SAYA ingin menanyakan satu soalan yang sekian lama bermain-main di minda, iaitu berkenaan permohonan zakat. Kenapakah saya melihat, adakalanya pusat-pusat zakat begitu sukar menyalurkan zakat?
Misalnya dalam kes saya sendiri, saya berhutang dan ingin memohon bantuan zakat. Tapi ditolak. Saya juga menyambung pelajaran dan meminta zakat, juga ditolak. Bolehkah diperjelaskan hal ini?
Jawapan
Terima kasih kerana bertanya. Hakikatnya, urusan mengagihkan zakat bukanlah semudah yang disangka. Ini kerana, wang zakat itu hendaklah diagih dengan betul dan tepat, yakni orang yang akan menerimanya hendaklah benar-benar dipastikan mereka itu memang sebenar-benarnya asnaf zakat.
Misalnya, jika dikatakan seseorang itu miskin atau fakir, maka pihak berkuasa zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) perlu memastikan bahawa orang itu benar-benar miskin atau fakir sebelum diberikan bantuan.
Hal ini sudah pasti memerlukan proses siasatan yang lebih teliti dan tidaklah dilakukan secara sepintas lalu sahaja. Ini kerana, jika ditakdirkan zakat itu disalur kepada orang yang bukan asnaf, maka siapakah kelak yang akan menanggung akibatnya?
Pastilah pihak amil atau institusi zakat berkenaan yang akan dipersalahkan. Bukan sahaja di dunia bahkan di hari akhirat juga.
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam hal ini ada menyatakan: "Harta zakat tidak boleh diberikan dengan begitu sahaja kepada setiap orang yang mengaku sebagai orang miskin, musafir, dibebani hutang atau sebagai mujahid yang berjuang di jalan Allah SWT (fisabilillah). Sebaliknya, institusi zakat dituntut untuk menyiasat kepastian pengakuan tersebut dengan cara menyoal orang yang baik dan adil dari kawasannya (misalnya jiran tetangga - penulis) yang mengerti dan memahami benar keadaan orang tersebut." (Institusi Zakat: peranan dan Tanggungjawab, hal. 81).
Atas dasar itulah, pihak institusi zakat berusaha menggubal prosedur dan tatacara pengagihan zakat. Walaupun ia kelihatan seperti menyusahkan. Namun realitinya ia adalah suatu kaedah bagi mencegah berlakunya kesilapan dan ketirisan.
Misalnya, dalam penentuan fakir dan miskin, pihak LZS dan amil kariah yang berkaitan akan turun sendiri meneliti keadaan orang berkenaan, sebelum bantuan mereka diluluskan.
Begitulah juga dalam penetapan bantuan zakat untuk fisabilillah, yang termasuk di dalamnya kalangan orang yang belajar dan menuntut ilmu.
Maka institusi zakat berusaha menyediakan garis panduan tertentu agar ia benar-benar dapat dimanfaatkan kepada khalayak yang sangat perlu dan memberi impak yang maksimum kepada penerimanya.
Maka, institusi zakat meletakkan syarat-syarat tertentu, misalnya pemohon tidak lagi menerima mana-mana biasiswa atau bantuan kewangan daripada pihak lain, pendapatan pemohon atau ibu bapanya tidak mewah (misalnya bergaji dalam skala RM5,000 ke bawah) dan sebagainya lagi.
Tujuannya, agar wang zakat yang tidak begitu besar dananya itu dapat dimanfaatkan oleh mereka yang amat memerlukan.
Begitu juga dalam hal memohon bantuan menjelaskan hutang (asnaf gharimin). Memang tidak dinafikan bahawa dalam fiqh zakat ada menyatakan, setiap orang yang berhutang atas maksud yang makruf (baik), sama ada atas keperluan diri, keluarga dan ummah umumnya, adalah boleh memohon bantuan zakat. Ia tidak pula mensyaratkan hutang itu besar atau kecil.
Namun begitu, dalam konteks realiti, pihak institusi zakat hendaklah meraikan hutang-hutang tertentu yang lebih memerlukan pembiayaan.
Misalnya, LZS banyak menyalurkan dana bagi membiayai hutang kos rawatan sakit kronik umat Islam, kerana ia amat menekan dan menghalang umat Islam daripada menjadi lebih produktif.
Apatah lagi kos rawatan hari ini juga kian meningkat, maka eloklah hal-hal seumpama ini dijadikan keutamaan, di samping LZS tidaklah mengabaikan terus hutang-hutang yang lain.
Misalnya hutang kerana belajar, hutang keperluan hidup dan termasuklah hutang-hutang institusi ummah, seperti masjid, rumah-rumah kebajikan dan sebagainya.
Hutang ah long
Dalam konteks ini, mungkin ada orang yang membuat hutang dengan ah long dan merasa marah apabila permohonan mereka ditolak. Mungkin ada orang yang berhutang dengan sesuatu pihak yang akhirnya kembali menekan kewangan mereka dengan masalah riba dan sebagainya, maka mereka marah apabila institusi zakat menolak permohonan mereka.
Hal ini sewajarnya dinilai dengan akal yang waras dan objektif. Andai kata institusi zakat melayani pinjaman dengan ah-long dan sebagainya, maka ia dilihat seolah-olah pihak zakat menggalakkan umat Islam untuk terus menjalankan pinjaman dengan pihak-pihak seperti ini, sedangkan ia bukanlah sesuatu yang baik untuk dijadikan amalan.
Ini kerana, alasannya mudah, apabila mereka sudah tidak mampu membayarnya, maka mohonlah bantuan zakat. Bukankah ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Walau bagaimanapun, dalam aspek yang lain, pihak institusi zakat khususnya mereka yang diamanahkan menyediakan polisi dan mekanisme pengagihan wang zakat, tidaklah boleh terus kekal rigid dengan sesuatu prosedur atau peraturan yang telah dicipta.
Ini kerana, berdasarkan kaedah fiqh masalih al-mursalah iaitu menjaga kepentingan umum umat Islam, adalah penting bagi fuqaha untuk terus menggubal sesuatu peraturan yang selari dengan perkembangan zaman, dan tidak membiarkan umat Islam terus dalam kesempitan.
Dalam hal ini, Umar al-Khattab r.a misalnya, pernah menghentikan bantuan zakat kepada beberapa orang lelaki dan sahabat sedangkan mereka ini menerima zakat atas nama mualaf sejak dari zaman Rasulullah SAW dan Abu Bakar lagi.
Apabila ditanya, apakah alasan Umar menghentikannya, dengan mudah Umar menyatakan (kira-kiranya): "Dahulu mereka diberikan zakat, kerana kedudukan Islam masih lagi lemah dan diharapkan mereka melindungi Islam. Kini, Islam telah kuat dan tidak perlulah lagi mereka diberikan zakat untuk tujuan tersebut."
Hal ini ada dibahaskan panjang lebar di dalam kitab Hukum Zakat oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, iaitu di dalam sub bab 'Apakah bahagian golongan mualaf ini hilang setelah Rasulullah SAW wafat? pada halaman 568-570.
Oleh itu, pihak berkuasa zakat perlu sentiasa cakna dengan perubahan sosio-ekonomi dalam negara, agar prosedur yang digubal tidak pula ketinggalan zaman dan jumlah bantuan zakat yang disalurkan pula tidaklah bersifat cukup-cukup makan.
Ini kerana, menurut fuqaha, zakat adalah bertujuan membantu sesama umat Islam yang memerlukan dan membebaskan diri mereka daripada belenggu yang menyekat kebebasan dan mengekang mereka untuk hidup dalam keselesaan.
Bahkan Nabi Muhammad SAW juga amat menegah jika harta zakat tidak diagihkan dengan sempurna, kerana ia boleh menyebabkan dosa. Sabda Nabi SAW: Sesiapa yang telah kami lantik sebagai amil zakat, kemudian dia menyembunyikan sebatang jarum penjahit atau benda lain yang lebih berharga daripada (pengetahuan) kami, maka perbuatan itu merupakan satu pengkhianatan yang akan dituntut tanggungjawabnya pada hari kiamat. (riwayat Muslim dan Abu Daud).
Kesimpulannya, tatacara dan prosedur permohonan zakat bukanlah bertujuan menyukarkan permohonan zakat.
Namun, ia adalah suatu kaedah yang diizinkan syarak demi menjamin agihan yang tepat, saksama dan berkesan.
No comments:
Post a Comment