Like Blog Ini...

Monday, January 16, 2012

Proton pertaruh teknologi baru enjin

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Proton optimis teknologi baharu enjin keluarannya yang menggabungkan elemen kuasa dan penjimatan akan menjadi faktor utama peningkatan penjualan kenderaan pada 2012.

Enjin Campro baharu Proton telah dinaik taraf oleh jurutera muda tempatan dengan melengkapkannya dengan sistem baharu iaitu Continuous Variable Transmission (CVT) dan Charge Fuel Efficiency (CFE).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd, Ahmad Suhaimi Mohamed Anuar berkata, sistem baharu pada enjin Campro dibangunkan melalui maklum balas daripada pelanggan Proton sebelum ini.

"Berdasarkan maklumat diterima, sebahagian besar daripada mereka inginkan enjin yang lebih berkuasa dan dalam masa yang sama mahukan penjimatan dari segi kos, penggunaan minyak dan cukai jalan.

"Contohnya seperti sistem CFE pada model Exora Bold, ia berfungsi memberikan kuasa cas turbo secara automatik sehingga meningkatkan kekuatan enjin Campro berkuasa 1.6 liter setanding enjin 2.0 liter.

"Uniknya sistem CFE hanya berfungsi selepas RPM melepasi paras 2,000 dan ini membolehkan penggunaan minyak dapat dioptimumkan ketika pengguna memandu dalam kelajuan biasa,'' katanya selepas sesi pandu uji Exora Bold dan Saga FLX SE baru-baru ini.

Sementara mengulas mengenai jualan semasa bagi kedua-dua kenderaan berkenaan, beliau berkata, bagi Saga FLX SE yang dilancarkan pada awal bulan ini, kami telah menerima 440 tempahan setakat ini.

Katanya, secara purata jualan Saga adalah sekitar 400 hingga 500 buah sebulan pada tahun lalu dan dengan teknologi CVT yang diperkenalkan pada model baharu, jualan dijangka meningkat sekitar 700 hingga 800 sebulan tahun ini.

Beliau berkata: ''Bagi Exora Bold yang dilancarkan pada 16 Disember lalu kami sasarkan jualan akan meningkat kepada 2,200 buah sebulan tahun hadapan berbanding 1,800 buah sebulan ketika ini,.

"Ini menunjukkan teknologi baharu Proton telah mendapat kepercayaan pelanggan dan ini merupakan sesuatu yang positif kepada kami untuk melancarkan lebih banyak teknologi baharu selepas ini,'' tambahnya.

No comments: