Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
APABILA bercakap mengenai kehidupan saudara seIslam yang mengalami kesusahan di luar negara, ramai yang membayangkan keperitan hidup rakyat di negara bergolak seperti Palestin, Somalia dan Bosnia.
Benar, hidup rakyat di negara tersebut diibarat nyawa berada dihujung tanduk akibat dilanda krisis kebuluran disebabkan peperangan serta cuaca gersang berpanjangan sejak beberapa dekad lalu.
Namun, ramai yang belum menyedari masih banyak negara yang didiami oleh sejumlah umat Islam masih mundur dan mengharapkan bantuan dan ihsan daripada masyarakat dari serata dunia. Antaranya adalah Kemboja.
Persoalannya, apakah sumbangan kita selaku saudara seIslam terhadap situasi yang berlaku kepada kumpulan yang tidak bernasib baik ini? Adakah sekadar menjadikan topik perbualan kosong di warung kopi tanpa sebarang tindakan?
Jawapannya terletak dalam diri individu sendiri. Perkembangan hari ini membuka ruang yang luas kepada sebarang individu ataupun organisasi untuk melakukan jariah melalui pelbagai kaedah serta program diperkenalkan.
Bagaimanapun, hanya menanti tindakan daripada kita sama ada untuk menyahut seruan tersebut atau sebaliknya.
Berpeluang mengikuti rombongan misi kemanusiaan anjuran Akademi Imam Syafie (AIS) ke Kemboja baru-baru ini membuka mata peserta terhadap keperitan hidup yang dialami oleh saudara seIslam di negara yang sedang membangun itu sehingga ingin menitis air mata.
Apa tidaknya, perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam dari pekan Kampot menuju ke Kampung Malekkul dan beberapa kampung lain dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda hanya melalui jalan tanah merah sebagai laluan utama.
Boleh dikatakan hampir tiada satu binaan mewah kelihatan di sepanjang perjalanan. Hanya kediaman yang beratapkan daun nipah dengan berdindingkan daun pisang dijadikan tempat berteduh masyarakat di kawasan tersebut.
Lebih menyedihkan, hampir langsung tidak kelihatan penduduk yang mempunyai tubuh berisi apatah lagi berbadan gemuk.
Ia jelas menggambarkan kesempitan yang ditanggung oleh penduduk di kampung tersebut membanting tulang empat kerat untuk meneruskan kehidupan harian.
Pekerjaan utama mereka adalah bertani dan menternak menjadi sumber pendapatan. Lebihan hasil pertanian tersebut seperti padi dijadikan sumber makanan utama mereka.
Bagi mereka haiwan ternakan merupakan aset utama mereka dalam memperoleh pendapatan sehingga sanggup mengikat perut daripada memakan haiwan ternakan tersebut.
Rahmat Allah
Kehadiran rombongan AIS ke beberapa kampung di wilayah Kampot bagaikan rahmat kurniaan daripada Allah SWT yang tidak terhingga bagi penduduk di kampung tersebut. Rombongan disambut dengan salam dan senyuman kegembiraan yang tidak dapat digambarkan.
Seramai 15 peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa AIS dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyertai misi bantuan pendidikan dan kemanusiaan di Kemboja selama tiga hari itu.
Ketua misi bantuan, Mohd. Zamerey Abdul Razak berkata, melihat kepada keadaan rakyat Islam di Kemboja yang hidup dalam keadaan serba serbi kekurangan dan kedaifan, pihaknya mengambil langkah menubuhkan AIS iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab mengumpul dana dan menyalurkan kepada umat Islam fakir di Kemboja.
Beliau yang juga Naib Presiden dan Ketua Jabatan Syariah Asian Finance Bank (AFB), berkata, pihaknya memilih wilayah Kampot sebagai lokasi bantuan utama setelah menjalankan kajian terhadap majoriti serta keperluan masyarakat Islam di negara itu.
"Selepas mengenalpasti latar belakang masyarakat Islam di negara ini, kita mengambil keputusan memfokuskan saluran bantuan di Wilayah Kampot.
"Ini kerana Kampot merupakan wilayah kedua terbesar yang didiami oleh masyarakat Islam di Kemboja.
"Oleh itu, kita mengambil pendekatan mewujudkan satu organisasi yang memainkan peranan untuk mengutip dana dan menyalurkan bantuan tersebut kepada masyarakat Islam di Kemboja," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Masjid Abu Bakar As-Siddiq Kampung Tedap, Kampot baru-baru ini.
Masjid perasmian disempurnakan oleh ahli penasihat Perdana Menteri Kemboja, Som Chen.
Som Chen turut menyampaikan pingat penghargaan kepada Zamerey kerana banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat Islam di Kemboja.
Sebanyak RM50,000 diperuntukkan untuk membina masjid tersebut yang mampu memuatkan kira-kira 300 jemaah dalam satu masa.
Masjid tersebut dibina bersebelahan masjid sedia ada bagi menggantikan masjid tersebut yang terlalu usang dan kelihatan tidak lagi sesuai untuk dijadikan rumah beribadat.
Bagaimanapun, binaan masjid asal masih dikekalkan dan akan dijadikan pusat pengajian dan kelas agama kepada penduduk di kawasan tersebut.
Meringankan bebanan
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa ketua Kampung Tedap, Umar Yahaya, 62, berkata, beliau mewakili penduduk kampung meluahkan rasa berbesar hati yang tidak terhingga kepada delegasi misi bantuan dari Malaysia terutama AIS kerana prihatin terhadap nasib yang melanda masyarakat Islam di negara itu.
"Kami sangat mengharapkan ehsan daripada saudara Islam dari seluruh dunia untuk menghulurkan bantuan kepada kami.
"Melalui bantuan ini dapat membantu meringankan bebanan yang dihadapi penduduk dan meningkatkan modal insan masyarakat Islam khususnya di kampung ini.
"Dengan terbinanya masjid Abu Bakar AS-Siqqid ini, penduduk dapat melakukan ibadah dengan selesa dan mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kelas pembelajaran di sini," katanya.
Kata Umar, tanpa bantuan tersebut tidak mungkin kampung Tedap akan mempunyai masjid baru yang selesa seperti ini dalam tempoh yang terdekat.
Menurutnya, sebelum terbinanya masjid baru ini, penduduk hanya menjadikan masjid lama sebagai tempat tumpuan untuk beribadat.
"Keadaannya yang usang dan hanya mempunyai beberapa mentol lampu tanpa sebilah kipas digunakan untuk melaksanakan solat dan kelas agama.
"Kini penduduk tidak perlu lagi bergelap dan kepanasan kerana masjid baru ini mempunyai kemudahan yang serba lengkap," katanya.
Antara lokasi yang dilawati rombongan termasuk Maahad Imam Syafie, Kampung Keh, Kampot, Kampung Trobeng Brinh, Kampung. Malekkul, dan sekolah anak-anak yatim di Kampung Kandal.
AIS dengan kerjasama MIDA turut melaksanakan ibadah aqiqah beberapa ekor kambing dan lembu untuk diagihkan kepada penduduk kampung yang diziarahi.
MIDA turut menyampaikan bantuan berupa pakaian dan wang kepada penduduk fakir dan miskin di beberapa kampung yang dilawati.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank Akademi Imam Syafi'e-Dana Kemboja, 553083023763 atau melayari laman Facebook AIS di www.facebook.com/akademiimamsyafie.
No comments:
Post a Comment