Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
ALLAH SWT telah menyebut perihal Nabi Nuh yang diperintahkan agar mengingatkan kaumnya sebelum mereka ditimpa kemurkaan dan seksaan-Nya yang amat pedih.
Nabi Nuh yang menerima seruan Allah itu terus memberi peringatan kepada kaumnya dan memerintahkan mereka agar bertakwa dan mentaati-Nya supaya Allah SWT mengampunkan dosa dan memanjangkan umur mereka.
Berikutnya diterangkan kisah Nabi Nuh bermunajat dan membuat pengaduan kepada Allah bahawa baginda telah mengingatkan mereka dengan apa yang diperintahkan.
Tetapi kaumnya telah menderhaka dan menolak peringatan yang diberikan kepada mereka.
Seruan baginda tidak memberi apa-apa faedah selain mereka terus menolaknya.
Kadang-kadang Nabi Nuh menyeru mereka secara terang-terangan dan adakalanya secara sembunyi.
Baginda memerintahkan mereka memohon keampunan di atas dosa mereka agar Allah SWT menurunkan hujan, menganugerahkan harta dan anak-anak serta mengurniakan kebun-kebun dan sungai kepada mereka.
Kemudian, baginda mengingatkan mereka tentang kekuasaan, keagungan Allah SWT dan keluasan kudrat-Nya serta memalingkan pandangan mereka kepada Allah SWT yang telah menciptakan mereka secara berperingkat.
Allah yang telah menciptakan langit secara bertingkat, menjadikan bulan yang bersinar di langit, matahari sebagai pelita dan bumi sebagai hamparan untuk kehidupan mereka.
Keadaan yang demikian membolehkan mereka berjalan-jalan dari satu lembah ke lembah yang lain.
Firman Allah SWT: Nuh berkata: Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan cara yang melampau. (Nuh: 5-7)
Ibnu Kathir berkata: "Nabi Nuh a.s. menyatakan tidak pernah diam dan alpa menyeru kaumnya supaya mentaati dan mencari keredaan-Mu namun mereka terus lari daripada kebenaran."
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: "Mereka mengingkarinya agar dia tidak mengetahui mereka."
Sa'id bin Jubair dan al-suddi berkata: "Mereka menutup kepala dan telinga supaya tidak mendengar apa yang dia katakan."
Syed Qutub berkata: "Itulah satu gambaran kegigihan pendakwah yang menyampaikan dakwah pada setiap kesempatan yang didapatinya dan gambaran kedegilan kaumnya mempertahankan kesesatan."
Gambaran itu memperlihatkan sifat-sifat kebudak-budakan mereka yang degil iaitu menyumbat jari dalam telinga dan menutup kepala dan muka dengan baju.
Mereka melakukan sedemikian dengan harapan tidak mendengar segala seruan Nabi Nuh.
Firman Allah SWT: Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan. Kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam. Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun. (Nuh: 8-10)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu kembalilah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah segala perbuatan lama kamu serta bertaubatlah kamu kepada-Nya.
"Ini kerana siapa yang bertaubat pasti Dia menerima taubat sebanyak manapun dosa yang dilakukan serta kekufuran dan kemusyrikan."
Al-Maraghi berkata: "Aku (Nabi Nuh AS) katakan kepada mereka: Mohonlah pengampunan daripada dosa-dosamu kepada Tuhan dan bertaubatlah kepada-Nya dari segala unsur kekafiran atau menyembah tuhan yang selain-Nya serta mengesakan Dia dengan cara mengikhlaskan ibadah kepada-Nya."
Berdasarkan ayat-ayat yang dibincangkan, jelas membuktikan kegigihan Nabi Nuh AS dalam menyampaikan risalah Allah SWT.
Pada masa yang sama baginda mengajak umatnya supaya beristighfar kepada tuhan tetapi malangnya mereka mengingkari dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT.
Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kisah ini untuk mentaati perintah Allah dalam apa jua keadaan sekalipun. Amin.
No comments:
Post a Comment