Like Blog Ini...

Wednesday, January 18, 2012

Lombong jadi sumber rezeki

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

DALAM keriuhan pagi di Pasar Batang Kali, Hulu Selangor, kelihatan kelibat wajahnya ceria melayan pelanggan. Itulah Muhammad Irawan Basar, 38, seorang usahawan kecil asnaf zakat yang bakal mewarnai kanvas Jejak Asnaf kali ini.

Sekali imbas, tiada yang istimewa pada sosok lelaki ini. Namun tanpa disangka, dia adalah antara asnaf zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang berjaya merubah nasib diri dan keluarganya.

Menghimbau kisah lalu, Irawan dan isterinya, Haslina Abdul Karim, 42, hanya mendiami sebuah rumah yang jauh dari penghuni lain di kawasan tasik dan kebun sayur-sayuran di belakang bandar Batang Kali atau lebih tepatnya di sekitar Ulu Yam.

Di situlah, dalam serba kesederhanaan dia menampung kehidupannya sekeluarga dengan hanya bergantung kepada rezeki kampung.

"Di Ulu Yam, saya mencari ikan di tasik-tasik tinggalan lombong bijih timah zaman Inggeris. Mencari pucuk-pucuk paku, rebung dan sebagainya untuk dijual di Pasar Batang Kali. Cukuplah buat makan pakai kami anak-beranak," terangnya ringkas.

Semuanya berjalan sempurna, sehinggalah dia ditimpa kemalangan ngeri akhir tahun 2009. Sebuah lori pasir hampir meragut nyawanya.

"Ia berlaku pada 25 November 2009, iaitu pada pukul 7 pagi di Jalan Batang Kali - Genting Highlands sewaktu membawa 20 kilogram ikan hasil tangkapan untuk dijual di pasar. Masih saya ingat, kejadian itu berlaku lagi dua hari umat Islam mahu menyambut Hari Raya Haji.

"Sebuah lori pasir menggilis badan saya. Lebih tepat lagi di bahagian perut saya ini. Akibatnya, tulang pinggul saya terbelah dua dan tulang paha saya juga patah.

"Pihak hospital tidak menjangkakan saya mampu hidup lagi. Bahkan mereka sendiri merasa ajaib apabila saya mampu bertahan.

"Lapan hari saya koma di hospital. Kemudiannya, saya terlantar lagi selama tujuh bulan dengan tidak boleh melakukan sebarang kerja. Sedangkan anak-anak dan isteri perlukan pendapatan. Semua ini amat menjerakan sekali.

"Hinggalah cukup bulan ke tujuh, saya tidak lagi boleh bersabar. Akhirnya, dalam kepayahan saya gagahkan diri mencari ikan di lombong walau pihak hospital tidak menggalakkan. Semuanya saya lakukan demi rezeki keluarga," katanya.

Tanpa segan, dia membuka baju di bahagian perutnya demi menunjukkan parut besar akibat kemalangan lampau.

Namun, rezeki manusia di tangan Allah SWT. Tidak lama setelah ditimpa kemalangan, LZS pun datang menghulurkan bantuan kepadanya.

"Saya mula mendapat bantuan zakat pada tahun 2009. LZS memberi bantuan Ramadan dan raya, bantuan pendidikan, sewa rumah dan bantuan makanan dan wang bulanan kepada saya sekeluarga.

"Bahkan, apabila LZS melihat kesungguhan saya mencari ikan di lombong, LZS turut memberi bantuan modal perikanan bagi membeli jaring, motor roda tiga dan peralatan perikanan bernilai RM2,000 kepada saya.

"Sesungguhnya, semua ini amat bernilai bagi saya demi memulakan sebuah kehidupan baru," ujarnya.

Kini, Irawan lebih selesa menjalankan kerja-kerja menangkap dengan kelengkapan yang dimilikinya. Bahkan LZS turut bersetuju memberikan modal pusingan lanjutan RM1,000 bagi membolehkan beliau berniaga gerai minuman.

"Saya bersyukur kepada Allah dengan segala bantuan ini. Kelak, saya mahu membuka gerai menjual air minuman dan buah-buahan di Batang Kali. Jadi bolehlah sebelah pagi saya menjual ikan di pasar dan petangnya menjual air minuman dan buah-buahan potong.

"Buat masa ini pun, saya sudah merasai pendapatan yang agak besar. Saya fikir, tidak berapa lama sahaja lagi saya dan keluarga akan mampu keluar daripada senarai asnaf di LZS," katanya

Melalui kunjungan LZS ke rumahnya baru-baru ini, dia bangga menunjukkan peningkatan hidupnya. Kini mereka sudah berpindah ke sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Liga Mas, Batang Kali.

Irawan juga sudah mampu memiliki motosikal demi memudahkan pergerakan isterinya menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah.

Bahkan, tanpa menyangka, dia memilih sekolah jenis kebangsaan Cina untuk persekolahan anak-anaknya.

"Alhamdulillah, anak sulung saya, Nurul Ain Waina, 9, mendapat nombor satu dalam darjahnya di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Chee, Ulu Yam Lama. Adiknya pun, Muhammad amirul hakimi, 8, nampaknya tidak mengecewakan.

"Saya menghantar mereka ke sekolah cina, kerana mahu mereka mahir berbahasa Cina. Bagi saya, ia adalah modal untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan," katanya penuh harapan.

Inilah secebis kisah benar seorang asnaf yang tidak tega membiarkan dirinya diulit kesusahan. Semoga Allah SWT memberkati usaha Irawan dan seluruh ahli keluarganya.

Semoga Allah SWT juga memberkati para pembayar zakat yang dengan ikhlas melestarikan harta mereka demi kebaikan seluruh umat.

No comments: