Like Blog Ini...

Wednesday, January 18, 2012

Indelible Ink 'lulus' sudut syarak

MUZAKARAH Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa bahawa Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memudaratkan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

Oleh itu, penggunaan Indelible Ink adalah harus dan dibenarkan oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah umat Islam.

Muzakarah Khas bagi membincangkan isu ini diadakan pada 11 Januari lalu di Dewan Syura, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya.

Taklimat dan penjelasan mengenai kandungan Indelible Ink, tahap keselamatan dan ketelapannya serta cara penggunaannya disampaikan oleh Jabatan Kimia Malaysia dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Menurut SPR, Indelible Ink ini akan digunakan pada setiap pemilih yang mengundi di dalam pilihan raya umum akan datang atau pilihan raya kecil sebagai langkah dan usaha meningkatkan lagi ketelusan proses pengundian dalam pilihanraya di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin menyatakan cadangan penggunaan Indelible Ink telah menimbulkan kegusaran masyarakat Islam dari segi kandungan dan tahap ketelapan air dakwat tersebut, kerana ia boleh memberikan kesan terhadap ibadah umat Islam.

Memandangkan isu itu melibatkan maslahah seluruh umat Islam dan negara, keputusan dan pandangan jawatankuasa sangat diperlukan supaya segala kebimbangan umat Islam terhadap penggunaan dakwat itu dapat diselesaikan.

Muzakarah Khas tersebut dihadiri oleh mufti negeri-negeri, ahli-ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja, wakil-wakil mufti dan Ketua Pengarah Jakim selaku Setiausaha Jawatankuasa Fatwa MKI.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jakim, Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Perancangan dan Penyelidikan Jakim, Mohamad Saari.

No comments: