Like Blog Ini...

Tuesday, January 10, 2012

Pendidikan Islam di sekolah Cina

Oleh HAMDAN ISMAIL

BACAAN ayat-ayat suci al-Quran bergema memenuhi ruang dewan terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Pujut, Miri, Sarawak pada pertengahan Disember lalu.

Di atas sebuah astaka mini, empat pelajar Islam tahun enam sekolah itu khusyuk memperdengarkan bacaan mereka dengar lancar pada majlis khatam al-Quran.

Biarpun berlangsung dalam keadaan yang amat sederhana, majlis itu tetap unik dan meriah khususnya buat keempat-empat pelajar yang terlibat ekoran latar belakang keluarga mereka yang kesemuanya bukanlah terdiri daripada anak berdarah Melayu tulen.

Bacaan yang diperdengarkan oleh Mohamad Naim Kasri, Shaqeem Valinton, Hijazida Hamdan dan Jhony Mohamad Ali pada hari itu mengesahkan satu lagi pencapaian buat Ali Sagir, guru pendidikan Islam yang mereka kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu enam tahun lepas.

Mesra dengan panggilan Ustaz Ali, guru agama yang berasal dari Pahang itu bangga dengan pencapaian anak didiknya menamatkan pengajian al-Quran mereka sebelum menamatkan pendidikan di sekolah itu.

"Jumlah pelajar Islam Tahun Enam di sini memang sedikit. Biarpun jumlah mereka sedikit, hasrat kami ialah untuk memastikan mereka dapat membaca al-Quran dengan baik sebelum tamat persekolahan mereka.

"Ibu bapa mereka pun beria-ia benar meminta saya mengadakan majlis Khatam Al-Quran di sekolah sebagai tanda pencapaian anak-anak mereka. Jadi kami buat majlis ini dengan kerjasama ibu bapa mereka," katanya kepada Bernama.

Ali berkata, SJKC Chung Hua Pujut adalah satu-satunya sekolah aliran Cina di Miri yang melaksanakan program j-QAF.

J-QAF adalah program yang bertujuan memperkasa pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain.

Bermula dengan hanya beliau di sekolah itu sebagai guru khusus dalam pendidikan Islam, sekolah itu kini mempunyai dua lagi tenaga pengajar bagi membantunya melaksanakan program j-QAF di sana.

Tidak seperti di sekolah kebangsaan di mana kekerapan waktu untuk pendidikan Islam adalah enam kali seminggu, Ali berkata di SJKC Chung Hua Pujut ia sebanyak empat kali.

Kekerapan ini tidak menjadi penghalang kepadanya menjalankan tugas dan sering kali beliau secara sukarela mengadakan kelas mengaji untuk pelajarnya berikutan permintaan ibu bapa mereka.

"Peranan ibu bapa pelajar ini juga amat saya hargai kerana mereka amat prihatin memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran agama biarpun berada di sekolah aliran Cina," katanya. - BERNAMA

No comments: