Like Blog Ini...

Tuesday, January 10, 2012

Siswa Islam UKM dekati Orang Asli

Oleh KAMSARI NOR

Jika mahu melihat masyarakat akan datang, lihatkan generasi mudanya hari ini. Begitulah ungkapan yang sering kita dengar tentang besarnya harapan kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepemimpinan negara.

Untuk itu, golongan pemuda terutama siswa institusi pengajian tinggi perlu didedahkan dengan kaedah dan cara bermasyarakat.

Bagi mahasiswa Islam, mereka perlu mendalami ilmu bercampur dengan masyarakat pelbagai budaya dan agama.

Menyedari hal itu, 70 mahasiswa jurusan syariah, pengajian dakwah dan kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Melut, Sepang, Selangor baru-baru ini.

Program sehari itu mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Pada program tersebut, mahasiswa memanfaatkan masa bermula pukul 9.30 pagi hingga 5 petang dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya, menziarahi rumah penduduk, bergotong royong membersihkan surau dan acara sukaneka bersama masyarakat Orang Asli kampung itu.

Timbalan Pengarah Projek, Nasura Mohd. Yusof berkata, program itu memberi peluang mahasiswa mengenali dengan lebih dekat corak kehidupan masyarakat Orang Asli.

Selain itu, katanya, ia dapat melatih mahasiswa tentang ciri-ciri kepimpinan, kemahiran berorganisasi dan mustahaknya elemen kerjasama bagi melaksanakan sesuatu program.

"Aktiviti ziarah di semua 53 rumah itu membentuk satu semangat baharu gerakan dakwah secara berjemaah selain memupuk semangat ingin membantu.

"Pada masa sama, peserta dapat memberi tunjuk ajar berkaitan Islam kepada penduduk berkenaan," katanya.

Menurut Nazura, semangat jati diri di kalangan mahasiswa juga terserlah kerana walaupun hujan, mereka tetap meneruskan ziarah, bergotong-royong membersih surau dan bersukaneka.

Katanya, ahli jawatankuasa pelaksana yang berjaya mencari sumbangan dan derma daripada mereka yang prihatin membolehkan peserta menyalurkan sumbangan kepada penduduk Orang Asli kampung tersebut.

Antara barang yang diserahkan untuk surau seperti karpet, pembidai, sejadah, surah Yasin dan cat.

Sumbangan lain adalah barang makanan seperti beras, gula, kopi, susu, biskut, mihun untuk 53 keluarga manakala kanak-kanak sekolah tahun satu dan tingkatan satu masing-masing menerima beg sekolah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Orang Asli Sungai Melut, Johan Mat mengucapkan ribuan terima kasih kepada mahasiswa berkenaan yang sudi ke kampungnya dan menjalankan program ramah mesra.

Katanya, banyak manfaat yang diperoleh oleh masyarakat kampung hasil kunjungan mahasiswa walaupun tempohnya cuma sehari.

"Saya berharap penduduk kampung akan membuka minda dan anak-anak muda terutama pelajar dapat bertukar-tukar fikiran dengan para peserta," katanya.

Acara penutup program itu dilakukan oleh Penolong Pendaftar UKM, Zameri Ramli.

No comments: