Oleh AZMI ABDUL MALEK
PERPECAHAN umat Islam di seluruh dunia semakin membimbangkan kerana ia memberi peluang kepada musuhnya memecahkan benteng perpaduan yang wujud sejak beberapa kurun lamanya.
Keadaan ini berlaku kerana beberapa faktor dalaman dan luaran yang membabitkan perbezaan pendapat dan ideologi politik.
Kebimbangan sama sudah menular kepada masyarakat Islam di negara ini kerana perbezaan pendapat berdasarkan fahaman politik berbeza.
Gejala ini perlu dibendung kerana ia akan merugikan masa depan generasi kini dan akan datang.
Sehubungan itu, umat Islam di negara ini perlu bersatu dan ketepikan pegangan ideologi politik masing-masing sekiranya mahu mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian dalam jangka masa panjang.
Malah kesedaran ke arah itu perlu memandangkan wujudnya perbezaan pendapat di kalangan umat Islam yang akhirnya mendatangkan perpecahan ummah.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menjadi pemangkin memperkasakan pembangunan ummah.
Menurutnya, umat Islam masa kini dilihat terbahagi kepada petak-petak tertentu mengikut pegangan ideologi politik dan situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka berpegang kepada ajaran al-Quran, hadis, qias dan ijmak ulama.
Kata beliau, Islam membenarkan perbezaan pendapat tetapi jangan sampai membawa kepada perpecahan umat.
"Sehubungan itu saya bersama Yadim akan mengadakan Kongres Ekonomi Islam dan Bulan Dakwah tahun ini untuk membincangkan isu berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Yadim Bersama Pelanggan di Dataran Lanai, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ahmad Zahid berkata, program berkenaan bertujuan mengembalikan kegemilangan Islam di negara ini.
Katanya, Yadim dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) akan melaksanakan program Jiwa Murni bagi membantu masyarakat Orang Asli dan penduduk di kawasan pedalaman.
"Pendekatan ini penting bagi memastikan golongan sasar terbabit tidak dipinggirkan dalam segi pengisian rohani dan jasmani," jelasnya.
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya dan Yadim sudah memulakan usaha mencetak 100,000 naskhah al-Quran untuk diedarkan kepada umat Islam di Kemboja sebelum Ramadan tahun ini.
Katanya, Kemboja mempunyai kira-kira 500,000 penduduk Islam dan naskhah al-Quran itu akan diedarkan kepada setiap keluarga di sana.
Menurut beliau, program tersebut mendapat persetujuan dan sokongan padu daripada Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.
"Hun Sen bersetuju dengan cadangan itu kerana beliau yakin rakyatnya yang beragama Islam menjalani kehidupan harian yang sederhana mencontohi Malaysia," katanya.
Menurut Ahmad Zahid lagi, Mufti Kemboja juga menyuarakan permintaan agar umat Islam Malaysia membantu mereka menyediakan pinjaman mikro kredit seperti yang dilakukan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Sehubungan itu, katanya dana sumbangan syarikat korporat Islam di negara ini bernilai AS1 juta (RM3.1 juta) yang diselaraskan oleh Yayasan Restu dengan kerjasama Yadim dan Kagat akan diserahkan kepada Mufti Kemboja.
"AIM pula akan melatih anak tempatan mengendalikan skim pinjaman berkenaan sebelum Ramadan tahun ini," jelas beliau.
Media baru
Sementara itu, Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir, berkata karnival berkenaan adalah antara usaha pihaknya mendekati masyarakat.
Katanya, sepanjang tahun 2011, Yadim menyemarakkan program turun padang bagi memastikan mesej disampaikan walaupun sepotong ayat yang menjadi penanda aras pertubuhan itu benar-benar diterima masyarakat.
"Ini termasuklah mendekati dan menyerlahkan peranan ulama yang terpendam dalam kelompok masyarakat agar mereka dapat memainkan peranan penting membangunkan ummah," tambahnya.
Aziz Jamaludin berkata, ledakan teknologi maklumat serta aliran pemikiran generasi masa kini, terutamanya golongan muda menuntut Yadim menguasai dan memanfaatkan media baru.
Ia bagi memberi maklumat sebenar dan menangkis dakyah dan kebatilan yang tersebar secara senyap tetapi memusnahkan.
"Sehubungan itu, penggunaan media baru adalah antara wahana penting dakwah Yadim ketika ini," kata beliau.
No comments:
Post a Comment