Like Blog Ini...

Wednesday, January 11, 2012

Allah mudahkan Yusuf jadi Muslim

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Kisah Yusuf Derbeshyre, 43, dari Leicester England yang akhirnya menjadi seorang Muslim boleh dianggap agak unik. Ini apabila beliau secara tidak sengaja menemui sebuah buku biografi mengenai Nabi Muhammad SAW, terus tertarik membaca buku tersebut yang membuatkan Yusuf terus memeluk Islam.

Ya, semudah itu!

Sebelum menjadi seorang Muslim itu, beliau sebagaimana kebanyakan pemuda-pemuda Inggeris yang lainnya.

Antara kemestian mereka menghabiskan malam minggu dengan minum minuman keras sampai mabuk dan lain-lain gaya hidup yang tidak bermoral.

Namun kehidupan Yusuf berubah 180 darjah kira-kira lima tahun lalu apabila beliau menghabiskan masa bercuti di Pulau Greek.

Oleh kerana tidak mahu membawa beg yang berat, Yusuf tidak membawa buku-buku untuk dibaca kerana beliau bercadang membelinya di Greek sahaja.

"Sambil baring di kerusi malas di tepi kolam renang, berjemur di bawah cahaya matahari sambil membaca buku, bagi saya itulah antara makna terbaik sebuah percutian," katanya.

Lalu, sejurus tiba di Greek Yusuf terus mencari kedai buku bagi mendapatkan buku-buku yang menarik untuk dibaca.

Seingat Yusuf, beliau akhirnya menemui sebuah kedai buku bernama WHSmith. Beliau menghabiskan masa berjam-jam lamanya di kedai buku itu untuk mencari dan membeli buku-buku untuk dibaca sepanjang percutian itu.

Bagaimanapun, Yusuf agak hampa kerana beliau tidak menemui satu pun buku yang menarik perhatiannya untuk dibaca sehinggalah beliau hendak angkat kaki sambil menyandang kembali sebuah beg sandang ke bahu.

Ketika hendak menyandangkan ke bahu, begnya terkena sebahagian buku di rak yang menyebabkan banyak buku jatuh bertaburan ke lantai.

Ketika beliau mengutip buku-buku itulah, matanya terpaku pada salah sebuah buku yang jatuh itu.

Bagaikan jatuh cinta pandangan pertama, Yusuf terus mengambil buku yang bertajuk The Prophet Muhammad: A Biography yang ditulis oleh penulis Barat terkenal, Barnaby Rogerson.

"Pada muka surat pertama saya membaca buku tersebut, sepertinya agak menarik. Saya menyambung pada halaman kedua dan tidak boleh berhenti membacanya lalu segera saya beli dan baca sepanjang percutian di Greek itu," jelasnya.

Selesai membaca buku tersebut, perasaan Yusuf begitu membuak-buak untuk ingin tahu mengenai Islam. Beliau ingin mempelajari lebih jauh dari apa yang telah baca dari buku tersebut.

Lalu apabila pulang dari melancong itu, Yusuf terus mengunjungi sebuah masjid di Leicester dan menyatakan hasrat kepada pengurus masjid untuk mengetahui lebih mendalam tentang Islam.

Beliau kemudiannya dibawa menemui imam masjid itu untuk membantunya mempelajari Islam.

Namun imam tersebut memberitahu Yusuf: "Baiklah saya boleh membantu saudara tetapi biarlah saya berkata jujur dan berterus terang dengan anda bahawa bagi saya cara terbaik untuk memahami Islam adalah dengan menjadi seorang Muslim itu sendiri."

Tanpa berfikir panjang, Yusuf terus bersetuju, tanpa sebarang keraguan lagi dengan cadangan imam itu.

Beliau kemudiannya diislamkan secara rasmi dengan mengucap dua kalimah syahadah di masjid itu dan menambahkan nama Yusuf sebagai bukti dan identiti beliau kini seorang Muslim.

No comments: