Like Blog Ini...

Monday, January 16, 2012

Al-Zuhr doktor tersohor di Andalusia

ABU Marwan bin Zuhr adalah seorang doktor tersohor di Andalusia dan dianggap di antara pakar kedoktoran/perubatan terkemuka di dunia sepanjang zaman.

Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Abdul Mulk bin Abu Al-A'la Zuhr bin Muhammad bin Marwan bin Zuhr Al-Iyadi.

Beliau juga dipanggil dengan nama Al-Iyadi kerana nenek moyangnya berasal daripada Kabilah Iyad, sebuah kabilah Arab Adnaniyah. Di Eropah, beliau dikenali dengan nama Avenzoar.

Seorang orientalis Jerman, Carl Brockelmann menyebut Ibnu Zuhr dalam bukunya Tarikh Al-adab Al-Arabiyah dengan nama Abdul Mulk bin Au Bakr bin Muhammad bin Marwan. Padahal sebenarnya ini adalah nama bapa Ibnu Zuhr.

Ibnu Zuhr berasal daripada keluarga yang kebanyakannya berkecimpung dalam bidang perubatan. Bapa, anak lelaki, dan anak perempuannya bekerja sebagai doktor. Kedua-dua puterinya juga doktor pakar perbidanan dan penyakit wanita.

Keluarga besar Zuhr telah menetap di Syatibah, salah sebuah kota di Andalusia sejak abad ke-10 Masihi. Antara abad ke-10 hingga ke-13 Masihi, terdapat enam orang keturunan keluarga besar Bani Zuhr yang menonjol dalam kedoktoran.

Abu Marwan Zuhr dilahirkan di Kota Banjalur, Andalusia, pada tahun 464 H/1072 M. Sejarah kehidupannya lebih banyak dihabiskan di Seville. Pada awalnya beliau mengabdikan diri kepada Al-Murabithun, kemudian mengabdikan diri kepada Al-Muwahhidin.

Beliau menjadi doktor peribadi kepada Sultan Al-Muwahhidin, Abu Muhammad Abbul Mukmin bin Ali.

Segala hasil karya Ibnu Zuhr berbicara tentang ilmu kedoktoran/perubatan yang ditulis dengan gaya bahasa ilmiah yang amat tinggi. Buku-bukunya dipenuhi dengan istilah-istilah ilmiah yang menunjukkan keluasan dan kedalaman pengalaman ilmiahnya.

Gaya bahasa yang dipakai oleh Ibnu Zuhr membuat pembacanya berasa senang, kerana bukunya dihiasi hal-hal yang bersahaja dengan komentar-komentar yang membuat orang kadangkala tersenyum dan tertawa.

Semua itu dicatatkan dalam bukunya berdasarkan pengalaman peribadi dalam dunia kedoktoran/perubatan.

Antara karya-karya penting Ibnu Zuhr adalah:

* At Taisir Fi Al-Mudawalah Wa At-Tadbir

Dalam buku itu beliau mengupas secara terperinci buku Al-Qanun karya Ibnu Sina dan Almilki karya Alibin Abbas Al-Majusi.

Beliau juga membicarakan tentang gejala-gejala penyakit dalaman dan masalah pembedahan. Ibnu Zuhr membahagikan bukunya dalam tiga bahagian.

Setiap bahagian berisi beberapa kajian. Setiap kajian itu juga membahas beberapa penyakit yang menimpa salah satu bahagian daripada organ tubuh atau bahagian tertentu daripada tubuh.

Buku ini ditutup dengan suatu pembahasan yang dinamakannya "Aljami", yang berisikan nama-nama atau alat-alat kedoktoran/perubatan, bimbingan khusus tentang meracik ubat-ubatan dan cara pemakaiannya.

Buku tersebut merupakan karya Ibnu Zuhr yang paling popular dan diterjemahkan oleh Barafisiyius ke dalam bahasa Latin pada tahun 1490M. Kemudian diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa Eropah lainnya.

* At-Taghdziah

Buku ini ditulis oleh Ibnu Zuhr atas perintah Sultan Al Muwahhidi, iaitu Abu Muhammad Abdul Mukmin bin Ali. Dalam buku ini beliau berbicara tentang makanan dan minuman dengan pelbagai ragamnya: makan, tidur, mandi, bersukan, dan prinsip-prinsip kesihatan yang bersifat umum.

* Al-Iqtishad Fi Ishlah Al-Anfus Wa Al-Ajsad

Buku ini ia tulis sebagai persembahan untuk Sultan Al-Murabithun, iaitu Ibrahim bin Yusuf Ibnu Tasyfin.

* At Ta'liq Fi Ath-Thib

Buku ini berisi nasihat-nasihat tentang ilmu kedoktoran/perubatan. Manuskrip buku ini terdapat di perpustakaan Tesytir Beti di Dublin, ibu negara Republik Ireland.

* At Tiryaq As Sb'ini dan ringkasannya

Buku ini ditulis untuk Sultan Muhammad Abdul Mukmin.

* At-Tadzkirah

Buku ini memuatkan arahan, bimbingan dan panduan untuk anaknya dalam mempermudah aktiviti kedoktoran/perubatan. Buku ini sudah diterjemahkan dan dicetak dalam bahasa Perancis.

* Al-Jami

Berbicara tentang minuman dan ubat yang digunakan dalam menyembuhkan penyakit.

Ibnu Zuhr berpendapat bahawa terapi terbaik untuk mengubati organ tubuh yang sakit adalah dengan merendam bahagian yang sakit itu ke dalam air yang dingin.

Beliau juga dikatakan membius pesakit dengan cara meletakkan alat pembius di hidung dan di mulut pesakit ketika hendak dilakukan pembedahan.

Ibnu Zuhr meninggal dunia di kota Seville pada tahun 557 H/1162 M pada usia lebih 90 tahun.

No comments: