Like Blog Ini...

Tuesday, January 17, 2012

Institut Wasatiyah kukuh kedudukan Islam - PUM

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berharap penubuhan Institut Wasatiyah akan mengukuhkan kedudukan Islam dan menonjolkan ia sebagai sebuah ajaran yang syumul (lengkap), bersifat pertengahan dan tidak ekstrem.

Sambil menyambut baik langkah menubuhkan institusi tersebut, Setiausaha Agungnya, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Noor berkata, ia juga kena pada masanya dalam usaha menjulang maqasid syariah dan Perlembagaan Persekutuan, lebih-lebih lagi ketika negara Islam dilabel sebagai pelampau.

"Penubuhan institusi ini adalah langkah terbaik untuk memastikan segala idea wasatiyah diaplikasikan secara praktikal dan bukan sekadar gagasan pemikiran semata-mata.

"Institut berkenaan juga perlu memainkan peranan sebagai sebuah institusi berautoriti dalam menjawab segala salah faham yang timbul berkenaan Islam ekoran keadaan semasa di mana dunia Islam diserang pelbagai gagasan pemikiran ekstrem yang bercanggah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas penubuhan Institut Wasatiyah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini, hari ini.

Institusi tersebut merupakan salah satu inisiatif terbaru kerajaan untuk mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.

Menurut Mohd. Roslan, pihaknya juga berharap penubuhan institut berkenaan akan dapat menterjemahkan segala khazanah berkaitan wasatiyah dalam kitab-kitab turath serta koleksi akademik semasa ke dalam penggubalan dasar pentadbiran negara.

"Adalah menjadi harapan kami agar penubuhan institusi ini akan memperteguhkan lagi kekuatan mobilasi agensi-agensi hal ehwal Islam sedia ada seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Institusi Kefahaman Islam Malaysia (Ikim); Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan sebagainya.

"Oleh itu, kami mewakili golongan agama bersedia memberikan input serta bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan objektif penubuhan institusi itu terlaksana dengan jayanya," jelasnya.

No comments: