antara 1.5 hingga 1.7 kg sehari.
Kebiasaannya lembu fidlot di sini disembelih apabila mencapai berat 450 hingga 510 kg dengan bantuan nutrisi yang sesuai.
"Biasanya ia mengambil masa 100 hingga 120 hari bermula daripada lembu masuk ke ladang sehingga disembelih," katanya.
Bagaimanapun terdapat lembu fidlot yang mencapai berat sehingga 800 kg bagi pasaran khusus seperti bagi restoran MeatWorks.
Bagi menjaga kebersihan dan kesihatan lembu, kandang akan dibersihkan setiap hari dan sisa buangan lembu akan dikumpulkan dan diproses bagi merawat tanah di ladang.
Hasilnya tanah yang dirawat telah menghasilkan kawasan yang subur dan sesuai untuk tanaman jagung dan sayuran seperti cili, tomato, kacang panjang dan bayam.
Izzana menambah, semua hasil buangan ternakan tidak dibuang tetapi disimpan di dalam dua buah kolam satu untuk sisa pepejal dan satu lagi untuk sisa cecair.
Sisa pepejal digunakan selepas membajak tanah manakala sisa cecair pula semasa pengairan dan siraman.
Bagaimanapun NFC sedang merancang mengeluarkan biogas sendiri bagi menjana elektrik di ladangnya.
"Selepas semua fasa siap nanti, kami akan mempunyai sumber sisa buangan dari ladang dan rumah sembelihan yang mencukupi bagi menjana biogas," katanya.
Bagaimanapun tidak lengkap sebuah industri ternakan tanpa pembiakbakaan dan NFC juga terlibat dalam pembiakbakaan.
Biarpun masih di peringkat awal, NFC telah membawa baka-baka terbaik dari Australia untuk tujuan pembiakbakaan.
Bagi tujuan pembiakbakaan lembu dibiarkan lepas bebas di dalam tiga paddock berpagar dengan setiap satu boleh menempatkan 30 hingga 50 ekor lembu pada satu-satu masa.
"Buat masa ini terdapat 175 ekor lembu betina dan empat ekor lembu jantan dengan 100 ekor anak lembu dilahirkan di Gemas," katanya.
Lembu bermutu
Kini NFC bukan hanya mempunyai lembu Brahman tetapi juga Shorthorn, Draughtmaster dan Wagyu yang bermutu tinggi.
NFC boleh dikatakan ladang ternakan pertama di negara ini yang mempunyai 21 ekor baka Wagyu dengan 20 betina dan seekor jantan serta lapan ekor anak.
"Di masa akan datang apabila bilangan lembu mencukupi, kami akan menjalankan kajian mengenai permanian beradas bagi tujuan pembiakbakaan," katanya.
Ladang NFC boleh dikatakan serba lengkap dengan rumah sembelihan sehingga kepada pemprosesan produk akhir.
Malah lembu yang dibawa ke tempat penyembelihan akan dijaga supaya tidak stres agar dagingnya lebih lembut dan tidak liat.
"Perjalanan ke rumah sembelih direka khas sehingga lembu tidak melihat lembu lain disembelih atau boleh menghidu bau darah.
"Jika ini berlaku, lembu akan menjadi stres dan menyebabkan dagingnya liat dan tidak sedap untuk dimakan," katanya.
Apa yang menarik rumah sembelihan NFC telah menerima pengiktirafan Halal dan dilengkapi dengan segala kemudahan canggih bagi memudahkan tugas sembelihan.
Bagi satu-satu masa 200 ekor lembu boleh disembelih di sini selang sehari tetapi menjelang musim perayaan NFC boleh menyembelih 200 ekor lembu sehari.
Bagaimanapun proses di dalam rumah sembelih seperti potongan daging, NFC mendapat sentuhan Pengurus Abattoir, Glenn Storer, seorang warga Australia yang berpengalaman lebih 40 tahun.
Lembu yang telah disembelih akan terus dilapah kulit dan kemudia disimpan di dalam chiller (sejuk tanpa beku) sebelum proses mengeluarkan tulang.
Selepas itu potongan primer dan sub primer akan dilakukan seperti bahagian tenderloin, blade dan knuckle.
Setiap potongan, penyimpanan dan pembungkusan akan mengambil kira sasaran pelanggan seperti di mana ia akan dipasarkan.
Biasanya daging yang telah disiap dibungkus secara hampagas akan dicelup di dalam air panas pada suhu 80 darjah Celsius bagi mengekalkan kesegaran daging.
Misalnya pelanggan seperti Cold Storage dan Jaya Jusco mahukan 'fresh or aged meat' sementara pelanggan biasa berminat dengan daging sejuk beku.
Mengggunakan jenama Gemas Gold, NFC memasarkan produknya di pasar basah di mana pelanggan boleh mendapatkan produk daging yang berkualiti tinggi dan mampu dibeli oleh semua golongan masyarakat.
Bagaimanapun tidak lengkap industri ternakan tanpa produk tambah nilai dan NFC sedang merancang mengeluarkan produk hiliran daging penghujung tahun ini.
"Sekarang kilang memproses makanan berasaskan daging telah siap dan dijangka memasuki pasaran akhir tahun ini.
"Dijangka NFC akan memenuhi 20 peratus permintaan daging lembu apabila beroperasi penuh menjelang 2015," katanya.
Buat masa ini, NFC sedang memproses daging bagi acara Mantai Perdana menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada 17 dan 18 September ini.
Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai NFC boleh melayari laman web www.nfc.com.my atau menghantar e-mel ke sales@nfc.com.my atau telefon ke 03-620 40398 atau faks ke 03-6204 3099.
No comments:
Post a Comment