Like Blog Ini...

Monday, January 16, 2012

DRB-HICOM terajui Proton?

Oleh MOWARDI MAHMUD
bisnes.utusan@gmail.com

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Episod pengambilan alih Proton Holding Bhd. (Proton) dijangka berakhir minggu ini apabila Kumpulan DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) dilihat sebagai calon paling layak dan bakal memenanginya.

Menurut sumber, pengumuman mengenainya dijangka diumumkan esok.

Firma penyelidikan OSK Research sebelum ini percaya konglomerat automotif itu sebagai calon terbaik berbanding lima pihak yang dikatakan berminat membida pegangan Khazanah dalam Proton.

Daripada lima hanya tiga pihak iaitu DRB-HICOM, Kumpulan Naza dan Pengerusi Proton sendiri Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh dilihat serius manakala pihak lain yang disebut-sebut General Motor (GM) dan Genii Capital tidak mengemukakan cadangan mereka.

Sementara itu, UMW Motor dan Tan Chong Motor yang dikatakan menjadi mangsa spekulasi menafikan berhasrat untuk membidanya.

Sementara itu, sumber industri mengakui DRB-HICOM mempunyai peluang besar kerana merupakan pengendali produk automotif berbilang jenama dan memiliki sejarah kerjasama yang panjang dengan Proton.

Kumpulan Naza, sebuah lagi gergasi automotif negara, pula hanya mempunyai kelebihan daripada segi memiliki produk automotif berbilang jenama semata-mata.

Beliau yang enggan dinamakan berkata, DRB-HICOM dilihat sebagai lebih memahami perspektif kerajaan dan juga Dasar Baru Ekonomi dalam membangunkan industri.

''Pengambilan alih Proton adalah bertepatan dengan masa dengan menjelangnya pengumuman Dasar Automotif Negara (DAN) tidak lama lagi,

''Kerajaan perlu dilihat sebagai mempromosikan industri tempatan dalam usaha menjadikan Pusat Automotif Serantau," kata sumber itu lagi.

Katanya, DRB-HICOM dengan Proton dilihat mampu untuk berkembang bersama-sama dan bukan lagi sebaliknya.

Sumber industri itu berkata, Proton telah berkembang dengan baik sejak ditubuhkan tetapi didakwa hilang arah tujunya sedangkan mempunyai sepenuhnya keupayaan pembangunan dan penyelidikan selain jurutera yang mampu dieksploitasi dalam membangunkan kereta nasional.

Beliau berkata, tindakan menjenamakan semula atau rebadging diakui adalah strategi yang baik tetapi hanya untuk peringkat awal.

Katanya, Proton mempunyai banyak kelebihan berbanding Perodua tetapi syarikat kereta nasional kedua itu lebih berjaya kerana mampu untuk melakukan rebadging dan berkembang mengikut keperluan tempatan.

Menurut beliau itu, pengambilan alih itu juga dijangka dapat menyelesaikan masalah anak syarikat, Lotus Group International Ltd. (Lotus) yang dibimbangi akan membebankan Proton kerana hala tujunya dianggap masih samar-samar meskipun selepas disusun semula.

No comments: