KUALA LUMPUR 15 Jan — Petronas dan rakan kongsinya memeterai perjanjian peralihan dengan kerajaan South Sudan bagi operasi yang diteruskan dalam blok huluan di negara itu. Operasi itu sebelum ini diberikan oleh kerajaan Republic of South Sudan.
Syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan berkata perjanjian tersebut memberikan hak kepada Petronas dan rakan kongsinya untuk menjalankan operasi Petroleum Blok 1, 2 dan 4, Blok 3 dan 7 dan Blok 5A.
Ini merupakan kawasan kontrak sedia ada mereka yang diperoleh menerusi perjanjian eksplorasi dan perkongsian pengeluaran sebelumnya.
Perjanjian itu dimeterai semalam di Juba, South Sudan.
Selain daripada melindungi hak dan pelaburan Petronas dan rakan kongsinya dalam kawasan kontrak sedia ada, perjanjian peralihan itu juga membuka laluan bagi hubungan yang dipertingkat dan saling memberi faedah antara Petronas dan rakan kongsinya dengan kerajaan South Sudan.
Kehadiran Petronas di South Sudan ialah menerusi kepentingannya dalam Greater Nile Petroleum Operating Company Ltd (30 peratus), Pterosaur Operating Company (40 peratus) dan White Nile Petroleum Operating Company Ltd (67.87 peratus).
Ini adalah syarikat operasi bersama bagi tiga kawasan kontrak itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment