Like Blog Ini...

Sunday, January 8, 2012

Menyelesaikan kontradiksi hadis

Oleh ZUARIDA MOHYIN

MUTAKHIR ini, umat Islam sedang mengalami kesedaran untuk merujuk kepada hadis dalam pelbagai perkara. Ini terbukti dan ketara perubahannya menerusi siri-siri ceramah agama, sama ada di radio dan televisyen. Bahkan, di dalam artikel bercetak, laman blog dan buku-buku.

Senario ini tentunya positif dan selari dengan anjuran Islam agar terpelihara kemurnian sumber akidah dan syariah kita.

Pun begitu, perkara ini masih belum diiringi dengan kesedaran untuk menerapkan metode atau kaedah pentafsiran isi hadis yang tepat sebagaimana manhaj para ulama. Natijahnya, pelbagai fatwa pelik yang kita dengar.

Kemunculan puak sesat yang mengajarkan doktrin menyimpang daripada kefahaman jumhur ulama menggunakan hadis dan sunnah makin membimbangkan masyarakat.

Jika metod pentafsiran al-Quran diatur dengan ilmu tafsir, maka pentafsiran hadis juga seharusnya sedemikian. kita mesti merujuk aturan-aturan yang telah ditetapkan ulama hadis agar tercapai pemahaman yang benar bagi kandungan matan hadis.

Hakikatnya, memahami isi hadis tanpa metod hanya akan melahirkan salah faham yang dapat merosakkan imej agama Islam itu sendiri.

Justeru itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. selaku penerbit telah menjemput Umar Mohammad Noor sebagai penulis buku Takwil Hadis (Memahami Hadis Musykil Menurut Ibnu Qutaibah).

Ia memandangkan penglibatan beliau dalam pengajian bidang Tafsir Hadis di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) dari Universiti Omm Durman, Sudan serta berpengalaman mengutip ilmu daripada ulama-ulama tersohor di Damsyik, Syria dan kaji selidik beliau sendiri dalam bidang tersebut.

Malah dalam ruangan kata pengarang, Umar Muhammad memberitahu, buku ini berasal daripada sebuah skrip yang telah tersimpan selama enam tahun di dalam komputer ribanya.

Ia pernah diajukan kepada Fakulti Usuluddin Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Syarif Hidayatullah, Jakarta pada tahu 2001 untuk meraih gelaran Sarjana Agama (S.Ag).

Lantaran itu, bagi memastikan kesempurnaan inti kajian atau bahasan di dalam skrip itu, Umar Muhammad telah melakukan semula pembacaan kitab Takwil Mukhtalif al-Hadis dari awal hingga akhir, lalu mengkaji setiap metod yang digunakan oleh Ibnu Qutaibah dan menempatkannya dalam kategori tertentu.

Selain membuat perbandingan metod yang digunakan oleh Ibnu Qutaibah dalam menyelesaikan perbandingan hadis dengan metode ulama-ulama lain yang pernah menulis kajian yang sama, sama ada sebelum atau sesudah beliau.

Kata Umar Muhammad lagi, beliau juga membuat perbandingan dengan buku-buku syarah hadis, buku-buku ilmu Kalam dan Usul al-Fiqah sebagai rujukan sekunder kajiannya.

Jadi meskipun tajuk buku ini menyebut metod Ibnu Qutaibah dalam Takwil Mukhtalif al-Hadits sebagai fokus kajian, namun kandungannya meliputi metod para ulama hadis lainnya.

Buku yang mengandungi enam bab ini insya-Allah akan menjelaskan metod Takwil Ibu Qutaibah agar menjadi panduan metodologi bagi setiap orang yang berminat untuk mengkaji dan memahami hadis-hadis tanpa sebarang kesilapan.

No comments: