Like Blog Ini...

Wednesday, January 11, 2012

Abdul Kamal berbudi pada tanah

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

Daripada rona wajahnya, tampak kesan jemuran yang membakar. Dia tegar menghamburkan keringatnya demi sebidang tanah. Di situlah, dia dan anak-anak serta isteri membuktikan kebenaran bicara orang tua-tua, berbudi pada tanah, pasti ada hasilnya.

Di sisi lain, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa membantu orang yang mahu maju. Buktinya, kejayaan Abdul Kamal Abdullah Sani, 41, dalam merealisasikan cita-citanya menjadi pekebun berjaya.

"Saya bekerja sebagai jurujual sebuah syarikat swasta. Namun sekitar tahun 2000, saya jatuh sakit. Penyakitnya pula 'misteri'. Doktor di hospital 'angkat tangan', kerana perubatan moden gagal mengesan apakah jenis penyakit saya. Kala itu, muntah saya berdarah dan berak pun berdarah," Kamal memulakan kisahnya.

"Saya tidak dapat melaksanakan kerja dengan baik, apatah lagi jurujual memang memerlukan seseorang yang sihat fizikalnya. Akibatnya saya diberhentikan kerja. Maka, mulai saat itu demi menyara keluarga, saya melakukan pelbagai jenis kerja, seperti mengimpal besi, menjual goreng pisang dan sebagainya.

"Namun, pengalaman yang paling sukar saya lupakan adalah pernah ditipu. Keringat diperah, namun setelah penat bekerja tidak diberi upah," luah Kamal lagi sambil mengenang kesempitan silam.

Kamal berkata, kehidupan memang mencabar. Ia menjadi bertambah sukar kala dipermainkan oleh orang yang tidak ada 'hati perut' dan menindas orang lain demi meneruskan hidup sendiri.

"Oleh itu, saya mencari jalan berniaga secara kecil-kecilan. Wang simpanan jangan ditanya, semuanya sudah habis dibuat belanja.

"Maka, demi meneruskan kehidupan, saya memberanikan diri membuat pinjaman dengan ah-long. Niat saya hanya satu, mendapatkan sedikit modal bagi membuka gerai menjual goreng pisang," ujar Kamal berterus-terang tentang kisah hidupnya.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga memang serba kekurangan. Anak-anaknya yang seramai lima orang pernah tidak makan nasi. Jika disajikan nasi lauknya sekadar telur.

Bahkan mereka, gayanya amat betah dengan kesusahan. Masakan tidak betah, jika anak-anaknya pernah makan nasi hanya berlaukkan garam, bahkan gula dan juga kicap.

Itu belum diambil kira tentang persiapan apakala sesi persekolahan mula membuka tirainya dan hari raya pula mula menjelma.

Bagi Kamal dan isterinya, Norfauzan Abd. Rashid, 32, semuanya mereka sambut dengan amat sederhana. Tidak dapat balik ke kampung kerana tiada belanja adalah perkara biasa. Bahkan, pernah juga tertunggak sewa rumah selama lapan bulan lamanya.

"Semuanya saya sekeluarga lalui dengan tabah," tambahnya.

Setelah LZS menyedari penderitaan yang ditanggung Kamal sekeluarga, beliau mula mendapat bantuan zakat pada tahun 2007, berupa bantuan pendidikan, persiapan menyambut puasa dan raya, bantuan sewa rumah, bantuan makanan dan juga bantuan wang bulanan.

"Bantuan-bantuan ini sebenarnya amat memberikan keringanan kepada saya. Bayangkan, dahulu untuk belanja persekolahan sahaja sudah amat memeningkan, namun berkat bantuan zakat, saya mampu tersenyum ceria menghantar anak-anak ke sekolah.

"Apa yang lebih menggembirakan saya, hasrat untuk berdikari dimakbulkan Allah SWT apabila LZS sudi meluluskan bantuan modal sebanyak dua kali kepada saya, iaitu pertamanya untuk menjalankan perniagaan bawang goreng dan keduanya membuka kebun sayur-sayuran.

"Bagi modal yang pertama, LZS memberi saya RM2,000. Seterusnya, bagi bantuan modal pertanian pula, saya menerima pada Oktober 2010 dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM15,000. Bantuan itu berupa mesin pengepam air, baja, pam racun, paip air dan juga anak benih," jelas Kamal.

Kelihatan riak kebahagiaan mewarnai wajahnya kala itu.

"Sesungguhnya, amat besar nilai bantuan yang telah diberikan kepada saya. Dengan bantuan itulah, saya kini mampu menjalankan projek pertanian ini, iaitu membuka sebuah kebun sayur seluas kira-kira 0.4 hektar di Bukit Beruntung dengan lebih baik dan teratur.

"Isteri saya dan anak-anak pun turut sama ringan tulang menolong saya. Bahkan kami telah pun menuai hasil pertama dari kebun ini pada hujung tahun 2010 lalu.

"Sesungguhnya, bagi kami anak-beranak, melihat pokok-pokok sayur yang tumbuh subur, adalah suatu kepuasan yang tidak dapat diukur. Itulah cara kami menebus kembali kesusahan silam dan semuanya berkat zakat yang umat Islam tunaikan," katanya.

No comments: