Like Blog Ini...

Wednesday, January 11, 2012

Giatkan dakwah secara maya

Oleh NAJAHUDIN BIN LATEH

DAKWAH adalah usaha membawa manusia kepada agama Allah. Ia meliputi proses menyampai, mengajak atau menyeru manusia mengenali, menerima dan menghayati Islam yang dilaksanakan melalui kaedah, teknik dan pendekatan tertentu.

Galakan untuk berdakwah terbuka kepada seluruh umat Islam seperti sabda Rasulullah SAW : Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat dan ceritakanlah riwayat daripada Bani Israel dan sesiapa mendustai aku dengan sengaja, disediakan tempat baginya daripada api neraka. (riwayat al-Bukhari)

Kegiatan dakwah boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk. Islam tidak mengehadkan para pendakwah menggunakan medium tertentu dalam proses dakwah. Malah, mereka digalakkan menggunakan medium terbaik mengikut kesesuaian zaman dan keberkesanan dakwah kepada sasarannya.

Dunia langit terbuka dan globalisasi menyebabkan manusia semakin dekat antara satu sama lain. Ini menyebabkan akses kepada segala informasi sangat mudah diperolehi.

Persoalan dan ilmu agama yang secara konvensional biasanya diperolehi di sekolah, surau atau masjid kini menjadi sangat mudah dikutip melalui Internet.

Justeru, kemunculan laman web, blog atau pelbagai bentuk perantaraan maya berbentuk dakwah Islam adalah suatu yang dialu-alukan bagi mereka dan semua pelayar internet.

Dakwah melalui Internet adalah kaedah dakwah secara tidak langsung, iaitu pendakwah tidak bertemu secara fizikal dengan sasaran dakwah. Dakwah ini biasanya berlaku melalui aplikasi dalam internet ataupun peralatan perhubungan lain termasuklah telefon bimbit.

Dakwah maya tidak mensyaratkan seorang pendakwah tersebut mahir dalam komunikasi atau mempunyai ilmu Islam yang banyak. Malah, sesiapa sahaja boleh menjadi pendakwah.

Yang penting dalam dakwah maya adalah bahan dakwah bukannya siapa yang menyiarkannya. Ini bererti dakwah bukanlah kerja eksklusif ustaz serta ulama sahaja, namun mestilah wujud dalam sanubari setiap individu Muslim.

Pendakwah maya biasanya terdiri daripada dua kumpulan, iaitu external dan internal. Pendakwah External adalah mereka yang terlibat menyebar bahan tentang Islam yang diambil melalui pelbagai sumber ke dalam laman web mereka atau laman web orang lain.

Pendakwah Internal pula adalah mereka yang benar-benar mempunyai ciri pendakwah yang terdapat dalam ilmu dakwah Islam dan mereka biasanya mempunyai laman web sendiri dan boleh berinteraksi dengan sasaran (mad'u).

Dakwah ini merupakan medium baru yang sangat berkesan. Tugasan dakwahnya dijalankan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun. Banyak kelebihan lain yang boleh dimanfaatkan terutamanya untuk menarik perhatian golongan sasar seperti orang muda dan masyarakat dunia.

Aplikasi Internet seperti laman web, portal, blog, emel, SMS Internet, borak siber dan sebagainya boleh digunakan untuk berdakwah di samping menangkis anasir buruk yang disasarkan kepada Islam. Kewujudan domain dakwah dalam aplikasi ini oleh para tekno-daie secara langsung dapat menyebarkan Islam seantero dunia.

Dakwah maya diakui mempunyai sasaran yang lebih luas. Internet selaku perpustakaan terbesar dunia sendiri boleh bertindak mencari jawapan kepada persoalan pelayarnya. Informasinya sampai kepada audien dengan lebih pantas dan interaksi dua hala tidak terganggu dengan sifat pemalu atau takut.

Ia tidak terbatas kepada ruang dan waktu, tetapi terbuka untuk diakses oleh sesiapa sahaja. Peluang yang disediakan adalah setiap saat tanpa mengira lokasi atau memilih siapa.

Hakikat ini sepatutnya direbut dan digunakan oleh pendakwah kita semaksimum mungkin. Malah, kita boleh mengikuti perkembangan dakwah di dunia luar di samping bertukar-tukar pendapat serta pengalaman dengan pendakwah dan ahli ilmu lain.

Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan dalam dakwah maya di Internet. Antara yang popular adalah melalui laman web, emel (seperti Yahoo! Mail dan Gmail), chatting (seperti Yahoo! Messenger dan Skype), group discussion (seperti Yahoogroups dan Googlegroups) dan laman hubungan sosial seperti facebook dan twitter.

Selain itu, dakwah juga boleh disampaikan melalui sistem audio video Internet. Bahan ceramah, kuliah atau simulasi Islam boleh dikongsi dan disalurkan ke seluruh dunia secara audio atau video.

Webtv sebagai contohnya begitu popular di kalangan remaja sekarang. Laman webtv seperti youtube.com, metacafe.com dan video.google.com sangat mudah digunakan dan yang penting ia boleh digunakan secara percuma.

Laman web analisa trafik rank, alexa.com menyenaraikan nama domain laman web di Malaysia yang paling ramai dikunjungi adalah facebook.com, kemudian diikuti dengan google.com.my, youtube.com, google.com, blogspot.com, yahoo.com, blogger.com, wikipedia.org dan twitter.com.

Malah, senarai nama domain popular ini juga membuktikan ramai rakyat Malaysia melayari laman web berbentuk portal (seperti google.com dan yahoo.com yang biasanya digunakan untuk search engine) dan berbentuk jaringan sosial (seperti facebook.com dan blogspot.com yang biasanya digunakan sebagai weblog).

Laman web jaringan sosial, terutama yang menawarkan sistem weblog, borak siber atau perkongsian video, fail atau gambar merupakan bentuk laman web yang begitu disukai oleh rakyat Malaysia. Antara yang paling popular adalah Facebook, Youtube dan Twitter

Selain di Malaysia, laman web berbentuk jaringan sosial juga popular di seluruh dunia. Ini mungkin boleh dijadikan panduan kepada pendakwah untuk memilih bentuk laman web yang disukai oleh orang ramai dalam menyalurkan bahan-bahan dakwah.

Oleh itu, perkara-perkara berikut perlu diberi perhatian untuk mewujud dan menggiatkan usaha dakwah secara maya di Internet:

Semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri (sekurang-kurangnya facebook) yang beroperasi secara aktif, menarik dan mudah diakses serta mempunyai pautan dengan laman web bermanfaat lain.

Semua institusi dakwah Islam mesti sentiasa kemas kini dengan informasi dan interaksi kepada isu Islam semasa.

Laman web institusi berautoriti dan mempunyai dana seperti JAKIM (islam.gov.my) beroperasi dengan staf tetap yang ramai dan dikemaskini setiap jam.

Laman web dakwah mempunyai proses SEO (Search Engine Optimization) sebagai agen pemasaran dengan meta tag Islam untuk dikenali oleh enjin carian.

Laman web dakwah dilengkapkan dengan fungsi RSS (Really Simple Syndication atau Rich Site Summary) yang menjadi perantara bagi menyebarkan kandungan terkini laman web kita kepada pelayar Internet yang melanggannya.

Kesimpulannya, dakwah melalui internet dan secara maya mempunyai potensi yang besar. Seharusnya semua pendakwah Islam mempunyai laman web atau weblog sendiri yang sentiasa dikemas kini. Isu-isu dan persoalan ummah kontemporari hendaklah dijawab serta digarap secepat mungkin melalui medium ini. Jika ini dilakukan secara giat dan tersusun, nescaya aktiviti dakwah semakin efisien dan meluas ke antero dunia.

No comments: