Oleh NOOR AZIAH AWAL
PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah SAW dan juga ibadah. Ia dapat memelihara diri seseorang daripada maksiat.
Dalam hadis Nabi SAW bersabda: "Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (Sunan Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544).
Hadis ini juga menerangkan bahawa berpuasa itu adalah satu cara terbaik untuk mengawal nafsu. Selain itu, syarat berkahwin adalah kemampuan segi mental, fizikal dan material.
Namun, ramai hanya melihat hadis ini dari satu sudut iaitu perkahwinan adalah cara mengawal nafsu dan mengelak diri daripada melakukan maksiat. Perkara yang jarang sekali kita bincangkan ialah apakah cara untuk mengawal nafsu seseorang untuk mengelak daripada melakukan maksiat? Adakah kita ibu bapa pernah duduk bertanya kepada anak lelaki atau perempuan kita yang baru baligh bagaimana dia harus mengawal dirinya? Atau pernahkah berlaku sebaliknya?
Berapa ramai generasi muda hari ini yang masih tidak dapat membezakan air mani dengan air mazi? Berapa ramai juga yang teragak-agak menjawab soalan yang melibatkan hubungan seksual atau isu melibatkan perkara-perkara yang meransang nafsu sehingga hilang kawalan.
Dalam kebanyakan kes, apabila sepasang remaja yang terlanjur hingga mengakibatkannya hamil luar nikah, jalan penyelesaian yang diambil ibu bapa ialah menikahkan mereka walaupun mereka sangat muda. Lantas tidak sampai tiga bulan bercerai.
Pernikahan itu tidak menyebabkan anak yang dikandung itu menjadi sah taraf kerana ia dilahirkan kurang enam bulan qamariah dari tarikh perkahiwan ibu bapanya. Yang dilahirkan lebih enam bulan qamariah (bulan Islam yang ada kalanya 29 hari dan ada 30 hari) maka anak itu dibin atau bintikan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung.
Menurut hukum, demi kepentingan anak itu, ia adalah anak yang sahtaraf dan dinasabkan pada lelaki itu walaupun jelas anak itu dikandung melalui perzinaan.
Berbalik kepada isu perkahwinan di mana perkahwinan kerana Allah semata-mata, kerana ingin hidup dalam peliharaan Allah. Namun jika ia dilaksanakan kerana pasangan telah terlanjur atau kerana takut melakukan zina, maka keperluan bahawa yang ingin berkahwin itu mesti mampu.
Dalam keadaan telah atau akan berzina, yang jelas mereka hanya mampu dari segi fizikal dan seksual. Tetapi dari segi nafkah isteri dan anak pula telah diketepikan. Dalam beberapa keadaan perkahwinan itu hanya semata-mata ingin menutup malu.
Saya pernah bertanya kepada seorang wanita muda (19 tahun) yang kenapa dia berkahwin. Dia seorang pelajar IPT dan telah terlanjur dengan seorang lelaki yang tidak bekerja. Dia mengandung dan melahirkan anak di rumah keluarga lelaki.
Oleh kerana tidak mahu keluarganya tahu, dia telah bernikah di Thailand. Sebulan kemudian anaknya lahir. Dia duduk dengan mertua di sebuah flat di Kuala Lumpur. Dia telah mendaftarkan kelahiran anak dan memasukan nama suami sebagai bapa anak dalam butiran s13(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
Dia mendapat anak lelaki dan keluarga suami sangat gembira kerana menurut bapa mertuanya anak itu membawa tuah kerana setiap kali dia mengambil loteri atau toto atau apa saja jenis judi, dia menang.
Dia dan anak diberi makan wang daripada perjudian sedangkan lelaki yang dia nikahi tidak bekerja. Suaminya dan keluarga suami sangat sayangkan anaknya. Sehinggakan dia kadang-kadang tidak dapat memegang anaknya. Ada juga masanya suami mula bersikap garang dan memukulnya dan keluarganya membiarkan sahaja. Jadi dia datang untuk bertanya jika dia boleh mohon cerai.
Setelah lama bertanya rupanya dia berkahwin kerana telah sarat mengandung. Dia takut didakwa di mahkamah syariah kerana melahirkan anak tanpa nikah.
Lantaran tiada tempat hendak pergi dan jika dia berkahwin di Thailand kerana anak boleh dibin atau dibintikan kepada suaminya. Dia tidak pernah menyintai suaminya sebelum atau selepas berkahwin. Saya sangat terkejut.
"Habis kenapa kahwin dengannya? Tidakkah kamu menyintainya sehingga melakukan zina?"
Dia menjawab: "Saya sangat muda dan mudah tergoda. Mengadakan hubungan seks hanya untuk suka-suka dan mencuba. Bila mengandung, kesian pula pada anak dalam kandungan itu. Jadi saya kahwin."
Saya tanya dia lagi sama ada dia tahu bahawa berzina itu dosa besar. Dia mengangguk dan tunduk. Saya menasihatkannya untuk mendaftarkan perkahwinannya di pejabat agama terdekat.
Selepas didaftarkan, barulah dia boleh memohon cerai di mahkamah syariah di Malaysia. Dia menyatakan kerisauannya kerana suami pernah berkata yang dia boleh diceraikan tetapi tidak akan dibenarkan membawa anak bersama. Saya menerangkan bahawa anak itu adalah anak yang tak sah taraf kerana dilahirkan satu bulan selepas ibu bapanya berkahwin.
Benar, nama bapanya telah dimasukkan dalam sijil kelahiran tetapi dengan hanya melihat di bahagian bawah sijil itu yang menulis seksyen 13, jelas menunjukan anak itu tidak sah taraf. Menurut hukum Islam, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau lelaki yang menyebabkan ibu anak itu mengandung.
Anak tidak sah taraf adalah milik mutlak ibunya. Ibu dan keluarga ibu yang berhak kepada anak tersebut dan wajib menanggungnya.
Wanita muda itu berkata, "Jadi suami saya tidak boleh buat apa-apa atau ambil anak ini? Kalau saya tahu saya tidak nikah dengannya. Saya nikah kerana saya ingat saya boleh jadikan anak saya anak sah taraf dengan bernikah sebelum anak lahir."
Kali ini giliran saya terkejut. Pertama kerana kecetekan ilmu agama wanita muda pelajar IPT itu. Yang kedua, dia berkahwin atas alas an yang salah. Dia berkahwin kerana takut didakwa di mahkamah syariah!
Yang jelas, walaupun anaknya itu anak tidak sah taraf dan zinanya yang bukan atas dasar cinta. Naluri keibuannya jelas menunjukkan dia sangat sayangkan anak itu. Cuma dia tidak tahu ke mana hendak pergi bersama anak itu, sedang dia masih belajar.
Wanita muda tadi adalah contoh terbaik golongan yang berkahwin tanpa mengetahui hikmah perkahwinan. Pasangan yang ingin berkahwin perlulah tahu kenapa mereka ingin berkahwin. Ramai yang akan menjawab berkahwin atas dasar cinta. Ada juga yang dikahwinkan oleh ibu bapa kerana pergaulan yang terlalu bebas dan merunsingkan keluarga.
Namun bila hendak dikahwinkan, yang lelaki sama ada masih belajar, mengganggur atau baru bekerja. Duit tidak ada walau hanya untuk maharnya. Ramai juga ibu bapa anak perempuan terpaksa 'beralah' dan menerima pilihan anak perempuan mereka seadanya. Jika diminta yang bukan-bukan, mereka tidak jadi berkahwin. Sedangkan anak perempuannya itu telah 'diusung' ke sana ke mari. Ada ibu bapa berkongsi menyediakan persediaan perkahwinan anak-anak kerana anak tidak mampu lagi untuk berkahwin tetapi kerana takut anak-anak terlanjur, mereka dinikahkan segera.
Ada juga yang tahu anak mereka telah terlanjur tetapi tidak mengandung lagi lalu dinikahkan kerana takut kejadian berulangan. Ada juga pasangan yang datang berjumpa saya setelah 10 tahun berkahwin dan terlepas juga kata-kata suaminya: "Kami dulu dinikahkan oleh keluarga kerana kami sering keluar bersama. Sebenarnya kami belum bersedia untuk berkahwin."
Jika pasangan sering keluar berdua-duaan, masakan mereka tidak pernah terfikir untuk berkahwin atau tidak bersedia berkahwin. Sedangkan hubungan telah melebihi pasangan suami isteri? Apakah yang pasangan tahu tentang cinta dan bercinta? Apakah yang dimaksudkan dengan "tidur tak lena, mandi tak basah" itu? Adakah itu semata-mata emosi yang disaluti nafsu? Kenapa hari ini pasangan bercinta bertahun-tahun, berkahwin dan lepas tiga tahun bercerai. Ke mana hilangnya cinta yang diagung-agungkan itu? Atau ia semata-mata emosi yang disaluti nafsu?
Surah ar-Rum ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 1 menunjukan bahawa Allah menjanjikan kasih sayang dalam perkahwinan untuk pasangan suami isteri hidup berkasih sayang. Allah juga menjanjikan zuriat daripada hubungan kasih sayang itu. Ini adalah janji Allah SWT.
Jika kita hamba Allah yang taat dan percaya kepada-Nya, maka kita mesti bercaya bahawa jika kita berkahwin dengan niat kerana Allah, maka perkahwinan itu akan Allah rahmati denga kasih sayang berpanjangan.
Pasangan perlu yakin bahawa Allah SWT sangat pemurah lagi penyayang dan dengan rahmat-Nya, kita beroleh keberkatan perkahwinan.
Yang berlaku hari ini ialah ramai pasangan berkahwin di atas dasar 'cinta'. Sebelum berkahwin, tidak dengar suaranya tidak boleh tidur. Tidak dapat SMSnya tidak lalu makan.
Selepas berkahwin, telefon jika ada kecemasan. Ke mana hilangnya cinta? Atau cinta yang dibalut nafsu telah hilang kerana apa yang dicari telah diperoleh? Berdoalah dan pupuklah cinta selepas berkahwin dan berkahwinlah dengan niat yang betul.
No comments:
Post a Comment