Oleh ZUARIDA MOHYIN
DARIPADA Abdullah bin Umar r.a., Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang berusaha untuk menunaikan hajat saudaranya, sesungguhnya Allah akan menunaikan hajatnya juga. Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan yang menimpa seorang Muslim, Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan di hari Kiamat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di hari Kiamat. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Sudah pastinya hadis di atas menyimpan semacam kata semangat serta jaminan kepada seluruh umat Islam untuk sentiasa melakukan kebaikan di atas muka bumi, apatah lagi perlakuan baik terhadap insan sesama Islam itu, berkait rapat dengan soal keimanan diri seseorang.
Sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri.
Lantaran itu, Jabatan Perhubungan Awam telah menganjurkan program khidmat masyarakat di Rumah Titian Kasih (RTK) di Lorong Maran, Jalan Kuantan, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 12 Ogos lalu. Ia juga bersempena dengan kedatangan Ramadan al-Mubarak.
Meskipun hujung turun pada pagi itu tetapi ia tidak mencairkan semangat seramai 40 kakitangan dari jabatan-jabatan di bawah Pejabat Reaktor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk meneruskan usaha murni mereka itu.
Menurut Penolong Pengarah Kanan, Pusat Perkhidmatan Awam UIAM, Zurina Abdul Ghani, program sehari itu adalah aktiviti pertama tahun itu dan keempat sejak dimulakan kira-kira empat tahun lalu.
Sebelum ini, mereka pernah menjayakan program khidmat masyarakat yang serupa di Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), Cheras dan Pusat Jagaan Nurul Qanaah di Greenwood.
"Dalam program ini, kakitangan yang terlibat bukan sahaja menyumbang tenaga dalam kerja-kerja pembersihan dua rumah yang di bawah kendalian RTK tetapi turut mengecat, membaikpulih sistem pendawaian dan banyak lagi.
"Di samping itu, pihak UIAM turut membawa barangan keperluan harian yang lain seperti susu, lampin pakai buang, kelengkapan dandanan diri, perkakas dapur, kerusi meja untuk belajar, pinggan dan mangkuk," terang Zurina yang ditemui pada sebelah tengah harinya.
Tambah beliau, kebiasaannya pihaknya akan berziarah ke sesuatu lokasi yang dipilih sebulan lebih awal sebelum dari tarikh yang ditetapkan.
Katanya lagi, kunjungan tersebut adalah perlu bagi membincangkan lebih lanjut bentuk keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh para penghuni RTK.
Sementara itu, Sharipah Adlan atau lebih mesra dengan panggilan Mak Pah yang bertanggungjawab menguruskan RTK amat berterima kasih kepada rombongan UIAM kerana kesudian mereka menghulurkan bantuan, lebih-lebih lagi penghuni RTK adalah terdiri daripada ibu tunggal, anak-anak yatim, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
No comments:
Post a Comment