ADAKAH perlu diijabkabulkan semula pasangan yang berkahwin di luar negara, jika ibu bapa telah meredainya walaupun sebelum ini tidak diketahui? Bagaimana dari sudut hukum fiqh munakahat?
Apakah kerjasama di antara negara perlu bagi mengetahui perbuatan ini? Bagaimana jika berlaku perpisahan sebelumnya (diketahui) atau hubungan suami isteri diteruskan sahaja tanpa ijab kabul semula? Bagaimana tanggungan saksi pernikahan di luar negara itu mengikut fiqh?
JAWAPAN:
Terlebih dahulu ingin saya kongsikan Fatwa Kebangsaan mengenai isu pernikahan di luar negara.
Bagi pernikahan di sempadan Malaysia-Thailand umpamanya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan kahwin lari di Selatan Thailand.
Muzakarah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:
(1) Pernikahan itu mengikut rukun nikah
(2) Pernikahan itu melebihi dua marhalah
(3) Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin
(4) Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakadnikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.
Ada dua permasalahan di sini. Pertama, perkahwinan yang berlangsung di luar negara ketika berada di luar negara mungkin ketika belajar, kerja dan sebagainya.
Satu lagi perkahwinan yang berlangsung di luar negara kerana tidak mahu terikat dengan undang-undang serta peraturan nikah kahwin di Malaysia.
Jika perkahwinan di luar negara yang dimaksudkan adalah perkahwinan semasa belajar, maka di sana ada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi oleh rakyat Malaysia.
Peraturan-peraturan serta prosedur nikah kahwin boleh dirujuk ke pejabat konsul Malaysia di negara berkenaan. Melainkan negara tersebut tidak ada konsul Malaysia, maka keadaannya berubah.
Bagi mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan di luar negara, terlebih dahulu harus merujuk kepada pejabat konsul untuk mendapatkan nasihat.
Kebiasaannya, pejabat konsul Malaysia di luar negara akan meminta pihak yang mahu berkahwin mendapatkan surat persetujuan nikah di luar negeri daripada jabatan agama masing-masing.
Contohnya Danial berasal dari Selangor ingin berkahwin dengan Hamidah dari Pahang. Maka langkah pertama yang harus dilakukan oleh Danial adalah mendapatkan persetujuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi melangsungkan perkahwinan di luar negeri.
Hamidah pula perlu mendapatkan persetujuan wali untuk melangsungkan perkahwinan di luar negeri.
Apabila kedua-dua mereka telah mendapat persetujuan melangsungkan pernikahan di luar negara maka dokumen yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada pihak konsul Malaysia di negeri mereka bermastautin.
Ini untuk mendapatkan surat kebenaran bernikah di negara berkenaan. Maka dokumen konsul serta dokumen dari Malaysia digunakan bagi mendapatkan khidmat nikah daripada wali hakim negara berkenaan.
Selepas selesai dinikahkan maka jabatan agama atau institusi agama negara tersebut akan mengeluarkan dokumen pernikahan. Kemudian dokumen pernikahan tersebut dibawa ke konsul Malaysia bagi tujuan pengesahan pernikahan.
Apabila Danial dan Hamidah pulang ke tanah air, maka perlu didaftarkan di pejabat agama untuk mendapatkan sijil nikah. Sekiranya semua prosedur ini dipatuhi maka pasangan ini tidak perlu diijab kabul sekali lagi, kerana perkahwinan mereka telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan agama negeri masing-masing.
Dalam sudut hukum munakahat pula perkahwinan yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak apabila dipenuhi maka pernikahan tersebut sah.
Bagi mereka yang melangsungkan perkahwinan di luar negara tanpa persetujuan wali bagi perempuan dan tanpa persetujuan jabatan agama boleh didenda apabila mendaftar di Malaysia.
Cuma prosedur yang dijelaskan di sini adalah bagi memastikan undang-undang perkahwinan yang ditetapkan dipatuhi.
Mungkin bagi mereka yang mendakwa telah berkahwin tetapi tidak dapat dibuktikan dengan dokumen yang lengkap dan boleh dipercayai, maka pasangan tersebut akan diminta untuk diijabkabul sekali lagi walaupun ada yang maklum.
Tetapi kegagalan mengemukakan dokumen yang sah, pihak kadi atau jabatan agama ada hak untuk menuntut berbuat demikian sekiranya inginkan sijil nikah.
Perlu diketahui bahawa tidak semua negara meminta dokumen yang disahkan oleh pihak konsul. Ada negara tidak mensyaratkan. Maksudnya, sesiapa pun boleh melangsungkan perkahwinan tanpa persetujuan pihak konsul mahupun jabatan agama negara dan kebenaran wali bagi perempuan.
Jika pernikahan itu berlaku dan ada saksi serta surat daripada institusi agama negara berkenaan, mungkin ada pertimbangan dari pihak jabatan agama Islam negeri masing-masing.
Sebab itulah, proses awal itu sangat penting, proses mendapatkan persetujuan bernikah di luar negara biarpun negara yang ingin dilangsungkan perkahwinan itu tidak ada konsul Malaysia.
Perlu ada dokumen yang mengesahkan kehadiran saksi dalam majlis ijab kabul. Tanpa dokumen yang boleh mengesahkan kehadiran mereka bagaimana jabatan agama atau kadi boleh menerima tanpa bukti.
Dunia hari ini menjadikan kita lebih berhati-hati, sebab semuanya boleh mungkin. Oleh itu, kepatuhan kepada peraturan jabatan agama negeri masing-masing serta mendapatkan pandangan serta makluman pihak konsul (jika ada) adalah jalan penyelesaian yang terbaik.
No comments:
Post a Comment