Like Blog Ini...

Tuesday, January 17, 2012

Perbalahan Kaab dan Huyyay

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAI pemimpin kepada kaumnya, Kaab bin Asad telah mengumpulkan semua anak buah dalam satu perjumpaan yang besar. Ia turut dihadiri ketua Kaum Yahudi Bani Nadhir yang terbuang dari Madinah, Huyyay bin Akhtab.

Dalam suasana yang amat tegang kerana dikepung oleh tentera Islam, Kaab mengajak kaumnya sama-sama mencari jalan keluar daripada kemelut yang mereka hadapi itu.

Dia sendiri turut mengemukakan beberapa cadangan dengan harapan ia akan diterima oleh kaumnya.

"Wahai seluruh kaum Bani Quraizah, kita sebelum ini sudah mengikat perjanjian damai dengan Muhammad dan selama itu keselamatan kita benar-benar terjamin tanpa sebarang gangguan selagi kita patuh dengan perjanjian itu.

"Tetapi kita sendiri akhirnya yang memutuskan tali perjanjian itu yang menyebabkan kita sendiri terjerat. Akibatnya seperti yang kita tanggung hari ini. Kita dikepung, kita disekat, kita dihalang, kita tidak lagi bebas. Nyawa kita semua bagaikan telur dihujung tanduk. Bila-bila masa sahaja lagi akan melayang atas kebodohan kita sendiri," katanya.

Kaumnya yang hadir hanya terdiam mendengarkan kata-kata ketua mereka itu dan mengakui dan menelan dengan pahit kebenaran akibat melanggar perjanjian tersebut.

"Kerana itu demi menyelamatkan diri dan seluruh ahli keluarga maka saya mengusulkan agar kita berdamai semula dengan Muhammad.

"Sementelah beliau seorang yang sangat baik hati, seorang pemaaf dan tidak suka berdendam dengan sesiapa," katanya.

Melihatkan seluruh yang hadir tunduk dan tidak membantah akan kata-katanya, Kaab pun berterus terang.

"Sekarang saya sedar satu-satunya jalan yang paling selamat buat kita semua ialah apabila kita menjadi pengikut Muhammad. Iaitu kita masih bangsa Yahudi tetapi kita mengaku tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan mengaku bahawa Muhammad itu adalah pesuruh Allah," katanya yang mengejutkan semua yang hadir.

Namun Kaab tidak menghiraukan semua itu. Dengan bersungguh-sungguh dia mengajak kaumnya supaya menerima Islam dan tidak lagi boleh berdolak dalik soal kebenaran kerana dalam kitab Taurat (Perjanjian Lama) ada menyebut tentang Muhammad yang sememangnya nabi dan rasul yang ditunggu-tunggu.

"Jika kita menerima hakikat dan kebenaran ini, pasti nyawa kita akan selamat. Begitu juga nyawa anak-anak dan isteri serta harta benda kita," jelasnya.

Melihatkan semuanya terus diam, Kaab pun meneruskan ucapannya dengan melahirkan rasa kesal kerana memutuskan perjanjian dengan Nabi Muhammad.

"Tetapi ada orang sudah memujuk rayu, menaburkan segala macam janji-janji manis dan kata-kata yang cukup memikat sehingga akhirnya saya sendiri terpedaya dan terjerat.

"Orang itu menyebabkan kita terpaksa menanggung kesusahan ini. Orang yang saya maksudkan ada disini, dia inilah orangnya," kata Kaab sambil jarinya menuding ke arah Huyyay.

Huyyay begitu terkejut apabila dia dipersalahkan dan segera bangun membela dirinya.

"Memang benar saya yang memujuk Kaab supaya membatalkan perjanjiannya dengan Muhammad. Tetapi ia sama sekali tidak ada kepentingannya kepada saya atau tentera Ahzab tetapi kepada seluruh kaum Bani Quraizah juga.

"Kami datang untuk membebaskan kamu semua dari kekuasaan Nabi Muhammad. Supaya kita semua dapat memerintah sendiri, kita bebas menentukan haluan nasib kita sendiri, bukan terikat dengan perjanjian yang seperti ini.

"Namun apakan daya, kami anggota tentera Ahzab kalah dan tidak dapat menawan Kota Madinah. Walaupun kalah tetapi saya tetap bersama anda kerana hendak menjaga maruah.

"Maruah bahawa kita tidak akan sesekali tunduk kepada Muhammad. Sekiranya kamu melutut dan meminta maaf kepada Muhammad maka di manakah maruah kamu semua," soal Huyyay yang begitu bijak berkata-kata.

Mendengarkan kata-kata Huyyay itu ramai pula yang bangun menyokongnya.

Huyyay pun meneruskan kata-katanya supaya beliau mempunyai pengaruh di kalangan kaum tersebut.

"Kitab Taurat selamanya adalah kitab kita. Milik nenek moyang kita sejak dahulu kala lagi kerana itulah kitab rujukan kita selama ini. Tetapi kenapa hanya kerana Muhammad kita perlu menukarkan kitab Taurat itu kepada kitab lain? Sanggupkah kita menukar hukum Taurat kepada hukum lain," kata Huyyay lagi.

Akhirnya semua yang hadir menolak cadangan damai Kaab supaya mereka menjadi pengikut Muhammad atau dengan lain perkataan memeluk Islam supaya mereka tidak diperangi.

Namun Kaab tidak berputus asa lalu terus mengemukakan cadangan yang tidak masuk akal yang dianggapnya sebagai penyelesaian terbaik.

"Tidak mengapa kalau kamu semua menolak cadangan saya sedangkan ia satu cadangan yang sangat mudah kerana yang penting kita tetap bangsa Yahudi dengan percaya tuhan yang sama dalam Islam.

"Tetapi kalau kita hendak mengambil pendekatan untuk terus menentang Muhammad dan anggota tentera yang begitu ramai di luar sana, saya cadangkan mari kita bunuh anak-anak dan isteri kita tanpa meninggalkan seorang pun yang hidup.

"Kemudian kita keluar daripada benteng ini untuk kita berperang satu lawan satu dengan Muhammad dan seluruh anggota tenteranya sehinggalah kita semua terkorban.

"Kita tidak perlu bimbang andai kita semua akan mati kerana anak-anak isteri kita pun sudah tiada di muka bumi ini, semuanya sudah mati," kata Kaab.

Tentu sahaja cadangan itu ditentang hebat oleh para pengikutnya. Suatu cadangan yang dianggap gila dan andainya mereka menang dan berjaya mengalahkan Nabi Muhammad tetapi seluruh keluarga sudah tiada, maka apa gunanya lagi?

Ekoran ituApabila itu Kaab mengemukakan cadangannya yang ketiga.

"Baiklah, kebetulan hari ini adalah hari Jumaat dan malam ini merupakan malam Sabtu. Muhammad tentu menyangka bahawa kita sesekali tidak akan keluar untuk berperang melainkan kita akan beramal ibadat sempena kedatangan hari Sabtu.

"Sedangkan kita akan keluar memerangi mereka pada malam ini tanpa mereka sedari dan saya sangat yakin dengan serangan mengejut itu kita akan beroleh kemenangan," kata Kaab.

Huyyay akhirnya bersetuju dengan cadangan Kaab untuk melakukan serangan itu kerana menyangka Nabi Muhammad dan anggota tenteranya tidak berbuat apa-apa kecuali berehat dan tidur lena ketika serangan dilakukan.

Tetapi sudah pastinya cadangan itu ditentang hebat oleh kalangan ahli-ahli ibadat dan pendeta-pendeta Yahudi dari kaum tersebut.

"Wahai Kaab dan Huyyay, tidakkah kamu tahu bahawa hari Sabtu adalah hari kita beramal ibadat. Kita dilarang kerana pantang kita berperang mahupun keluar bekerja mencari rezeki pada hari tersebut.

"Sekiranya kita melanggarnya, pasti kita akan ditimpa bencana. Nenek moyang kita dahulu disumpah menjadi kera kerana melanggar sumpah itu kerana keluar juga menangkap ikan di laut pada hari Sabtu," kata salah seorang pendeta Yahudi dengan begitu marah sekali.

No comments: