Like Blog Ini...

Tuesday, January 24, 2012

Pembelajaran sepanjang hayat di Masjid Negara

MOHD. SHAH CHE AHMAD

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa berjalan menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan jalannya menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat akan meletakkan sayapnya untuk para penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang mereka lakukan dan sesungguhnya seseorang yang mengajarkan kebaikan akan dimohon ampun oleh makhluk yang ada di langit mahupun di bumi hingga ikan yang berada didalam air." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Termizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kelebihan menuntut ilmu tidak perlu dihurai panjang kerana ia jelas disebutkan oleh Allah SWT dalam kitab al-Quran dan juga menerusi perutusan Nabi Muhammad SAW.

Namun, bagaikan budaya di negara ini, penuntut ilmu atau pelajar lebih sinonim terhad kepada kanak-kanak dan remaja sahaja. Ramai beranggapan menuntut ilmu hanya penting pada usia itu untuk dijadikan tiket melangkah ke alam kerjaya.

Namun, sedarkah kita bahawa semakin lanjut usia seseorang itu, semakin ia dituntut untuk mendalami ilmu. Lebih-lebih lagi berkaitan keagamaan.

Ini kerana, ilmu yang diperolehi pada waktu itu lebih mudah meresap ke dalam diri dan boleh membuka pintu hati untuk mendekatkan diri bertemu dengan tuhan.

Sisa-sisa umur yang tinggal perlulah digunakan dengan sebaiknya bagi meraih sebanyak mungkin ilmu dan amalan ibadah untuk dijadikan bekalan di akhirat.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, walau setinggi mana pun seseorang itu belajar, tiada istilah tamat dalam menuntut ilmu bahkan ia akan terus bertambah.

Oleh itu katanya, tidak kira peringkat umur, tua atau muda tetap dituntut dan digalakkan untuk menuntut ilmu. Ini bertepatan dengan pepatah arab tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

"Kita tidak akan pernah tamat menuntut ilmu kerana semakin banyak ilmu yang kita pelajari, semakin besar prospeknya boleh dikembangkan. Jadi semakin banyak kita belajar, semakin banyak maklumat yang kita tidak ketahui.

"Oleh itu, tiada istilah tamat atau khatam dalam menuntut ilmu, walaupun kita telah berumur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat kepada pelajar baru kelas pengajian dewasa dan wanita bagi sesi 2012, di Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seramai 706 pelajar menyertai kelas tersebut yang akan berlangsung selama setahun. Mereka berumur dari 18 hingga 77 tahun.

Sebanyak sembilan kelas pengajian ditawarkan bermula pada 18 Januari lalu.

Ismail berkata, menuntut ilmu tidak boleh dipaksa kerana ia tidak akan mendatangkan apa-apa malah menjadi sia-sia.

"Menuntut ilmu perlulah disertakan dengan keinginan individu itu bersama niat yang ikhlas untuk mendapatkan ilmu.

"Jika niat kita ikhlas untuk mendapatkan ilmu, pasti kita akan memperoleh sesuatu walaupun kita tidak sedari," katanya.

Beliau juga menasihat golongan belia untuk turut mendekatkan diri dengan ilmu berunsur agama walaupun sibuk melakukan tugasan dan tanggungjawab harian.

Menurutnya, ini kerana ilmu agama dapat menjadi benteng kepada seseorang itu daripada melakukan perkara mungkar dan terjebak dengan gejala sosial di samping beroleh keberkatan di dunia ini.

No comments: