SANTAPAN MINDA OLEH Dr. Ismail Zain
SEBAGAI seorang murid, sifat hormat-menghormati adalah asas kepada perkembangan diri. Sifat ini harus dipupuk sejak di bangku sekolah lagi kerana ia merupakan faktor pembentuk keperibadian diri serta mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembelajaran.
Sifat hormat-menghormati ini harus diberi kepada semua golongan tidak kira muda ataupun yang tua. Bermula dengan ibu bapa di rumah, adik beradik, jiran, rakan sebaya, guru dan masyarakat di sekeliling kita.
Hari ibu yang disambut saban tahun merupakan satu peringatan kepada murid-murid tentang penghormatan yang harus diberikan kepada golongan ibu yang telah mengorbankan jasa bakti yang tidak terhingga kepada kita.
Terdapat juga segelintir murid yang tidak menghormati ibu sepertimana yang harus dilakukan. Tindakan dan gaya bertutur adalah diantara perbuatan yang boleh mempamerkan sifat hormat menghormati diri seseorang itu.
Tindakan yang kasar, tingkah laku yang biadab dan gaya bahasa yang boleh menyakitkan hati merupakan punca kepada perbuatan yang tidak dianggap menghormati kepada orang lain.
Adalah amat berat sifat tidak menghormati kepada ibu kerana ia boleh melahirkan bibit-bibit yang diistilahkan sebagai derhaka. Derhaka kepada ibu melibatkan pengeluaran kata-kata yang boleh menyakiti hati mereka seperti kata-kata kesat kerana enggan mematuhi nasihat atau larangan, memarahi mereka atau menggunakan kekasaran fizikal terhadap mereka.
Doa dan harapan ibu amat dimakbulkan oleh Allah kerana “Syurga itu terletak di tapak kaki ibu”. Dalam hal ini sebagai seorang murid doa restu ibu amatlah diharapkan terutamanya dalam proses kita menuntut ilmu.
Dalam erti kata sebenarnya nasihat ibu, doa dan harapan mereka merupakan salah satu cara untuk memberi ketenangan kepada jiwa murid-murid. Ketenangan ini akan mententeramkan fikiran dan melonjakkan semangat untuk belajar.
Ibu bukan sekadar melahir dan menjaga anak-anak sahaja tetapi ibu berfungi sebagai guru, pembimbing dan juga sebagai seorang motivator.
Segala nasihat, tunjuk ajar, larangan dan luahan hati seorang ibu itu harus diberi perhatian, ditanam dalam jiwa dan diamalkan sepanjang kehidupan. Tangan ibu yang mendodoi buaian itu mampu menggoncang dunia. Begitulah kata-kata perbandingan untuk menunjukkan betapa besarnya peranan ibu dalam mendidik anak-anak.
Justeru, hormati ibu dan jadikanlah ibu sebagai insan yang sentiasa dalam ingatan kita di mana sahaja kita berada.
No comments:
Post a Comment